Ahad, 6 November 2022

AMINAH TEMUI PENGUNDI DI PEKAN MENUMBOK

 

Aminah dan Ag Aslee melambai tangan kepada peniaga dan pengunjung tamu ketika menjayakan program "walkabout" tersebut.

BEAUFORT--Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching menemui pengundi di pekan Menumbok menerusi program walkabout di pekan berkenaan pagi tadi (Ahad).

Secara tradisinya kawasan tersebut merupakan kubu kuat BN sejak sekian lama.

Dengan diiringi Ketua Umno Bahagian Beaufort, Datuk Ag Aslee Lakat, naib ketua bahagian, Ag Damit Jion, setiausaha bahagian, Abdul Rahman Taib dan bekas ahli jawatankuasa BN Beaufort, Lokman Sunggim, Aminah berjalan kaki kira-kira sejam menemui masyarakat dan peniaga di situ.

Beberapa pemimpin dan penyokong BN turut dilihat bersama-sama beliau sepanjang program tersebut.

Aminah juga kemudian menghadiri satu majlis di kediaman bekas Naib Ketua Umno Bahagian Beaufort, Pg Jaafar Pg Osman.

Calon BN itu bersama Ketua PDM Menumbok, Haji Mohd Fadzlee Lee semasa melawat tamu pekan berkenaan.

Sementara itu, pada satu program ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Menumbok, Ag Aslee menyatakan sokongan penuhnya terhadap pemilihan Aminah sebagai calon BN di kawasan Parlimen Beaufort.

Katanya, ia selaras dengan pendirian sebelum ini bahawa siapa saja dalam kalangan pemimpin bahagian yang diberi kepercayaan pucuk pimpinan atasan akan diberi sokongan yang tidak berbelah bahagi.

"Alhamdulillah...kawasan ini telah diberi peluang kepada BN untuk meletakkan calon pada pilihan raya umum kali ini. Ini bermakna usaha kita untuk meyakinkan pimpinan atasan telah dimakbulkan." ujar beliau.

Menurutnya, kawasan ini bukan sekadar diberikan kepada BN untuk bertanding malah ia perlu memenanginya.

Ag Aslee yang juga Pengerusi BN Beaufort yakin berdasarkan sambutan dan sokongan rakyat, BN boleh memperoleh kemenangan di kawasan ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua PDM Menumbok, Haji Mohd Fadzlee Lee Abdullah, timbalannya, Pg Jaafar Pg Osman dan wakil GRS.

Aminah diiringi Ag Aslee, Rahman dan Lokman menemui peniaga di pekan tersebut.

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan