GAYA REMAJA...pose terbaru Rozita yang disifatkan sebagai gaya remaja ketika hadir di majlis ulang tahun seorang pelakon.
Pelakon Rozita Che Wan menafikan bahawa dia melakukan pembedahan plastik di beberapa bahagian wajahnya untuk kelihatan lebih jelita.
Sebaliknya wajah yang dimilikinya adalah asli yang dianugerahkan oleh Allah kepadanya dan sebarang spekulasi berhubung dakwaan bahawa dia melakukan pembedahan plastik adalah tidak benar.
"Ish...mana ada saya buat pembedahan plastik. Apa yang ada pada saya semuanya asli. Kenapa perlu saya tidak bersyukur dengan mengubah kejadian Allah. Apa yang Tuhan anugerahkan sudah cukup bagi saya, tidak perlu ditokok tambah," katanya.
"Alhamdulillah, setakat ini belum pernah terlintas untuk melakukan pembedahan plastik, apa lagi botoks dan suntikan kosmetik lain."
"Saya tidak berani. Kalau buruk hasilnya menyesal tak sudah. Lagipun, bukankah mengubah ciptaan Allah itu haram hukumnya."
"Macam-macam kita dengar kisah mengerikan mengenai individu yang mengubah kejadiaan Allah sampai tahap mengaibkan. Saya tidak mahu itu berlaku kepada diri saya, justeru bersyukur dengan apa yang ada," kata Rozita.
Pelakon sensasi berusia 38 tahun ini menyatakan perkara itu ekoran tersebar gambarnya di internet bahawa gambar yang pernah menghiasi muka depan sebuah majalah popular pada 1993 dikatakan telah mencetuskan spekulasi.
"Soal muka saya dalam gambar itu berbeza dengan sekarang tidak wajar diperbesar-besarkan. Cuba tengok betul-betul, ketika itu muka saya nampak berisi dan bulat. Ketika menyertai pertandingan Miss Malaysia Intercontinental pada 1992, itulah muka saya nampak tembam."
"Biasalah muka zaman anak dara dan ketika menjengah usia matang pasti ada bezanya," katanya.
Rozita memberitahu, isu pembedahan kosmetik bukan perkara baru baginya kerana sudah banyak kali dikaitkan dengan perkara seperti itu, malah pernah difitnah kononnya dia berbuat demikian sebelum dia menjadi artis.
"Saya malas ambil pusing apa yang orang cakap. Suka hatilah mereka nak cakap apapun, yang penting saya tak buat," katanya kepada ruangan Selebriti HM.
"Kenapa mereka tidak boleh terima hakikat sesetengah insan kurniakan kecantikan asli. Prasangka negatif seperti itu tidak harus ada," kata Rozita, bekas paramugari Penerbangan Malaysia (MAS) itu.
Artis ini kini menjanda selepas bercerai dengan suami pada 2003 dan mempunyai dua anak berusia 15 dan 13 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan