Ahad, 3 April 2011

KELUAR BN IDEA PAIRIN, DEDAH DOMPOK

Dompok (kiri) menyatakan sesuatu kepada Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said dan Datuk Ghulam Khan Haidar.

PAIRIN..maklumkan hasrat keluar dari BN.

Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok mendedahkan bahawa sebenarnya Tan Sri Joseph Pairin Kitinganlah, orang yang pertama bercakap mengenai rancangan Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk menarik diri keluar dari Barisan Nasional (BN) kira-kira 21 tahun lalu.

Dompok yang kini Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, antara pemimpin tertinggi PBS pada ketika itu dibawah pimpinan Pairin menjelaskan ia berlaku semasa pilihan raya umum pada 1990.

“Saya masih ingat hari Majlis Tertinggi PBS memutuskan perkara itu. Saya sedang berkempen di kawasan Penampang yang mana ketika itu Moyog dan Inanam merupakan sebahagian daripada kawasan Penampang,” katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya kemudian menerima panggilan pada hari mesyuarat itu di mana panggilan datangnya daripada Pairin sendiri dan saya pergi bertemu dengannya.

“Beliau (Pairin) memulakan segala-galanya dengan bercakap tentang hasrat menarik diri dari BN. Tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini banyak perkara yang saya rasa ada baiknya tidak saya ceritakan,” kata beliau.

Dompok yang juga Anggota Parlimen kawasan Penampang membuat pendedahan itu sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden PBS, Datuk Radin Maleh sebelum ini, yang menyebut Dompok, Datuk Yong Teck Lee (kini Presiden SAPP) dan Datuk Tham Nyip Shen yang memaksa tangan Pairin membuat keputusan nekad untuk keluar dari gabungan itu pada saat menjelang pilihan raya umum 1990.

“Walaupun Pairin sudah ditolak ke dinding, beliau masih setia kepada BN sehinggalah satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PBS pada 15 Oktober 1990 di mana beliau dipaksa oleh Datuk Yong dan Datuk Tham disokong Tan Sri Bernard…ketiga-tiga mereka inilah yang beria-ia sangat untuk keluar dari BN,” tegas Radin.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam memoirnya “A Doctor In The House”, berkata keputusan menarik diri yang diumumkan pada jam 8 malam di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu, adalah sebab kenapa beliau memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada tengah malam hari yang sama di Kuala Lumpur untuk membuat keputusan bersejarah bagi parti itu untuk mengembangkan sayap ke Sabah sekali gus mengubah lanskap politik negeri Sabah selama-lamanya.

Menurut Dr. Mahatihir, sebelum itu, kerajaan tidak pernah berniat untuk melemahkan parti berasaskan etnik di Sabah dan Sarawak.

Dompok selanjutnya berkata, “Saya kira sekarang ini, saya telah diturunkan pangkat kepada hanya penyokong terhadap rancangan penarikan diri itu kerana ada kenyataan-kenyataan sebelum ini mengenai perkara yang sama dilihat saya sebagai promoter…sudah tentu saya mahu menyatakan sedikit lagi jika Pairin boleh tampil dan mengesahkan perasaan beliau tentang hal ini.”

“Tetapi saya rasa mengimbas semula jika penarikan diri itu berjalan dengan baik, sejarah tentunya berbeza. Begitu juga bagi Presiden PBS, bagi jawatan yang begitu mendapat pujian. Dan tidak ada seorang pun daripada kami (termasuk Yong dan Tham) akan disebut-sebut sebagai promoter atau penyokong akan keputusan itu…tetapi seperti apa yang berlaku ia tidak menjadi begitu baik.”

“Dan sudah tentu tidak aka nada apa-apa didengar mengenai Tham, Yong dan penyokong seperti saya yang telah melakukan perkara betul, jika keputusan itu betul,” jelas Dompok.

“Jadi sekarang ini jawapan saya kepada anda ialah sebenarnya semua orang mempunyai peranan dalam membuat keputusan itu, tetapi sudah tentu ia penting untuk dikatakan hari ini, mari kita terus ke hadapan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan