Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (gambar) menjelaskan bekas pengerusi parti itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama empat yang lain tidak dipecat dari parti sebaliknya keahlian mereka terhenti atas kesalahan melanggar perlembagaan parti.
"Mereka tidak dipecat. Sebaliknya perbuatan mereka telah melanggar perlembagaan parti menyebabkan keahlian mereka terhenti serta-merta," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam akaun facebooknya, hari ini.
Selain Mahathir, empat lain yang terhenti keahlian dari BERSATU ialah bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukriz Mahathir, Ketua ARMADA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr. Mazlee Malik dan Dato` Amiruddin Hamzah.
Kesemua mereka adalah Anggota Parlimen (MP).
Muhyiddin yang juga Pemangku Pengerusi BERSATU, berkata, beliau tidak terburu-buru mengambil tindakan ke atas mereka walaupun terdapat banyak desakan supaya beliau berbuat demikian lebih awal.
Menurut beliau, pihaknya mahu berlaku adil kepada semua pihak dan memastikan setiap tindakan yang diambil mestilah berlandaskan perlembagaan parti.
PERBINCANGAN...Muhyiddin bersama Tun Dr. Mahathir, Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Seri Hadi Awang, Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Datuk Seri Shafie Apdal membincangkan sesuatu dalam satu perjumpaan.
"Tiada mana-mana pihak yang mengatasi perlembagaan parti," katanya.
"Tentunya kita berasa dukacita dengan pilihan yang dibuat Tun Mahathir untuk tidak bersama-sama kita dalam haluan perjuangan parti sebagaimana yang diputuskan Majlis Pimpinan Tertinggi parti."
"Beliau (Mahathir) bersama pengikutnya yang lain memilih untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) walaupun parti memutuskan sebaliknya,"
"Jika itu pilihan beliau, saya ucapkan selamat maju jaya," kata Muhyiddin.
Sambil berdoa diberi kesabaran dan istiqomah, Perdana Menteri yakin bahawa BERSATU akan terus teguh memandangkan banyak cabaran telah dihadapi sejak parti itu ditubuhkan.
"Yang penting kita tidak berjuang untuk mana-mana individu tetapi perjuangan kita adalah untuk agama, bangsa dan negara," tegasnya.
Selepas dilantik menjadi Perdana Menteri ke-8, Muhyiddin sebelum ini menyatakan tidak ingin bercakap soal politik kerana memberi tumpuan terhadap isu yang membabitkan kepentingan rakyat dan usaha menangani wabak Covid-19.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan