Ahad, 3 April 2011

USAHA PERKENAL KEDAI HARGA DISKAUN DIALU-ALUKAN

NAJIB...kerajaan sedang kaji.

LOKMAN...beri manfaat kepada rakyat.

Persatuan Pengusaha Bas Bumiputera Sabah (PPBBS) mengalu-alukan langkah kerajaan mengkaji untuk memperkenalkan pembukaan kedai yang menjual barangan makanan pada harga diskaun bagi membantu rakyat menghadapi inflasi.


Presidennya, Lokman Sunggim, berkata usaha yang sedang diambil kerajaan itu amat baik dan ia sudah tentu dapat membantu meringankan beban kepada rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah.


Katanya, pembukaan kedai seumpama itu memang sangat dialu-alukan dan pihak kerajaan pastinya mempunyai keupayaan untuk melaksana dan merealisasikannya.


“Kita percaya jika pewujudan kedai yang menjual barangan pada harga diskaun ini menjadi kenyataan, rakyat khususnya di luar bandar akan mendapat banyak manfaat,” katanya.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu interviu dengan rangkaian televisyen Bloomberg, berkata bahawa kerajaan sedang mengkaji untuk memperkenalkan pembukaan kedai yang menjual barangan makanan pada harga diskaun untuk dijual kepada rakyat bagi membantu mereka menghadapi inflasi.


Katanya, sebagai contoh, langkah meningkatkan bekalan ayam sedang diambil bagi menurunkan harga yang dikatakan kemungkinan menurun pada bulan depan.


Menurut Perdana Menteri, beliau juga sedang mengkaji satu insiatif baharu untuk membantu rakyat yang berhadapan bebanan berikutan peningkatan harga.


“Kami perlu melihat pada pakej kerajaan serta cuba merangsang bekalan,” kata beliau.


Presiden PPBBS yang juga Naib Ketua Bahagian Upko Beaufort itu, berkata, apa yang dilakukan kerajaan terutama Perdana Menteri sebenarnya membuktikan kepekaan terhadap rakyat pelbagai lapisan di samping keupayaan mereka menyelami situasi yang dialami rakyat pada masa sekarang.


Katanya, banyak insiatif sudah pun diambil kerajaan untuk mencapai kepada golongan sasaran ini dan usaha terbaru untuk memperkenalkan pembukaan kedai yang menjual harga barangan pada harga diskaun ini, satu lagi langkah yang diharap dapat membantu mereka meringkan beban memandangkan ia membabitkan keperluan harian.


“Kita mempunyai keyakinan bahawa usaha kerajaan ini akan menjadi kenyataan kerana ia memberi impak yang sangat besar dalam kehidupan rakyat jika dapat direalisasikan,” tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan