Isnin, 4 Mei 2020

TIADA JOGING DI LUAR, SABAH KEKALKAN PKP

Aktiviti berjoging di luar belum dibenarkan. (Gambar Hiasan).

Aktiviti berjoging di luar, bermain golf dan aktiviti sukan lain di negeri ini masih tidak dibenarkan berikutan Sabah tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebagaimana dilakukan Kerajaan Persekutuan mulai hari ini (4 Mei).

Kerajaan negeri semalam mengumumkan untuk mengekalkan pelaksanaan PKP yang memasuki fasa empat dan hanya akan berakhir pada 12 Mei ini.

Sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal meminta rakyat di negeri ini supaya mematuhi pelaksanaan PKP fasa empat itu.

Pelaksanaan PKPB yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mei lepas, memberi kebenaran sebahagian besar sektor ekonomi, aktiviti perniagaan beroperasi selain memberi kelonggaran beberapa aktiviti lain seperti joging di luar dan bermain golf tetapi ia tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Sabah antara beberapa negeri mengambil keputusan untuk meneruskan fasa empat PKP dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.

Rata-rata anggota masyarakat di negeri ini mengalu-alukan langkah yang diambil kerajaan negeri kerana masih bimbang dengan penularan gejala tersebut.

Sesetengah pihak sudah berasa sedikit lega kerana dapat membayangkan kesempatan untuk melakukan aktiviti riadah di luar rumah seperti berjoging dan bermain golf. Namun pendirian kerajaan negeri ketika ini membuatkan mereka terpaksa melupakan hasrat itu buat seketika.

Menteri Belia dan Sukan negeri, Ginger Phoong dalam satu kenyataan turut menekankan bahawa tiada aktiviti sukan luaran dibenarkan sekurang-kurangnya sehingga 12 Mei ini.

Katanya, ini susulan keputusan kerajaan negeri untuk terus melaksanakan PKP dan tidak mengikuti kelonggaran yang diumumkan kerajaan persekutuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan