Ahad, 30 Januari 2022

PERJALANAN BARU BUAT HIZAZ

New Journey. Bismillah
...itulah hantaran terbaru pemain sayap, Hizaz Lokman dalam akaun facebook peribadinya sebaik sahaja disahkan menyertai pasukan baharu, UiTM FC dalam saingan Liga Malaysia musim 2022.

Hizaz, 22, bersama rakan seniornya penjaga gol utama Sabah FC musim lalu, Rendy Robson Rining, 28, berjaya memikat UiTM FC untuk menggunakan khidmat mereka musim ini.

"Alhamdulillah 2022," katanya dalam posting terdahulu di fbnya.

Dalam usia muda itu tentulah dia dapat merasakan cabaran yang bakal diharungi, terpaksa berkelana di luar bermain dengan kelab yang baru. Namun itulah realiti dalam bola sepak apabila kita memilih menjadikan ia sebagai satu kerjaya.

Abangnya, Mohd Al Hafidz, seorang peguam pernah berpesan kepadanya bahawa kerjaya dalam sukan bola sepak boleh memberi masa depan yang baik sekiranya menjadikannya ia kerjaya utama sebagai pemain profesional.

Beraksi bersama UiTM FC ketika menentang Penang FC dalam perlawanan pra musim. UiTM FC 1, Penang FC 1.

"Menjadi pemain bola sepak profesional juga lebih kurang dengan kerjaya yang lain seperti peguam, doktor dan jurutera kerana pemain profesional yang berkualiti mampu mendapat bayaran yang besar," katanya.

Kata-kata abangnya itu mungkin mendorong Hizaz, pemain kidal itu memilih untuk menjadi pemain bola sepak selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Secara kebetulan dia berpeluang memasuki sebuah Sekolah Sukan Negeri (SSN) di Pulau Pinang (SMK Mutiara Impian) dari tahun 2014 hingga awal 2016 sebelum kembali meneruskan persekolahan di SMK Likas, Kota Kinabalu.

Bermula dari situ, ketika berusia 16 tahun, dia telah dipanggil menyertai pasukan Piala Belia Sabah (B19) di bawah kendalian jurulatih Jelius Ating pada masa itu. Dia bermain bersama skuad Piala Belia Sabah dari 2016 hingga 2017.

Rakaman lensa detik-detik semasa perlawanan persahabatan dengan Tun Razak City FC dan Penang FC.

Hizaz kemudian menganggotai skuad Piala Presiden Sabah 2018-2020 dan bersama skuad Sukan Malaysia (SUKMA) Sabah di Perak pada 2018 di mana Sabah memenangi pingat gangsa.

Dari skuad Piala Presiden, dia kemudian dinaikkan ke skuad senior Sabah FC pada 2021, yang pada awal musim di bawah kendalian jurulatih dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto, kemudian diambil alih oleh Jelius sebagai caretaker pasukan sebelum kehadiran Datuk Ong Kim Swee pada penghujung musim.

Bagaimanapun nasibnya tidak kekal bersama pasukan pada musim 2022 yang mendorongnya mengorak langkah seterusnya untuk menyertai pasukan baharu bagi meneruskan impiannya dalam bola sepak yang sudah sebati dengan jiwanya. Alhamdulillah, rezekinya bersama UiTM FC pada saingan Liga Malaysia musim ini.






Sabtu, 29 Januari 2022

SABAH FC LEBIH BERSEDIA HADAPI LIGA SUPER MUSIM INI

SEMANGAT BAHARU...Bung Moktar ditemani Jelani dan Khairul Firdaus bersama sebahagian pemain skuad Liga Super Sabah FC musim ini.

KOTA KINABALU--Sabah FC akan lebih bersedia menghadapi saingan Liga Super musim ini yang dijadual bermula pada Mac ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, berkata pihaknya yakin Sabah FC kali ini mampu bersaing dengan pasukan-pasukan lain dalam liga tersebut.

Katanya, pasukan Sabah FC lebih tersusun musim ini berbanding musim lalu dan ia mampu memberi cabaran kepada pasukan-pasukan lawan.

"Kewujudan pasukan yang serba baharu ini akan menyuntik semangat tinggi kepada pemain-pemain untuk menang," katanya pada majlis fundraising dinner di Pusat Persidangan Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, semalam.
BUNG MOKTAR...peragakan sikap seperti sang juara.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya mahu semua pemain sentiasa mempunyai semangat baharu untuk mencapai kemenangan dan tidak sekali-kali menunjukkan sikap rendah diri kepada pasukan lawan.

Katanya, setiap pemain haruslah memiliki sikap seperti sang juara di samping memperagakan corak permainan yang terbaik serta mempunyai semangat juang tinggi untuk menang dalam setiap perlawanan.

Menurut Bung Moktar, ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee telah berusaha melakukan persiapan kepada pasukan agar berupaya meningkatkan prestasi dan mampu memberi cabaran kepada lawan.

"Justeru dengar arahan ketua jurulatih dan bukan yang lain," tegasnya.

Sabah FC dilihat sebagai sebuah pasukan berwajah baharu dalam saingan Liga Malaysia musim ini dengan mendapatkan khidmat bintang-bintang tempatan ternama seperti Badrol Bakhtiar, Khairul Fahmi Che Mat, Dominic Tan, Rizal Ghazali, Irfan Fazail selain beberapa pemain import baru yang akan diperkenalkan kemudian.

Sehubungan itu, Presiden SAFA itu juga meminta peminat dan para penaja supaya terus memberi sokongan kepada Sabah FC agar pasukan itu mampu mengharungi cabaran dalam Liga Malaysia.
 
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Sabah FC, Datuk Dr Jelani Hamdan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Khairul Firdaus, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmy Yahya, Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Pembantu Pembangunan Luar Bandar, Harun Durabi.
Jelani dan Khairul Firdaus menyambut ketibaan Bung Moktar ke majlis itu.


 

Ahad, 16 Januari 2022

UMNO PERTIMBANG LETAK CALON DI PRK BUGAYA

Bung Moktar diiringi Ketua Umno Bahagian Semporna, Abd. Manan Indanan ketika menghadiri perjumpaan tersebut.

SEMPORNA--Umno Sabah sedia mempertimbangkan untuk meletakkan calon sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya diadakan dalam masa terdekat.

Ketuanya, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, berkata pertimbangan itu akan mengambil kira beberapa aspek terutama sokongan rakyat di kawasan berkenaan.

"Pada pilihan raya negeri lepas, Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon untuk bertanding di kawasan ini kerana ia diwakili calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM), Daud Tampokong tetapi tewas kepada parti Warisan yang diwakili Manis Muka Mohd Darah ketika itu," katanya.

Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah menyatakan demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan Umno Bahagian Semporna di pejabat parti itu di sini, baru-baru ini.

Kerusi DUN Bugaya kosong setelah penyandangnya Manis Muka meninggal dunia pada 17 November 2020 namun PRK ditangguhkan setelah negara disytiharkan darurat ekoran pandemik Covid-19.

Menurut beliau, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mungkin akan mengadakan PRK DUN Bugaya dalam masa terdekat disebabkan wabak Covid-19 semakin menunjukkan penurunan.

"Keputusan untuk mengadakan PRK di kawasan ini akan ditetapkan SPR dan di pihak kita (BN) sentiasa bersedia menghadapinya termasuk akan mempertimbangkan untuk meletakkan calon kita dari Umno," tegasnya.

Pengerusi BN Sabah itu berkata, kekalahan calon BN, Datuk Razak Tun Sakaran yang bertanding pada PRU 14 bukan satu ukuran yang boleh menjejaskan hasrat Umno untuk meletakkan calonnya jika PRK diadakan di kawasan berkenaan.

"Kita faham pengaruh Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal ketika itu namun dalam situasi sekarang, penerimaan semula rakyat kepada BN semakin meningkat. Ini dibuktikan dalam beberapa siri PRK dan terkini kemenangan BN semasa PRN Melaka, baru-baru ini," katanya.

Beliau menambah di kawasan Bugaya sahaja, Umno mempunyai sebanyak 180 cawangan dan yakin jika ahli memebri sokongan padu kepada calon BN, tiada sebab sukar untuk merampas kembali kerusi DUN berkenaan.

Katanya, apa yang penting kepimpinan Umno bahagian perlu bekerja keras mendekati akar umbi dan semua struktur membabitkan pemuda, wanita dan puteri perlu digerakkan secara pro-aktif.

"Kita juga akan mendapat maklum balas daripada akar umbi sebelum membuat ketetapan sama ada meletakkan calon atau sebaliknya," ujarnya.

Pada pilihan raya negeri 2019 lepas, penyandangnya Manis Muka berjaya mempertahankan kerusi DUN Bugaya menewaskan enam pencabar yang lain.

Ahad, 9 Januari 2022

TKM GESA PUSAT PERCEPAT DANA BIAYAI LEBUH RAYA KALABAKAN - SERUDUNG

 
Bung Moktar ketika di perbatasan Indonesia - Malaysia semasa lawatan itu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin meminta Kerajaan Persekutuan mempercepatkan peruntukan bagi membiayai pembinaan lebuh raya menghubungkan Kalabakan ke Serundung di Kalimantan Utara, sempadan antara Malaysia - Indonesia.

Katanya, lebuh raya di sebelah Indonesia telah pun siap sepenuhnya dan kini cuma menunggu permulaan di pihak Malaysia.

"Adalah diharapkan Kerajaan Pusat dapat mempercepatkan peruntukan bagi tujuan pembinaan lebuh raya sejauh 39 km yang menghubungkan jajaran kedua-dua negara," katanya dalam satu hantaran ke laman facebooknya selepas melakukan lawatan bersama rombongan ke Serudung, sempadan antara Malaysia dan Indonesia.

Rombongan itu turut disertai Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Andi Muhammad Suryadi Haji Bandy, Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya, Datuk Jasmin Julpin, Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Ali Ahmad dan Komander Esscom, Hamzah Ahmad.

Bung Moktar ditemubual wartawan di kawasan sempadan itu.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya, berkata lawatan tersebut bertujuan bagi meninjau dan mengenal pasti jajaran dari Kalabakan ke Serundung.

Katanya, dengan langkah mempercepatkan peruntukan tersebut akan membolehkan pembinaan lebuh raya itu dapat dimulakan di pihak Malaysia.

TKM menyatakan sesuatu berhubung keadaan jalan di jajaran tersebut.

Selasa, 4 Januari 2022

JAMES WONG DEDAHKAN PERKARA YANG TIDAK DIKETAHUI PEMINAT SEBELUM INI

JAMES...saya ceritakan perkara yang ramai orang tidak tahu.

Pemain legenda Sabah, Datuk James Wong tampil menceritakan perkara yang menjadi "rahsianya" sendiri dan tidak pernah diketahui peminat bola sepak sebelum ini.

Katanya, sekurang-kurangnya ada empat perkara yang cuba disembunyikannya kepada peminat dan tidak pernah didedahkan kepada umum termasuk wartawan sepanjang pembabitannya dalam sukan bola sepak.

"Saya fikir baru sekarang saya mahu kongsikannya, saudara mahu tahu kan," katanya dalam satu interviu eksklusif di pejabat Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) di sini, petang ini.

"Yang lain-lain jangan tanya, saya tidak mahu cakap. Yang ini boleh saudara tulis," jelas bekas penyerang skuad olimpik negara itu.

Kenapa pula Datuk, saya bertanya?. Sekarang saya belum mahu cakap soal lain, bagus saya ceritakan yang orang lain tidak tahu sebelum ini, tambahnya.

Presiden Persatuan Bekas Pemain-Pemain Sabah itu memberitahu, sebenarnya dia merupakan satu-satunya pemain dari Sabah ketika berusia 16 tahun mewakili skuad kebangsaan sebagai penjaga gol ke Kejohanan bola sepak belia di Tokyo, Jepun pada tahun 1971.

Katanya, dia juga pemain pertama dari Sabah yang menyarung jersi skuad senior kebangsaan pada tahun 1976 ketika berusia 21 tahun.

Selepas itu barulah pemain-pemain lain seperti Hassan Sani, Peter Rajah, Tony Wong, Awang Sabtu Jamil dan Razali Zinin menyusul beberapa tahun kemudian, bermula tahun 1979.

"Saya juga pernah memenangi anugerah sebagai Pemain Terbaik Malaysia pada 1980 anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," kata pemain yang pernah mendapat jolokan King James itu.

James membetulkan pelitup muka sambil memikirkan hala tujunya sebagai seorang legenda bola sepak.

Bekas penyerang sensasi itu menjelaskan, dia juga menjadi pemain pertama dari Sabah yang berpeluang menyertai kelab Hakoah Eastern Surburb di Sydney, Australia pada 1974.

"Ketika itu saya bukan lagi penjaga gol tetapi sudah bermain sebagai striker kelab berkenaan untuk satu musim dalam semi-pro di sana," katanya.

Ditanya bagaimana dia menyertai kelab tersebut, James berkata, "jurulatih Malaysia ketika itu, Dave Maclaren dari Scotland telah mempelawanya untuk bermain dengan kelab berkenaan,".

Menurutnya, jurulatih Maclaren sebelum itu iaitu pada 1972 juga pernah memintanya untuk mencuba nasib dengan kelab Wolverhampton Wandarers di England namun tidak kesampaian. James bagaimanapun tidak menyatakan sebab-sebabnya.

Bekas pemain tinggi lampai itu juga pernah bermain dengan kelab Happy Valley di Hong Kong selepas itu tetapi tidak banyak berkongsi kisahnya.

Mengenai pertukaran posisinya dari penjaga gol ke striker, James berkata, "ia atas keinginannya sendiri dan bukan disebabkan jurulatih."

"Saya sendiri yang mahu jadi striker," katanya sambil menambah bahawa bekas jurulatih Malaysia, mendiang Karl Weigang pernah memintanya untuk bermain di posisi attacking midfield atau back up striker dalam skuad kebangsaan.

"Biasanya saya akan jadi back up striker kepada allahyarham Moktar Dahari apabila kami bermain bersama," ujarnya.