Menyirami pusara allahyarham yang disemadikan di tanah perkuburan orang Islam Kg. Lawa, Gadong di Beaufort.
Pemergian wartawan kanan New Sabah Times,
allahyarham Kamaruddin Liusin yang meninggal dunia kelmarin (Jumaat) kira-kira
jam 10.50 malam merupakan satu kehilangan besar terhadap bidang kewartawanan
dan persuratkhabaran di Sabah.
Sebagai bekas editor di akhbar tempatan
sebelum ini, saya amat mengenali allahyarham malah boleh saya anggap kami
sangat rapat baik ketika sama-sama di pejabat mahu pun di luar pejabat.
Pada saya, allahyarham Kamaruddin adalah
seorang wartawan yang berdedikasi dan komited terhadap tugas, berdikari serta mempunyai
kesungguhan dalam menulis artikel selain sentiasa berusaha mendapatkan
bahan-bahan yang mempunyai “nilai berita”.
Inilah sebahagian pengalaman yang saya lalui
ketika pernah bertugas bersama allahyarham di dua surat khabar tempatan iaitu
Sabah Times pada awal 1990-an dan Harian Mercu pada lewat 1990-an.
Allahyarham Kamaruddin memang sangat meminati
bidang kewartawan dan sebab itu beliau sentiasa memberi tumpuan terhadap apa
sahaja tugasan yang diberikan kepada beliau.
Ketika bertugas di bawah saya baik di Sabah
Times mahu pun di Harian Mercu suatu ketika dulu, allahyarham banyak membantu
memudahkan kami mendapatkan berita yang bagus.
Sebagai seorang yang sudah berpengalaman,
saya sentiasa menaruh kepercayaan terhadap allahyarham apabila menugaskannya di
mana sahaja bagi membuat liputan berita.
Allahyarham Kamaruddin.
Sepanjang yang saya ingat, allahyarham
Kamaruddin diterima menjadi pemberita di Sabah Times ketika saya secara
kebetulan menjadi editor bahagian Bahasa Melayu akhbar tersebut pada awal
1990-an.
Pada ketika itu allahyarham hanya merupakan
pemberita sambilan tetapi apabila terdapat kekosongan jawatan pemberita sepenuh
masa di Sabah Times ketika itu, saya telah mengajak beliau memohon jawatan itu
dan telah diterima.
Sejak itu bermulalah kerjaya beliau sebagai
seorang pemberita sepenuh masa namun akibat masalah yang dihadapi akhbar
berkenaan pada masa itu menyebabkan beliau berpindah ke akhbar lain, kalau tak
silap saya ke Borneo Mail kemudian menyertai akhbar Utusan Borneo. Saya pula
menganggur beberapa ketika sebelum menyertai akhbar Daily Express.
Kemunculan akhbar Harian Mercu, sebuah akhbar
berbahasa Melayu penuh pada 1996 telah menarik minat allahyarham
untuk menyertai akhbar tersebut yang berpejabat di Likas.
Saya kemudian mengambil keputusan menamatkan
perkhidmatan di Daily Express selepas mendapat tawaran bertugas di Harian
Mercu. Ini membolehkan saya dapat bertugas bersama sekali lagi dengan
allahyarham.
Sebagai sebuah akhbar harian berbahasa Melayu
yang baru ternyata banyak cabaran yang kami tempuhi bersama dan ia sudah
tentulah banyak membantu mematangkan seluruh kakitangannya.
Situasi yang tidak dapat dielakkan apabila
akhbar harian itu telah diminta oleh pihak pengurusan supaya menukarkan
terbitannya daripada harian kepada mingguan. Rupanya itu menjadi petanda yang
tidak baik di mana tidak lama kemudian akhbar itu telah memutuskan untuk
menghentikan penerbitannya menyebabkan beberapa kakitangan terpaksa diserapkan
ke syarikat lain manakala yang lain mengundurkan diri secara sukarela.
Allahyarham Kamaruddin jika tidak silap saya,
telah mendapat tawaran untuk bertugas dengan akhbar New Sabah Times (sebelumnya
dikenali Sabah Times) sehinggalah pada hari beliau mengalami serangan strok
pada Rabu lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat ketika usia 47 tahun.
Saya sempat menziarahinya pada hari pertama
beliau dimasukkan ke wad kecemasan Queen Elizabeth Hospital (QEH) dan pada hari ketiga sebelum saya menerima
makluman mengenai pemergian selama-lama arwah oleh editor Bahasa Melayu New
Sabah Times, sdra Amin Muin pada tengah malam Jumaat.
Pemergian mengejut allahyarham sangat dirasai
oleh semua rakan pengamal media yang mengenali beliau.
Allahyarham memang mempunyai ramai rakan
wartawan baik yang berkhidmat dengan media tempatan mahu pun media nasional
selain kalangan pemimpin politik yang saya percaya turut merasai kehilangan
beliau.
Jenazah allahyarham disemadikan di tanah
perkuburan orang Islam Kampung Lawa, Gadong di Beaufort pada hari ini (Sabtu)
selepas waktu zohor.
Upacara pengkebumian itu turut dihadiri
Anggota Parlimen Sipitang yang juga Ketua Penerangan Umno Negeri, Datuk Sapawi
Ahmad selain rakan-rakan wartawan dari media tempatan, Bernama dan RTM.
Kita telah kehilangan seorang sahabat yang
baik dan kita hanya mampu mendoakan semoga roh beliau dicucuri rahmat.
Takziah kepada keluarga allahyarham dan
berharap mereka bersabar atas pemergiannya.