Azman (duduk tengah) bersama ahli jawatankuasa pertandingan tempatan SAFA. Turut kelihatan timbalannya, Lokman Sunggim, Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom dan Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat.
KOTA KINABALU--Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor akan melakukan penutupan perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Sabah 2022 bagi merebut piala sumbangan beliau di Stadium Likas yang dijadualkan pada 27 Mac ini.
Sebanyak lapan pasukan yang mewakili zon masing-masing akan melayakkan diri ke grand final kejohanan itu bermula pada 23 Mac dan akan berakhir selama lima hari.
Zon terbabit ialah Pantai Barat Utara melibatkan pasukan Pitas, Kota Marudu, Kudat dan Matunggong, Pantai Barat Timur terdiri dari pasukan Tuaran, Tamparuli, Kota Belud dan Kiulu, Pantai Barat membabitkan pasukan Kota Kinabalu, Penampang, Papar dan Putatan, Pantai Barat Selatan terdiri dari pasukan Sipitang, Beaufort, Membakut, Kuala Penyu, Menumbok dan WP Labuan, Pantai Timur Utara terdiri dari pasukan Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Libaran, Zon Tengah melibatkan Telupid, Ranau dan Tongod, Pedalaman Atas membabitkan Keningau, Tambunan, Tenom dan Nabawan dan Pantai Timur Selatan terdiri dari Tawau, Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Kalabakan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Azman Mastar berkata, kejohanan peringkat zon akan ditentukan oleh zon masing-masing mengikut kesesuaian tarikh dan masa yang mereka tetapkan.
Katanya, sehingga ini sekurang-kurangnya lima zon iaitu Pantai Timur Utara, Zon Tengah, Pantai Timur Selatan, Pantai Barat dan Pantai Barat Timur sudah menetapkan tarikh dan venue kejohanan masing-masing.
"Kita yakin tiga lagi zon sedang dalam proses untuk memutuskan tarikh dan venue kejohanan mereka memandangkan masing-masing sudah menyatakan persetujuan berbuat demikian dalam masa terdekat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA di sini pada Rabu.
Azman ketika mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan pagi tadi.Azman yang juga Penolong Setiausaha Agung SAFA memberitahu, semua lapan zon yang terlibat telah memberi kerjasama yang baik bagi menjayakan kejohanan tersebut.
Katanya, kejohanan itu sebelum ini dikenali sebagai Piala Ketua Menteri namun jawatankuasa berkenaan sepakat menukarkan nama kejohanan itu kepada Piala Sabah mulai tahun ini.
Bagaimanapun, ujarnya, kejohanan ini tetap akan merebut piala sumbangan Ketua Menteri Sabah pada ketika ini, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor.
"Ketua Menteri sendiri akan diberi penghormatan untuk menyempurnakan majlis penutupan dan seterusnya menyampaikan hadiah dan piala pada perlawanan akhir kejohanan di Stadium Likas pada 27 Mac ini," katanya sambil menambah ia akan turut dihadiri Presiden SAFA, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.
Menurut beliau, lapan pasukan yang menjuarai kejohanan peringkat zon akan dibahagikan kepada dua kumpulan di grand final di mana undian secara dalam talian akan diadakan di pejabat SAFA.
Pasukan juara setiap kumpulan yang dijalankan secara liga akan bertemu di perlawanan akhir untuk menentukan pemenang juara dan naib juara.
Juara akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM30,000, sebuah piala dan 30 medal manakala naib juara akan menerima wang tunai RM20,000, sebuah piala dan 30 medal.
Sementara itu, enam pasukan yang berjaya melayakkan diri ke grand final akan menerima wang sagu hati sebanyak RM3,000.
Azman berkata, Piala Sabah 2022 merupakan kejohanan kedua dalam kalender perancangan SAFA selepas kejayaan penganjuran Kejohanan Piala BMR B18 hujung tahun lalu.
"Selepas kejohanan ini, SAFA juga merancang menganjurkan kejohanan antara kelab-kelab dan kejohanan Piala SAFA. Ia memang termasuk dalam kalender perancangan SAFA dan berharap dengan kerjasama baik setiap zon, kita akan dapat menjayakannya selari dengan usaha untuk memajukan sukan bola sepak di Sabah," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan