Ahad, 13 November 2022

PASTIKAN KEMENANGAN CALON BN DAN GRS, KATA KM

Hajiji bersama Bung Moktar pada Majlis pemimpin bersama rakyat di Pimping, Membakut.

MEMBAKUT--Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor menyeru rakyat khususnya penyokong Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi sokongan sepenuhnya kepada calon-calon BN dan GRS yang bertanding dalam Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.

Katanya, penyokong kedua-dua gabungan tersebut perlu saling bekerjasama bagi memastikan kemenangan calon-calon BN-GRS yang telah diberi kepercayaan untuk mewakili gabungan berkenaan pada PRU kali ini.

"Kita perlu menyokong dan memenangkan mereka untuk membolehkan usaha dan komitmen kerajaan negeri untuk membawa pembangunan berterusan dan berkhidmat demi kesejahteraan rakyat,'' katanya pada Majlis pemimpin bersama rakyat di Pimping, Membakut pada Khamis.

Turut hadir Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Haji Mohd Ariffin Arif dan para pemimpin GRS dan BN serta calon BN Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.

Hajiji berucap di hadapan penyokong GRS dan BN pada majlis itu.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, di peringkat kerajaan negeri, GRS dan BN telah membuktikan kerjasama yang baik untuk berkhidmat kepada rakyat di negeri ini.

Menurutnya, gabungan kerjasama antara GRS dan BN merupakan satu komitmen yang berterusan untuk meneruskan usaha-usaha membangun negeri dan demi kesejahteraan rakyat.

"Justeru, keputusan untuk GRS dan BN bersama-sama menghadapi PRU kali ini menuntut kerjasama erat dan dokongan penyokong-penyokong GRS dan BN menterjemahkan dalam kertas undi bagi memenangkan calon-calon yang mewakili kedua-dua gabungan," tegasnya.

Bung Moktar diberi sambutan memberangsangkan dalam satu program BN di di Dewan Datuk Seri Lajim Ukin di Beaufort.

Beliau seterusnya mengajak penyokong-penyokong BN dan GRS supaya sentiasa bersama-sama memastikan calon-calon kedua gabungan ini mencapai kemenangan pada 19 November ini.

Pada PRU kali ini, GRS bertanding di 13 kawasan Parlimen manakala BN meletakkan calon di 12 kawasan Parlimen di Sabah.

Penyokong BN-GRS yang hadir dalam program BN yang dihadiri Bung Moktar di pekan Kuala Penyu.
Setiausaha GRS Beaufort, Jali Nordin berucap menzahirkan sokongan GRS kepada calon BN Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching pada program BN di Beaufort.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan