Ahad, 17 Julai 2022

NASIB TIDAK MENYEBELAHI SABAH FC

Bung Moktar bersalaman dengan pemain-pemain di bilik persalinan.

KOTA KINABALU--Nasib tidak menyebelahi Sabah FC apabila jaringan melalui sepakan bebas pada minit-minit akhir menyebabkan mereka dikecewakan pasukan JDT dalam perlawanan Liga Super  di Stadium Likas, Jumaat lepas.

Selepas terikat 1-1, pasukan pelawat memanfaatkan masa tambahan lima minit yang diberikan pengadil untuk menjaringkan gol kemenangan mereka melalui Fernando Forrestieri pada minit ke-94.

Sabah FC mempamerkan kesungguhan untuk mengekang JDT yang menyaksikan pemain tengah, Park Tae Su menjaringkan gol pendahulu pada minit ke-19 babak separuh masa pertama sebelum JDT mendapatkan gol penyamaan melalui Forrestieri tujuh minit kemudian.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, berkata penyokong setia memberi sokongan moral mencukupi kepada Sabah FC dalam perlawanan tersebut.

"Cukup sokongan moral yang diberikan penyokong setia Sabah FC namun apakan daya nasib tidak memihak tuan rumah," katanya dalam satu hantaran di akaun facebook, semalam.

Menurut beliau, JDT adalah sebuah pasukan yang kuat dan mantap.

"Tahniah kepada JDT," tambahnya.

Sebelum permainan, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya sempat menemui pemain-pemain Sabah FC dan memberikan kata-kata perangsang kepada mereka di bilik persalinan.

Lebih 23 ribu penonton membanjiri Stadium Likas untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

Turut menyaksikan perlawanan itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Bung Moktar bersama Ahmad Faizal (kanan) menyaksikan perlawanan Sabah FC dengan JDT.
 

Walaupun keputusan itu mengecewakan penonton namun Sabah FC akan terus bergerak ke hadapan untuk menghadapi beberapa perlawanan lagi yang bakal diharunginya.

Sabah FC akan turun menentang Terengganu FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas pada Selasa ini dan kemudian akan menentang Selangor FC dalam perlawanan Piala FA di venue yang sama pada 23 Julai ini.

Pasukan tuan rumah tentunya akan terus memerlukan sokongan padu penonton menggemuruh suasana stadium sebagaimana yang ditunjukkan dalam perlawanan dengan JDT itu.

Penonton yang membanjiri Stadium Likas untuk memberi sokongan kepada pasukan mereka.


Selasa, 12 Julai 2022

TKM SUMBANG 29 EKOR LEMBU UNTUK HARI RAYA KORBAN DI PARLIMEN KINABATANGAN

Bung Moktar turut serta melapah daging lembu semasa majlis itu.

KINABATANGAN--Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menyumbangkan 29 ekor lembu untuk kawasan Parlimen Kinabatangan pada sambutan Hari Raya Aidiladha pada Ahad lepas.

Dari jumlah itu, lapan ekor disumbangkan kepada enam Pusat Daerah Mengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan dua ekor untuk UPPM Lamag serta Sekolah Rendah Kota Kinabatangan dan Taskin Bukit Garam.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya dan Anggota Parlimen Kinabatangan turut turun padangmenyaksikan majlis penyembelihan dan penyerahan daging korban kepada penerima di beberapa lokasi termasuk di Masjid Kampung Perpaduan Batu Putih dan Kampung Batu 3 Bukit Garam.

Bung Moktar bersama Jafry memerhati penduduk kampung melakukan kerja-kerja melapah daging lembu di Masjid Kg Perpaduan Batu Putih, Kinabatangan.

Turut sama pada majlis itu ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin yang juga ADUN Sukau dan pemimpin masyarakat tempatan.

Bung Moktar yang juga ADUN Lamag ketika ditemui di sini, berkata adiladha dan korban lembu mempunyai sejarah dan signifikan kepada umat Islam.

Katanya, bagi umat Islam pengorbanan yang dilakukan bermakna membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Beliau berharap walaupun sambutan aidiladha ini secara sederhana namun yang penting dapat menghayati nilai-nilai pengorbanan umat Islam.


Sabtu, 9 Julai 2022

SAFA, TABS SAFA BANDARAYA HULUR SUMBANGAN MANGSA KEBAKARAN

David (enam dari kanan) menyampaikan sumbangan SAFA kepada Roslan diperhatikan Lokman, Juraidah, Ramlye dan Matasan.

KOTA KINABALU--Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dan TABS SAFA Bandaraya menghulurkan sumbangan wang tunai kepada jurulatih Roslan Wasli yang mana rumahnya terlibat dalam satu kebakaran di Kampung Contoh, Petagas baru-baru ini. 

Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom menyerahkan sumbangan itu kepada Roslan yang juga penolong ketua jurulatih TABS SAFA Bandaraya pagi ini (Sabtu). 

Manakala Timbalan Pengerusi TABS, Lokman Sunggim mewakili pengurusan TABS menyerahkan sumbangan itu kepada jurulatih berkenaan.

Turut menghulurkan sumbangan ialah SAFA Bandaraya Kota Kinabalu yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusinya, Othman Abdullah kemudian.

Lokman (empat dari kiri) menyerahkan sumbangan pengurusan TABS kepada Roslan.

David berkata, sumbangan SAFA itu bagi membantu meringankan bebanan Roslan sekeluarga akibat musibah yang berlaku. 

Katanya, SAFA bersimpati dengan musibah yang menimpa jurulatih itu dan keluarganya dan berharap mereka bersabar dengan dugaan yang dihadapi. 

Ketika ini, Roslan dan keluarganya sedang merancang untuk membina semula rumah di tapak berkenaan. 

Lokman yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA pula berharap Roslan sekeluarga bersabar dalam menghadapi dugaan tersebut.

"Kita sangat bersimpati dengan musibah menimpa Roslan sekeluarga kerana dia merupakan seorang jurulatih yang aktif dalam bola sepak di Sabah malah pernah menjadi jurulatih skuad B19 Sabah pada 2021 dan juga penolong jurulatih skuad tersebut sebelum itu," katanya.

Roslan menerima sumbangan SAFA Bandaraya yang disampaikan Othman (tiga dari kiri).  

Sementara itu, Roslan ketika ditemui di sini mengucapkan terima kasih kepada SAFA dan TABS SAFA Bandaraya serta semua penyumbang yang menghulurkan sumbangan kepada mereka selepas kejadian tersebut. 

"Kami sekeluarga sangat menghargai bantuan semua penyumbang dan mengucapkan terima kasih kepada mereka," katanya. 

Pada majlis itu, Setiausaha Eksekutif SAFA juga menyampaikan sumbangan bola kepada TABS SAFA Bandaraya yang diterima Lokman mewakili pengurusan tertinggi TABS. 

Turut hadir Setiausaha SAFA Bandaraya, Juaridah Datuk Abd Rahim, Naib pengerusi TABS, S.A Ramlye, ketua jurulatih, Matasan Ahmad dan ahli jawatankuasa TABS, Moksin Dusin.

David menyampaikan sumbangan bola kepada TABS SAFA Bandaraya yang diterima Lokman.

Khamis, 7 Julai 2022

SAYA BUKAN TALI BARUT HALANG TUNTUTAN MA63, KATA BUNG MOKTAR

BUNG MOKTAR...pemimpin berkenaan senyap ketika dalam kerajaan BN.

 Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menegaskan bahawa beliau bukan tali barut yang menidakkan usaha untuk menuntut Perjanjian Malaysia (MA63) yang hangat dibincangkan sejak sekian lama.

Menurutnya, sebaliknya beliau hanya menyarankan supaya tiba masanya pemimpin Sabah bertindak bijak dalam menuntut hak rakyat Sabah yang termaktub dalam MA63 dari kerajaan Persekutuan.

"Saya bukan tali barut, jangan salah anggap. Saya hanya menyatakan sudah tiba masanya pemimpin Sabah bersikap secara lebih bijak, malah saya tidak pernah menidakkan perjanjian MA63 ini,".

"Apa yang saya katakan pemimpin yang bijak akan mencari penyelesaian tetapi sebaliknya pemimpin yang lemah dan rapuh akan terus memainkan isu walaupun dia sendiri tahu isu ini tidak akan selesai," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Umno Sabah mengulas tuduhan tidak berasas mengenai cadangan yang diluahkan pemimpin BN termasuk beliau sendiri berhubung usaha merealissikan sepenuhnya tuntutan MA63 pada Konvensyen BN Sabah, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata, hanya pemimpin yang bijak mampu mencari jalan bagi mencapai tuntutan MA63 tanpa perlu menunjukkan emosi yang berlebihan.

"Ada pepatah menyebut pemimpin yang tidak bijak seumpama "anjing menyalak bukit", beratus-ratus tahun pun dia menyalak, bukit tidak akan runtuh."

"Sebaliknya pula pemimpin yang bijak ibarat seperti anjing yang pandai, kurang menyalak namun ia menyusuri jalan kecil ke puncak bukit dan mendapatkan apa yang dia mahu," tegas beliau.

Bung Moktar berkata, 'new deal' yang dicadangkan dalam isu tuntutan MA63 bermakna semua perkara yang menjadi halangan atau kekangan untuk melaksanakan perjanjian yang dipersetujui akan dihapuskan.

Dengan pendekatan demikian, katanya, Sabah akan mendapat lebih peruntukan dan bukan seperti yang diperjuangkan oleh pemimpin tertentu yang dilihat sebagai pejuang tetapi untuk mencari publisiti murahan semata-mata.

Katanya, MA63 telah dimeterai berpuluh-puluh tahun lalu tetapi belum ada penyelesaian walaupun sudah ramai pemimpin tampil memperjuangkan isu berkenaan termasuk ada yang dipenjarakan.

"Hakikatnya walaupun isu ini telah dibincangkan beratus kali, dibahas beribu kali, pemimpin pun datang dan pergi sehinggakan ada yang masuk penjara kerana terlalu emosi dan ekstrem namun isu MA63 masih tidak selesai."

"Perjuangan untuk mendapatkan hak Sabah dalam MA63 masih juga tidak dicapai," ujarnya.

Bung Moktar turut membidas pemimpin BN yang kini lantang bersuara mengenai MA63 ini tetapi hanya berdiam diri ketika mereka berada dalam kerajaan BN sebelum ini.

"Dalam isu ini, ramai pemimpin beremosi dan sesat di jalan yang terang. Presiden PBS, pemimpin Warisan, pemimpin Upko umpamanya, mereka semua ini berada dalam kerajaan BN dahulu."

"Ketika mereka dalam kerajaan BN, mereka memilih untuk berdiam diri dan apabila BN kalah, merekalah yang meninggalkan BN atau melompat lebih awal," katanya.

Beliau menambah, sekarang mereka tiba-tiba bersuara lantang semula memandangkan angin pilihan raya ke-15 sudah bertiup kencang dan pada fikirannya hanyalah untuk menang kerusi dalam pilihan raya sahaja dan mahu berkuasa semula.

"Saya fikir pemimpin seumpama ini, mereka bukan bekerja untuk memajukan Sabah sebaliknya semata-mata untuk mendapatkan kelebihan politik sahaja," tambahnya.