Selasa, 29 November 2022

GURU BESAR MENUAI PADI BERSAMA PETANI

Jamawih (dua kanan) bersama penduduk menuai padi di Kg. Gerowot, Kuala Penyu.

Seorang guru besar, Jamawih Kanapi memanfaatkan cuti peristiwa sehari dengan menyertai penduduk Kampung Gerowot, Kuala Penyu bergotong-royong menuai padi di kampung berkenaan, Isnin lalu.

Jamawi, 55, Guru Besar SK Menunggang di sini kembali berkhidmat di sekolah ini selepas meninggalkannya selama 21 tahun kerana berpindah bertugas di sekolah lain.

"Setelah meninggalkan SK Menunggang tahun 2000 untuk pindah ke sekolah lain namun setelah 21 tahun, saya kembali berkhidmat sebagai guru besar pada Februari 2021," katanya.

Menurut beliau, aktiviti menanam padi merupakan situasi yang cukup menyeronokkan dan memperlihatkan kerajinan serta kerjasama penduduk bergotong royong sama ada ketika menanam atau menuai padi mengikut giliran yang ditetapkan ketua kampung.

Jamawih menikmati suasana indah bersama anak-anak petani berteduh di bawah pokok di tepi sawah padi.

Kampung Gerowot yang lokasinya lebih satu kilometer dari sekolah tempat Jamawih bertugas, satu-satunya lokasi yang masih lagi menjalankan aktiviti menanam padi di daerah Kuala Penyu.

Justeru guru besar berasal dari Kampung Tepi Laut, Menumbok ini tidak mensia-siakan masa cutinya untuk menyertai aktiviti menuai padi penduduk yang katanya, rata-rata petani yang menanam padi di Kampung Gerowot adalah mantan pelajarnya ketika bertugas di SK Menunggang sekitar tahun 1988-2000.

Selain itu, tambahnya, ibu bapa mereka juga adalah sahabat-sahabatnya ketika itu.

Jamawih manfaatkan cutinya sertai aktiviti menuai padi.

"Melalui aktiviti sebegini mengimbau kembali kenangan manis ketika saya bersama mereka dahulu," ujar Jamawih, yang juga bekas pengadil bola sepak berpengalaman di daerah ini.

"Syukur alhamdulilllah para sahabat saya di kampung ini masih lagi rapat dengan saya seperti abang Nining Awang, Nuri Suram, Tuah Awang, kakak Saimik dan ramai lagi," jelas beliau.

Jamawih memberitahu, suasana seronok menuai padi bersama mantan murid sambil bercerita kisah-kisah ketika mereka menjadi pelajarnya suatu ketika dahulu sememangnya sangat mengujakan.

"Pada saya terbaiklah warga Kampung Gerowot, tatap monsoi," tambah Jamawih yang ketika ini menetap di Kampung Kabunau, Kuala Penyu.

Pemandangan petani bergotong royong menuai padi di Kg. Gerowot.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan