Khamis, 21 Mei 2020

SUASANA PERSIAPAN AIDILFITRI TAHUN INI "LESU"

Di penghujung bulan ramadan ini biasanya persiapan menyambut kedatangan 1 Syawal amat dirasai sebelum ini.

Namun dengan gejala penularan pandemik Covid-19 melanda negara termasuk di setiap negeri menjadikan suasana berubah secara mendadak.

Di bawah norma baharu dengan pergerakan agak terhad di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB yang terpaksa dihadapi ternyata meninggalkan kesan terhadap kehidupan harian masyarakat.

Tidak seperti selalunya. Banyak suasana berubah tanpa dijangka.

Persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri di merata tempat termasuk di bandar-bandar juga didapati tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya.
Pusat pasaraya yang baru dibenarkan beroperasi masih kelihatan lengang tanpa kehadiran ramai pengunjung.
Di bandar Kota Kinabalu umpamanya, suasana persiapan menyambut kedatangan aidilfitri setiap tahun diwarnai kesibukan orang ramai dengan pelbagai gelagat dapat dilihat.

Dari kesesakan jalan raya hinggalah kepada kebanjiran manusia memenuhi kompleks-kompleks membeli-belah, pasaraya dan juga kedai-kedai yang menjual pakaian dan gerai-gerai baharu yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.

Lazimnya pasar-pasar dan pusat jualan pakaian khususnya di Kompleks Segama dan Sinsuran yang amat dikenali ramai sangat sesak dengan kehadiran orang ramai dari jauh dan dekat setiap kali musim perayaan.

Namun kali ini, suasananya jauh berubah. Banyak kedai-kedai tidak mempunyai pelanggan yang ramai untuk membeli-belah. Boleh dikatakan pembeli sangat berkurangan dengan gerai-gerai jualan juga masih tidak dibenarkan.

Gerai-gerai jualan yang diwujudkan secara sementara itu biasanya menjadi tumpuan dan menambah kemeriahan. Namun suasana itu tidak dapat dirasai tahun ini. Dan ketika ini, semuanya telah bertukar menjadi lengang dan lesu. Satu perubahan ketara yang akan menjadi sejarah di negeri kita.
Suasana lengang di kawasan Komplek Sinsuran tidak seperti biasa dan kedai-kedai menjual pakaian didapati kurang pelanggan.

Beberapa keping gambar yang sempat dirakamkan di kawasan bandar memberi gambaran suasana baharu itu, kelainan yang terpaksa ditempuhi orang ramai.

Begitupun, sambutan aidilfitri di rumah masing-masing tahun ini tentunya dapat menceriakan lagi hubungan kekeluargaan masing-masing tanpa perlu memikirkan suasana kunjung mengunjung yang sudah menjadi amalan biasa.

Restoran makanan segera juga didapati belum dapat menarik ramai pelanggan.
Tidak ramai orang keluar untuk membeli-belah seperti yang berlaku sebelum pandemik Covid-19.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan