Suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini tentunya memberi pengalaman baharu kepada umat Islam di negara ini.
Pandemik COVID-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia sejak akhir tahun lalu berlarutan hingga awal tahun ini.
Ini menyebabkan semua orang lebih berwaspada, berdisiplin, sentiasa menjaga kebersihan dan tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperkenalkan kerajaan sejak 18 Mac lalu.
Dan kini kita baru sahaja mendapatkan sedikit kelonggaran secara beransur di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membolehkan beberapa sektor seperti ekonomi dan perniagaan dibenarkan.
Di Sabah juga turut melaksanakan beberapa kelonggaran menerusi PKPB, sekurang-kurangnya memberi sedikit kelegaan kepada orang ramai khususnya umat Islam yang akan menyambut kehadiran Hari Raya Aidilfitri.
Bagaimanapun, ia satu pengalaman baharu kepada mereka. Ia tidak pernah berlaku sebelum ini sambutan aidilfitri dalam suasana sedemikian. Namun ia hakikat yang terpaksa diterima.
Seperti yang diputuskan kerajaan, Hari Raya Aidilfitri tahun ini disambut dengan tiada solat sunat aidilfitri di masjid sebagaimana yang biasa dilakukan. Selain tiada sambutan secara beramai-ramai dan kunjung mengunjung dari rumah ke rumah yang menjadi amalan sebelum ini.
Juga ditiadakan solat sunat terawih berjemaah di masjid yang tentunya dinanti-nantikan umat Islam pada setiap bulan ramadan.
Mufti Negeri Sabah, Datuk Haji Bungsu @ Aziz Haji Jaafar (gambar atas), berkata, arahan penangguhan aktiviti solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid dan surau dilanjutkan sehingga 26 Mei ini.
Menurut beliau, keputusan itu juga membabitkan solat sunat Hari Raya Aidilfitri sama ada jatuh pada 23 atau 24 Mei ini, tertakluk kepada keputusan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Sehubungan itu, katanya, umat Islam disunatkan menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri di rumah atau di kediaman masing-masing.
Dalam satu kenyataan di sini, Bungsu meminta umat Islam supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan mengikut ketetapan dan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Tempoh pelanjutan tersebut akan mengambil kira nasihat Kerajaan Negeri dan KKM," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan