Ahad, 13 Februari 2022

TIADA HUJAN SALJI DI KK - METEOROLOGI

Gambar yang diambil dari rakaman video yang tular itu.

KOTA KINABALU-- Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Amir Zudi Hashim menyangkal dakwaan berlaku hujan salji di bandar ini berikutan tular video yang mendakwa berlaku hujan tersebut di sini.

Katanya, jabatannya melalui stesen pencerapan utama di Kota Kinabalu tidak mencerap kejadian tersebut.

"Kandungan video yang tular, yang menunjukkan seolah-olah berlaku hujan salji disebabkan video dimainkan dalam mood perlahan sehingga titisan air hujan yang turut dilihat seperti salji," katanya kepada wartawan RTM.

Justeru, menurut Amir, tiada kejadian seperti itu berlaku di Kota Kinabalu dan beliau menafikan dakwaan tersebut.

Video tersebut tular di media sosial dirakam seorang orang awam.

Khamis, 10 Februari 2022

SAFA, BADAN BOLA SEPAK NEGERI PERTAMA BERKOLABARASI DENGAN MSN

Bung Moktar dan Safrushahar menunjukkan dokumen MoU yang ditandatangi.

Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) menjadi badan bola sepak yang pertama di negara ini berkolabarasi dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk pembangunan sukan bola sepak.

Ini berikutan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak pada majlis yang diadakan di sebuah hotel di Kota Kinabalu, hari ini.

SAFA diwakili Presidennya, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin manakala Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan MSN, Mohd Safrushahar Yusoff mewakili MSN bagi menandatangani MoU berkenaan.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata melalui MoU itu, SAFA dan MSN akan menjalinkan kerjasama erat untuk pembangunan bola sepak di Sabah termasuk mencungkil bakat lebih ramai pemain muda di seluruh daerah termasuk di luar bandar.

Bung Moktar berucap pada majlis itu.

Katanya, dengan kerjasama kedua-dua pihak, usaha untuk memajukan bola sepak di negeri ini akan dapat dipertingkatkan di mana pihak MSN boleh membantu di segi teknikal.

"Sebelum ini, SAFA memang berusaha melakukan usaha pembangunan sukan bola sepak ini namun dengan kolabarasi dengan MSN, usaha ini mampu diperluaskan lagi," katanya. 

Beliau berharap kerjasama ini akan dapat dilaksanakan secepat mungkin terutama di daerah-daerah di luar bandar.

Katanya, pembangunan sukan bola sepak di Sabah akan berpandukan perancangan yang dirangka bersama menerusi kerjasama ini.

Kolabarasi SAFA dan MSN tentu sekali diharap dapat mengenal pasti bakat pemain bukan sahaja untuk negeri dan negara malah kepada industri bola sepak  dunia, ujarnya.

"Kita akan mencari pemain bermula daripada peringkat remaja untuk digilap dan sudah tentu MSN yang mempunyai kepakaran boleh bekerjasama dalam mencari bakat baharu yang benar-benar berkualiti," jelas Bung Moktar.

Bung Moktar (kiri) bersama Safrushahar menandatangani MoU itu. Turut kelihatan Dr Jelani dan Shukri.

Presiden SAFA itu seterusnya berharap memorandum persefahaman itu perlu dizahirkan dengan mengambil tindakan pantas menjayakan pelaksanaannya.

Mengenai dengan perancangan lain badan bola sepak negeri, beliau berkata, sebaik sahaja penstrukturan semula dilakukan, SAFA akan berusaha untuk mempunyai bangunannya sendiri.

"Kita sudah mempunyai tapak tanah seluas sembilan ekar untuk tujuan sebagai tapak bangunan tersebut," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Presiden SAFA, Datuk Rahman Zakaria, Naib Presiden, Datuk Suhaimi Nasir, Setiausaha Agung, Datuk Dr Jelani Hamdan, Bendahari Agung, Jasnih Daya dan Ketua Cawangan Program MSN, Shukri Harun.

Bung Moktar bersama beberapa pemimpin tertinggi SAFA dan pegawai MSN selepas menandatangani MoU berkenaan.

Rabu, 9 Februari 2022

SAFA, MSN METERAI MoU PEMBANGUNAN BOLA SEPAK KHAMIS

KOTA KINABALU--Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung pembangunan bola sepak di Sabah dalam satu majlis di sini, esok (Khamis). 

Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar atas) akan menyempurnakan majlis berkenaan di sebuah hotel di sini. 

Dalam satu kenyataan SAFA hari ini, berkata, MoU itu adalah susulan perbincangan awal antara SAFA, MSN dan Jabatan Pendidikan Negeri berkaitan perancangan untuk memajukan sukan bola sepak di negeri yang dimulakan sejak pertengahan tahun lalu. 

"Beberapa siri perbincangan membabitkan wakil tiga pihak itu telah dilakukan beberapa kali sebelum MoU itu dapat dimuktamadkan untuk dimeterai kedua-dua pihak," tambah kenyataan itu.

IMBAS KEMBALI...perbincangan awal membabitkan wakil SAFA, MSN dan Jabatan Pendidikan pertengahan tahun lepas bagi merealisasikan kerjasama tersebut.  

Sebelum ini, Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar memberitahu, kerjasama membabitkan tiga pihak antara SAFA, MSN dan Jabatan Pendidikan perlu diperkasakan bagi merealisasikan usaha untuk pembangunan bola sepak di negeri ini. 

Katanya, beberapa siri perbincangan dilakukan agar persefahaman dan kerjasama dalam usaha untuk memajukan bola sepak di Sabah menjadi kenyataan. 

Menurut beliau, SAFA perlu menjalinkan kerjasama dengan MSN dan Jabatan Pendidikan memandangkan kedua-dua jabatan kerajaan itu selama ini sentiasa berusaha untuk mengetengahkan bakat dan potensi pemain-pemain remaja dalam sukan bola sepak.

"Justeru, SAFA mengambil insiatif untuk menjalinkan kerjasama dan persefahaman dengan mereka agar usaha memajukan sukan bola sepak di negeri ini dapat digembleng dan diperkasakan,", katanya.

Kenyataan itu menambah, pemeteraian MoU itu esok (Khamis) akan menjadi sejarah dan era baharu pembangunan bola sepak di Sabah secara berterusan.

Skop pembangunan bola sepak tersebut turut membabitkan proses pewujudan sebuah akademi bola sepak SAFA kemudian, yang bakal dinamakan Akademi Bola Sepak Bung Moktar Radin.

Ia juga sebagai lanjutan kepada penganjuran Kejohanan Bola Sepak Piala BMR bawah umur 18 tahun akhir tahun lepas.

 

Isnin, 7 Februari 2022

ADUN PERLU RAJIN TURUN PADANG KETAHUI MASALAH RAKYAT

KHIDMAT MASYARAKAT...Bung Moktar sedang memaku papan lantai sebuah rumah yang sedang dibaik pulih.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, setiap wakil rakyat perlu memiliki sikap rajin turun padang untuk mendekati rakyat dan mengetahui masalah yang dihadapi mereka di kawasan.

Katanya, komitmen demikian mencerminkan ciri-ciri seseorang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang bertanggungjawab terhadap rakyat yang diwakilinya.

"Amalan turun padang ini adalah ciri utama yang perlu ada kepada setiap wakil rakyat bagi membolehkan mereka diterima di kawasan masing-masing," katanya selepas mengetuai wakil-wakil rakyat dalam program gotong royong CSR sempena pemukinan wakil rakyat GRS di Kampung Langung Ayang, Kudat pada Sabtu.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya, berkata jika ini menjadi budaya dan amalan setiap Adun, jalinan hubungan mesra antara pemimpin dan rakyat di akar umbi akan terus dapat diperkukuhkan sekali gus meyakinkan mereka sentiasa memberi sokongan.

Bung Moktar bersama wakil-wakil rakyat GRS sejurus tiba di Kampung Langung Ayang, Kudat.

Menurutnya, program amal yang dilakukan itu selaras dengan apa yang ditekankan oleh kerajaan selain merupakan salah satu prinsip yang diberi penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui konsep Keluarga Malaysia.

Melalui konsep Keluarga Malaysia turut menekankan supaya pembangunan negara bersifat inklusif yakni tiada mana-mana rakyat yang disisih dan dipinggirkan, tambahnya.

Ketua UMNO Sabah itu menegaskan bahawa pembangunan inklusif itu bukan sahaja kerajaan perlu melaksanakan program-program amal namun menuntut setiap wakil rakyat membantu mencapai objektif program yang dianjurkan.

"Jadi melalui jaringan sosial seperti ini lebih ramai golongan daif dan orang kurang upaya dapat dibantu serta turut bersama menikmati pembangunan yang dilaksanakan kerajaan," ujar beliau.



Jumaat, 4 Februari 2022

SCR ORGANISASI POLITIK PERLU DIPERKASAKAN, KATA BUNG MOKTAR

Bung Moktar mencuba kenderaan jenazah sumbangan Pemuda UMNO Kudat itu.

KUDAT-- Barisan Nasional (BN) dan UMNO perlu terus memperkasakan tanggungjawab sosial korporat (SCR) kerana peranannya penting dalam pembangunan masyarakat terutama dalam membantu golongan yang memerlukan di samping mengurangkan kadar kemiskinan dalam negara.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, berkata dalam proses pemerkasaan CSR ini, pengupayaan instrumen zakat dan wakaf perlu diberikan keutamaan.

"Dalam melaksanakan program SCR ini, BN dan UMNO walaupun sebagai organisasi politik namun tidak terlepas dari memikul tanggungjawab untuk menyumbang kepada kemajuan masyarakat," katanya selepas menyerahkan kenderaan jenazah sumbangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kudat kepada masjid Jamek Kampung Pengaraban di sini, kelmarin.

Program tersebut merupakan salah satu pengisian program Pemukiman Ahli Dewan Undangan Negeri Kelab Penyokong yang berlangsung di daerah ini selama tiga hari.

Bung Moktar menyerahkan kunci kenderaan jenazah kepada Pengerusi masjid Jamek Kg. Pengaraban pada majlis itu.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata, tanggungjawab parti bukan sahaja memperkukuhkan parti dan kerajaan namun turut memenuhi kehendak dan memberi penambahbaikan nilai kepada masyarakat agar lebih dekat dengan parti dan kerajaan.

Katanya, walaupun konsep SCR ini teori dari Barat, dari sudut lain ia dilihat selaras dengan tuntutan Islam yang menekankan ciri perniagaan tidak bertujuan memenuhi hanya material sahaja.

Ciri perniagaan dalam Islam juga menekankan kepentingan menjaga kebajikan sosial masyarakat sekeliling, tambahnya.

"Ini dapat dibuktikan dengan tuntutan mengeluarkan zakat dan galakan mewakafkan harta. Penubuhan institusi zakat bertujuan membasmi kemiskinan dan membantu kebajikan sosial masyarakat. Begitu juga institusi wakaf yang bertujuan membangunkan sosio-ekonomi sesebuah negara," ujar beliau.

Sambil mengharagai usaha yang dilakukan oleh Pemuda UMNO Bahagian Kudat itu, Bung Moktar berkata, impak dari aktiviti ini dapat dimanfaatkan bersama bagi mencapai kesejahteraan masyarakat.

Ia sekali gus dapat memperbaiki taraf kehidupan masyarakat selain menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara, katanya.

Menurut Ketua UMNO Sabah itu, ketika negara dilanda pandemik Covid-19, BN/UMNO juga turut memainkan peranan menghulurkan bantuan bakul makanan hampir di seluruh daerah di negeri ini yang bertujuan untuk meringankan mereka yang terjejas dengan penularan wabak virus ini.

Beliau berharap pemimpin parti di semua peringkat bahagian perlu cakna kepada perkembangan semasa seperti ketika berlakunya bencana alam, sewajarnya dilakukan pemantauan terhadap keadaan individu yang benar-benar memerlukan bantuan di segi kebajikan.

Selain penyerahan kenderaan jenazah, Bung Moktar turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada golongan asnaf dan tabung masjid Jamek Kampung Pengaraban.

Hadir sama Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan, Adun Bengkoka, Harun Durabi, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi, Ketua UMNO Bahgian Kudat, Akram Ismail dan Ketua Pemuda UMNO Kudat, Sufian Abdul Karim.