Selasa, 18 Januari 2011

SERIUS TANGANI KES BUANG BAYI, KATA MUSLIATI

MUSLIATI...masalah buang bayi kritikal.

Pergerakan Puteri Umno Sabah meminta pihak berkuasa supaya mengambil tindakan yang lebih serius terhadap usaha menangani isu pembuangan bayi yang semakin berleluasa di negeri ini kebelakangan ini.

Ketuanya, Musliati Moslimin, berkata lima kes pembuangan bayi yang dilaporkan sejak 1 Januari lepas di Sabah sahaja menggambarkan masalah itu kini ditahap kritikal dan ia memerlukan penggemblengan tenaga daripada semua pihak.

Katanya, pihaknya sangat sedih dengan keadaan yang berlaku kerana walaupun banyak pihak yang bercakap mengenai kes seumpama ini termasuk hebahan di media massa namun kes pembuangan bayi ini masih terus berlaku sehingga hampir setiap hari.

“Sebab itu, kita mendesak pihak yang bertanggungjawab agar melaksanakan program yang mampu membasmi masalah ini dengan lebih berkesan dan bukan sekadar dilakukan seperti melepas batuk ditangga sahaja.

Lima kes itu membabitkan penemuan mayat bayi di Gayang, Tuaran, dua janin di Pusat Commercial Salut, satu janin ditemui terapung di laut berhampiran Kampung Sing Kee di Tanah Merah, Sandakan dan satu janin di kawasan Taman Perumahan Che Mei, Lido di Penampang.

Musliati berkata, masalah itu semakin kritikal dan menuntut semua pihak memberi sumbangan bagi mencari jalan terbaik untuk menyelesaikannya.

Menurutnya, tanggungjawab pencegahan pembuangan bayi bukan sekadar harus dipikul oleh kerajaan semata-mata tetapi juga masyarakat keseluruhan yang boleh memainkan peranan dengan memantau aktiviti di kawasan masing-masing.

“Kita tidak boleh jangka bila dan di mana pihak yang tidak bertanggungjawab akan berbuat demikian,” kata Musliati.

Ketua Puteri Umno Sabah itu meluahkan rasa bimbang bahawa gejala itu akan membawa imej negatif terhadap Malaysia sebagai sebuah negara Islam jika ia tidak ditangani.

Beliau turut menyambut baik tindakan kerajaan menjadikan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes membunuh dan menyifatkannya sebagai suatu keputusan yang sangat wajar dan tepat pada masanya.

“Ini mustahak supaya isu ini tidak menjadi satu budaya dalam masyarakat kerana perbuatan itu bukan sahaja amat hina malah ia melibatkan dosa besar,” tegasnya.

Sabtu, 15 Januari 2011

SFX KENINGAU, SEKOLAH YG SENTIASA DIINGATI

Pelajar-pelajar kelas tingkatan 5A SFX tahun 1980 bergambar bersama Pengetua, Encik Alex Lumau (duduk enam dari kiri) dan guru-guru yang lain.

Guru-guru lelaki SFX Keningau.

Gelagat pelajar kelas tingkatan 5A. Dari kiri Easter, Susan, Francis, Vivian, Roger dan Winnie.

SUKAN TAHUNAN...peserta Rumah Biru bersama cikgu Pazil Jaafar (depan sekali) ketika sukan tahunan SFX.

Winnie dan Easter, dua sahabat yang paling rapat dalam kelas tingkatan lima 5A. Gambar mereka berdua ini cukup meninggalkan kesan dalam ingatan.

Selepas memperoleh kelulusan dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada 1979, saya tidak menyangka bahawa saya akan meneruskan pelajaran ke tingkatan empat di sebuah sekolah di pedalaman kerana kalau mengikut hasrat hati, saya pasti memilih untuk menyambung persekolahan ke Kota Kinabalu.

Bagaimanapun keluarga saya terutama bapa mempunyai perkiraan yang lain dan ini menyebabkan saya tiada pilihan melainkan meneruskan pelajaran ke tingkatan empat di St. Francis Xavier, Keningau, sebuah sekolah menengah yang agak popular di pedalaman.

Sebenarnya pada malam sebelum berangkat ke pekan Keningau keesokannya, tidur saya tidak menentu kerana memikirkan buat kali pertama menjejak kaki di sebuah pekan di pedalaman dan meneruskan pula pelajaran di situ tanpa kawan melainkan rakan-rakan yang baru nak dikenali.

Tetapi oleh kerana ia mungkin sudah tertulis dalam perjalanan hidup saya bahawa SFXlah tempat terbaik untuk saya menyambung persekolahan, saya sekadar mampu menuruti hasrat ayah saya untuk meneruskan pembelajaran di situ.

Selepas kali pertama memasuki kawasan sekolah SFX sehari selepas ketibaan di pekan Keningau, saya hanya ditemani sepupu saya yang ketika itu belajar di tingkatan lima di sekolah sama untuk menemui pengetua, Encik Alex Lumau, seorang individu yang selamba, berperwatakan baik dan tidak bercakap banyak.

Sebelum menemui pengetua tersebut, di luar bilik guru, saya benar-benar berasa tergamam dan seram sejuk apabila seorang guru, cikgu Baharuddin tiba-tiba menangkap leher baju seragam sekolah saya yang secara kebetulan tidak terpasang satu butang di bahagian leher baju, dan beliau berkata, " awak nak tunjuk samseng ke kat sini."

Saya hanya tercegat tanpa menyatakan apa-apa kerana tindakan itu seolah-olah menjadi petanda buruk terhadap permulaan saya memasuki kelas tingkatan empat di sekolah ini.

Mujurlah insiden itu rupanya hanyalah cabaran awal yang saya tempuhi dan ia bukan sesuatu bayangan buruk yang bakal menimpa saya di sekolah ini kerana akhirnya cikgu Baharuddin bukan saja menjadi guru yang saya minati malah ia kemudian menjadi sahabat yang baik sama ada ketika belajar di SFX dan sehinggalah beliau meninggalkan sekolah tersebut dan kami terus menjadi sahabat ketika kami sama-sama berada di Kota Kinabalu selepas beberapa tahun kemudian.

Selama dua tahun belajar di sekolah ini, dari tingkatan empat hingga tingkatan lima, beberapa guru yang saya kenali rapat ialah guru sejarah cikgu Pazil Jaafar, guru geografi cikgu Abdullah Hamid, guru matematik cikgu Abraham dan isteri dari India, guru bahasa Inggeris cikgu George Verghist juga dari India, cikgu Ani (sains) dan Halim (sastera).

Ketika di tingkatan lima, saya berada di kelas tingkatan 5A, sebuah kelas yang mempunyai pelajar yang memiliki karakter yang pelbagai dan popular menjadikan kelas ini sangat dikenali bukan saja di kalangan guru-guru malah pelajar-pelajar dari kelas lain.

Nama-nama pelajar yang hangat seperti Susan A. Jui, Vivian Louis, Roger Amandus, Easter Sutili, Winnie Leong, Yohani Jasni, Hasnol Ayub, Baharun Kasran, Guptah Nair, Jinuin Jaunal, Alex Ditah, Noya Jaafar, James Liput, Joseph Sundangking, Edwin, Justin Mikin, Francis Morsidin, Kong Tze Pin, Paliton Y, Judith Quadra, Philip Francis, Felix Francis dan secara kebetulan saya juga boleh bersahabat baik dengan mereka atau dengan kata lain boleh "masuk" dengan kumpulan mereka ini.

Di kelas tingkatan 5B, saya hanya mengenali beberapa rakan seperti Henry A. Dulasim atau kini dikenali sebagai Mohd Khairy Abdullah, Jackson Angah, Serinus Thomas dan Julian Lingkiron. Kami semua memang rapat dan persahabatan kami semakin ketara dan bertambah erat lagi apabila kami juga bersama-sama menjadi penghuni asrama Yayasan Sabah Keningau sepanjang tahun 1980, yang secara kebetulan saya menjadi pengerusi asrama tersebut ketika itu.

Selepas keputusan SPM pada 1981, kami semua terpisah kerana sama ada menyambung persekolahan atau ada sesetengahnya mendapat peluang pekerjaan dan tidak meneruskan persekolahan, malah ada juga yang terkandas dan terpaksa mengulang untuk menduduki semula peperiksaan SPM.

Saya adalah antara yang bernasib baik kerana layak untuk menyambung persekolahan lagi setelah berjaya dalam peperiksaan SPM pada tahun itu.

Setelah lebih 30 tahun meninggalkan SFX, pada November tahun lepas, bekas pelajar SFX terutama pelajar tingkatan lima tahun 1980 telah menganjurkan majlis reunion yang dihadiri beberapa bekas pelajar dan juga guru-guru yang pernah mengajar di sekolah ini termasuk bekas pengetua kami, Encik Alex Lumau dan isteri.

Malangnya saya tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana kebetulan mempunyai komitmen lain di Kota Kinabalu tetapi dari kejauhan saya dapat berkongsi keseronokan dengan rakan-rakan yang menghadiri majlis reunion itu yang menceritakan kemeriahan pertemuan mereka pada malam itu.

Pada saya secara peribadi, sungguh pun hanya dua tahun belajar di sekolah ini, SFX sebenarnya satu-satunya sekolah menengah yang saya sukar lupakan kerana keramahan dan kemesraan rakan-rakan sepersekolahan selain keunikan sekolah ini yang membenarkan pelajar lelakinya berambut panjang hingga menutupi telinga, yang mungkin tidak berlaku di sekolah lain.

Walaupun saya datang dari daerah yang jauh di Kuala Penyu namun kesempatan belajar di SFX adalah suatu pengalaman dan kenangan yang meninggalkan kesan yang sangat mendalam terhadap diri saya sehingga kini dan agaknya sampai bila-bila.

Bak kata cikgu Pazil Jaafar yang memulakan kerjaya sebagai guru di sekolah ini, SFX menjadi sekolah istimewa kerana kerjaya perguruannya bermula di sini dan tentunya ia sangat sukar dilupakan. Kerana itu juga apabila dimaklumkan dengan majlis reunion itu, cikgu Pazil yang kini menjadi Pengetua di SMK Mergong, Kedah sanggup kembali ke Keningau hanya kerana ingin bertemu semula dengan bekas-bekas pelajar tersebut.

Kesanggupan seorang guru seperti cikgu Pazil itu mencerminkan betapa SFX ada sesuatu yang benar-benar menggamit perasaan untuk beliau datang semula sekalipun puluhan tahun sudah ditinggalkan.

Saya sendiri pun apabila berpeluang untuk bertemu semula dengan beberapa orang rakan sekelas di SFX dulu merasakan seolah-olah tempoh lebih 30 tahun lalu kami terpisah itu terasa bagaikan baru sahaja berlalu. Apa lagi apabila mengimbau detik-detik bersama mereka sama ada di dalam kelas ketika itu atau di luar kelas...kenangan itu kadangkala sangat menyentuh perasaan dan seakan-akan boleh menitis air mata untuk mengenangkannya semula.

Inilah antara keistimewaan SFX dan keakraban pelajar-pelajarnya sentiasa menjadi ingatan dan ia sentiasa segar walaupun sudah puluhan tahun terpisah demi mengejar kerjaya dan kehidupan masing-masing.

Pelajar di sekolah ini silih berganti setiap tahun namun nama SFX sentiasa terukir indah dalam ingatan dan amat sukar untuk dilupakan. Ia meninggalkan banyak kenangan dan pada masa yang sama memberi seribu harapan kepada pelajar yang menjejak kaki di sekolah ini.


Jumaat, 14 Januari 2011

KENAPA SAYA RELA JADI NOMBOR TIGA?

LOKMAN...jawatan bukan segala-galanya.

Ramai rakan-rakan baik dalam parti sendiri, Upko Bahagian Beaufort mahu pun rakan-rakan seperjuangan dalam komponen Barisan Nasional bertanya, kenapa saya memberi laluan kepada orang lain dan sanggup menjadi orang nombor tiga dalam parti di bahagian daripada nombor dua sebelum ini.

Atau dalam bahasa yang lebih mudah daripada memegang jawatan timbalan ketua bahagian menjadi naib ketua bahagian satu walaupun belum diadakan sebarang pemilihan dalam parti di bahagian ini.

Saya memenangi jawatan Timbalan Ketua Upko Bahagian Kuala Penyu tanpa bertanding pada pemilihan parti pada 2004 selepas tiga calon lain gagal mendapat pencalonan yang mencukupi bagi melayakkan diri untuk bertanding.

Secara kebetulan ketua bahagian, Datuk Wences Angang juga telah mengekalkan jawatan beliau selepas menang tanpa bertanding bagi jawatan tersebut.

Apabila Majlis Tertinggi Upko memutuskan untuk kembali menggunakan bahagian mengikut kawasan Parlimen berbanding mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu sebelum ini pada tahun lalu (2010), ketua bahagian, Datuk Wences Angang memberi pandangan supaya saya secara sukarela memberi laluan jawatan timbalan ketua bahagian kepada Adun Kuala Penyu yang baru, John Teo Mau Sing, yang sebelum ini memegang jawatan sebagai penolong bendahari bahagian.

Memikirkan bahawa jawatan bukanlah segala-galanya, saya tanpa dalih menyatakan persetujuan terhadap cadangan ketua bahagian itu.

"Kalau itu yang terbaik pada pandangan Datuk, secara peribadi ia tidak menjadi masalah besar kepada saya kerana pada saya, jawatan bukanlah segala-galanya. Pada saya tanpa jawatan dalam bahagian sekalipun, saya masih boleh menyumbang tenaga dan memberi kerjasama untuk kebaikan BN di kawasan Parlimen Beaufort dan DUN Kuala Penyu," saya memberi maklum balas terhadap cadangan ketua bahagian.

Ekoran daripada itu, Datuk Wences menjelaskan bahawa dengan persetujuan itu, saya akan diletakkan sebagai naib ketua bahagian 1 atau dalam istilah lain, orang nombor tiga dalam bahagian.

Situasi ini bukanlah satu masalah besar kepada saya kerana ini sebahagian pengorbanan kita kepada parti dan BN. Malah saya pernah memberitahu ketua bahagian bahawa jika beliau tidak menyenaraikan saya pun dalam bahagian, ia tidak menjadi masalah kepada saya walaupun ketua bahagian kurang bersetuju dengan apa yang saya perkatakan itu.

Apa pun saya tetap berterima kasih kepada ketua bahagian dan kepimpinan tertinggi Upko termasuk Presiden, Tan Sri Bernard Dompok dan semua ahli majlis tertinggi kerana penyusunan semula penaja Upko Bahagian Beaufort masih memberi peluang kepada saya memegang jawatan sebagai orang nombor tiga.

Kerana kedudukan itu juga membolehkan saya terus menganggotai Jawatankuasa BN Bahagian Beaufort yang dipengerusikan oleh Anggota Parlimen Beaufort yang juga Ketua Umno Bahagian Beaufort, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin.

Tiga lagi wakil Upko bahagian yang menganggotai jawatankuasa itu ialah Datuk Wences Angang , setiausaha bahagian, David Etin dan Adun Kuala Penyu, John Teo Mau Sing yang secara automatik menjadi anggota atas kapasiti sebagai wakil rakyat.

Pada saya pembabitan dalam jawatankuasa BN Bahagian Beaufort cukup bermakna kerana bukan sahaja boleh turut berkongsi idea bagi memperkasa gerak kerja BN khususnya di bahagian Beaufort malah ia turut memberi banyak pengalaman hasil pendedahan yang dilalui bersama dengan anggota-anggota jawatankuasa yang lain.

Ini sangat penting bagi pemimpin-pemimpin komponen BN khususnya dalam merangka strategi dan persediaan bagi menghadapi sebarang pilihan raya yang diadakan pada masa akan datang.


SALLEH SPEAKER DUN SABAH YANG BARU

SALLEH...Speaker DUN Sabah yang baru.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Salleh Tun Said dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang baru dan akan mengangkat sumpah bagi memegang jawatan itu pada Isnin ini.

Salleh, 53, yang juga bekas Ketua Menteri menggantikan Datuk Seri Juhar Haji Mahiruddin yang dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri yang ke-10, baru-baru ini.

Sebelum ini, Salleh juga merupakan Penasihat Sains kepada Ketua Menteri, satu jawatan yang bertaraf menteri.

Pelantikan beliau sebagai Speaker yang baru diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman, dan berkata bahawa Yang Dipertua Negeri telah memperkenan pelantikan tersebut.

Menurut Musa, beliau telah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pelantikan itu dan Perdana Menteri telah bersetuju mengenainya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai pelantikan itu, Ketua Menteri, berkata ia dibuat berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki Salleh.

"Kita mahu lantik Speaker yang mempunyai pengalaman luas kerana jawatan itu penting dalam mengendalikan persidangan dewan," katanya.

Dengan pengumuman pelantikan itu telah mengakhiri teka-teki sebelum ini mengenai siapa individu yang akan diberi kepercayaan mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Khamis, 23 Disember 2010

DATUK JUHAR TYT SABAH YANG BARU

Datuk Juhar Mahiruddin menerima surat cara pelantikan sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah yang ke-10 daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

BUAL...Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) berbual dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Datuk Juhar Mahiruddin (tengah).


Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah, Datuk Juhar Mahiruddin, 57, telah dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah yang baru, menggantikan Tun Ahmadshah Abdullah yang tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini.

Juhar, seorang lulusan undang-undang dan bekas majistret menerima surat cara pelantikan yang disampaikan Yang diPertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara di Kuala Lumpur pada Rabu lepas.

Sebelum ini, Juhar adalah seorang ahli politik yang terlibat dengan Parti Akar, Usno dan Umno dan antara pemimpin negeri ini yang turut terlibat dalam rundingan Usno yang memberi laluan kemasukan Umno ke Sabah pada tahun 1991.

Atas pembabitan dalam politik, beliau pernah menjadi Anggota Parlimen kawasan Kinabatangan dari 1990 hingga 1999, menjadi Ketua Umno Bahagian Batu Sapi dari 2003 hingga 2008 serta pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat (1990-1999).

Mengulas pelantikan TYT yang baru itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, kerajaan negeri pimpinannya dan seluruh rakyat Sabah menjunjung kasih di atas limpah perkenan Seri Paduka melantik Juhar sebagai Yang Dipertua Negeri yang ke-10.

Katanya, kerajaan negeri juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri atas sokongan bagi pelantikan tersebut.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri serta rakyat Sabah turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Juhar kerana pelantikan sebagai TYT Sabah yang baru.

Selasa, 21 Disember 2010

MOGINUM, UPACARA RITUAL SUKU KAUM TATANA

Hidangan makanan yang disediakan dalam upacara Moginum. Mengikut kepercayaan suku kaum Tatana di Kuala Penyu, hidangan ini untuk roh bagi orang yang telah meninggal dunia.

Peralatan yang digunakan dalam upacara itu dan diletakkan di hadapan pintu rumah ketika upacara Moginum dijalankan.

Seorang bobolian lelaki yang mengetuai acara sumayau pada upacara Moginum.


Masyarakat Kadazandusun amat kaya dengan warisan adat istiadat termasuk upacara yang berunsurkan ritual. Suku kaum Tatana, salah satu etnik dalam kelompok Kadazandusun tidak terkecuali.


Moginum merupakan satu upacara ritual suku kaum ini yang masih diamalkan hingga ke hari ini.


Mengikut bahasa Tatana, Moginum bererti majlis minum. Secara kebetulan upacara ini sememangnya dihiasai dengan aktiviti singgarung atau dalam bahasa Tatana bermaksud acara minum-minum terutama daripada bahan seperti arak dan tapai.


Sebagaimana kebiasaannya, acara minum minuman keras ini dilakukan ketika acara sumayau diadakan pada upacara moginum.


Upacara moginum ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu yang paling popular sekali dan biasa diadakan ialah moginum loyob, moginum kaul dan moginum kahwin.


Moginum loyob ini biasanya diadakan sebagai memperingati roh anggota keluarga yang telah meninggal dunia. Ia akan dijalankan dalam tempoh kira-kira dua minggu atau selepas kematian ahli keluarga.


Moginum kaul pula diadakan sebagai memenuhi niat untuk berubat jika berlaku seseorang ahli keluarga mengalami sakit yang disebabkan keteguran roh nenek moyang atau ahli keluarga yang meninggal dunia.


Keteguran roh ini dipanggil sebagai simponongon oleh masyarakat Tatana dan untuk memulih seseorang daripada musibah ini ialah dengan mengadakan upcara moginum kaul.


Manakala moginum kahwin diadakan jika ada dalam kalangan ahli keluarga suku kaum ini ingin melangsungkan perkahwinan anak sulung atau anak bongsu mereka.


Menurut kepercayaan masyarakat ini, upacara moginum akan berlangsung selama tiga hari tiga malam.


Bagaimanapun, persediaan untuk melakukan upacara ini lazimnya memakan masa lama iaitu antara satu hingga dua bulan bagi memastikan segala bahan-bahan keperluan dan kelengkapan dapat disediakan dengan sempurna.


Bahan yang biasa menjadi keutamaan bagi sesebuah keluarga yang ingin mengadakan upacara moginum antaranya penyediaan mengeringkan ikan yu dan pari tanpa menggunakan garam. Ia akan dijadikan juadah hidangan ketika upcara moginum berlangsung.


Moginum juga biasanya akan dimulai dengan “odou bamasak” iaitu hari bagi menyediakan kolupis, nasi pulut yang dibungkus dengan daun salad dan kemudian direbus dengan air santan kelapa dalam kawah.


Kolupis ini merupakan bahan utama dalam upacara moginum dan ia membabitkan kuantiti antara kira-kira 500 kudi (setiap kudi mengandungi 10 bungkus kolupis dalam satu ikatan).


Sejenis kuih tradisi yang diperbuat daripada tepung beras dipanggil panjaram turut disediakan dalam upacara ini.


Selain itu, masyarakat Tatana juga akan melakukan acara monyigi do salong. Salong ialah sejenis bahan bakar yang dihasilkan daripada getah pokok peranti dan kemudian ia ditumbuk halus dan dimasukkan di dalam upih pinang. Salong ini akan dinyalakan sepanjang upacara moginum diadakan.


Ia disusuli dengan penyediaan sigup, tembakau yang digulung dengan kirai, sejenis daun bagi menggantikan kertas untuk menghasilkan rokok. Ia diisikan di dalam tapak sirih atau langguai, dalam bahasa Tatana.


Selepas aktiviti bomasak yang biasanya dilakukan secara beramai-ramai atau bergotong royong oleh penduduk kampung yang hadir membantu pada keesokan harinya, upacara moginum akan dimulai dengan penyembelihan kerbau.


Bagi moginum kahwin, kepala haiwan yang disembelih itu akan digunakan sebagai tempat duduk pengantin. Manakala sedikit daripada daging, hati, perut, limpah kerbau tersebut akan dipotong kecil dan dicucuk menggunakan batang bamban dan direbus dan bahan ini dikenali sebagai kosot.


Pada sebelah petang, penganjur upacara ini akan menghidangkan bahan-bahan makan dalam dulang tradisi yang diperbuat daripada kayu. Hidangan itu meliputi beberapa jenis hidangan antaranya hiding kepala, hiding tompon, hiding ramban dan hiding dangan.


Bahan makanan yang dihidangkan itu akan dibiarkan selama satu malam hingga keesokan hari. Bagi melengkapkan hidangan dalam upacara ini, hidang siaran yang melibatkan juadah makanan dan bahan minuman akan diletakkan di hadapan pintu rumah yang mengadakan upacara moginum itu.

Khamis, 16 Disember 2010

SK LIKAS CATAT KEJAYAAN SEPANJANG 2010

Barisan pemain SK Likas yang beraksi dalam Karnival Futsal Antara Juara-Juara.

Pemain SK Likas bersama trofi, medal, sijil dan wang tunai yang dimenangi dalam karnival futsal.

Pasukan SK Likas meraih kejayaan dalam beberapa siri kejohanan bolasepak peringkat Kota Kinabalu sepanjang tahun ini dan kejayaan terkini sebelum melabuhkan tirai 2010 ialah memenangi naib juara Piala Bola di Karnival Futsal Antara Juara-Juara Bawah umur 12 Tahun yang berakhir di Stadium Likas, baru-baru ini.

Sebelum ini, pada awal tahun, SK Likas Berjaya menduduki naib juara Kejohanan Bolasepak Bawah 12 Tahun Peringkat MSSD Kota Kinabalu sekali gus diisytiharkan sebagai pasukan terbaik dalam kejohanan tersebut.

Dalam Karnival Futsal Bawah 12 Tahun Peringkat Kota Kinabalu yang berlangsung di Stadium Likas pada pertengahan tahun, SK Likas B muncul sebagai juara Piala Bola carnival dua hari itu selain SK Likas A menduduki naib juara bagi kategori Piala Kejohanan.

Sebelum itu, SK Likas, antara pasukan sekolah biasa yang digeruni pasukan lawan memenangi tempat keempat dalam Karnival Futsal Bawah 12 Tahun Milo Hidup Bola di Kota Kinabalu yang disertai kira-kira 40 pasukan dari sekitar Pantai Barat.

Dalam Liga Bolasepak Kota Kinabalu Bawah 12 Tahun Grace One anjuran Borneo Sport and Adventure Holidays yang baru sahaja berakhir November lepas, SK Likas menduduki tempat ketiga dibelakang Tunas Asas Bolasepak (TABS) Safa Bandaraya dan Tuaran FDP. SK Likas, satu-satunya pasukan sekolah yang berjaya memberi saingan dengan menempatkan diri mereka dalam senarai tiga pasukan teratas dalam liga tersebut.

Lanjutan daripada liga yang dikendalikan oleh bekas pemain import Sabah, Scott Ollerenshaw, enam pemain SK Likas terpilih mewakili pasukan KK Rovers dan seorang lagi, Hizaz Lokman atau lebih dikenali dengan panggilan Kaka terpilih mewakili pasukan KK United di mana kedua-dua pasukan ini bertanding dalam Kejohanan Bolasepak Piala Borneo 2010 yang berlangsung di Stadium Likas dan Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Piala Borneo yang disertai pasukan dari luar negara seperti Australia, Jepun selain pasukan tempatan dijuarai pasukan KK United.

Prestasi SK Likas dalam kejohanan-kejohanan yang disertainya membolehkan pasukan sekolah ini, yang bukan pun berstatus sekolah sukan sentiasa menjadi perhatian pasukan-pasukan sekolah dari seluruh negeri. Ini juga menjadikan SK Likas diminati oleh pasukan sekolah lain terutama di sekitar Kota Kinabalu untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan mereka.

Dan yang menariknya, daripada puluhan perlawanan persahabatan yang dihadapi pasukan SK Likas itu sama ada diadakan di padang sendiri mahu pun di luar, kesemuanya telah mereka menangi dengan sebahagian besarnya dengan jumlah jaringan yang besar.

“SK Likas mampu mengecapi kejayaan ini kerana semua pemain menunjukkan komitmen, disiplin yang baik dan mereka benar-benar menghayati permainan bolasepak itu serta menggunakan skil dan kemahiran mereka di tengah padang,” kata jurulatihnya, Norsi Haji Sabtari.

Guru ini juga merupakan nadi utama pengurusan pasukan sekolah berkenaan dengan melakukan penyediaan pemain-pemain bermula dari tahun tiga hingga enam dan ini membolehkan SK Likas tidak pernah ketandusan pemain setiap tahun.

Menurut beliau, pihaknya mengenal pasti bakat pemain-pemain menerusi pertandingan antara kelas dan kemudian mengumpul mereka untuk menjalani latihan bersama pemain lain terutama yang sudah berada di tahun enam.

“Jangan hairan pasukan utama SK Likas menggandingkan pemain-pemain dari tahun tiga hingga enam dan mereka tidak gentar menghadapi lawan, yang biasanya hanya menurunkan pemain di tahun enam sahaja,” katanya.

Bekas jurulatih Sabah di era lewat tahun 70-an dan awal 80-an, Stanley Chew mengakui bakat dan potensi pemain kanak-kanak yang dimiliki SK Likas.

Katanya, sekolah ini mempunyai pemain yang baik dan mereka ini seharusnya mendapat perhatian agar potensi mereka tidak akan lenyap selepas mereka melangkah ke tingkatan satu.

“Secara peribadi, saya tidak keberatan dan bersedia membantu serta memberi pandangan supaya bakat pemain-pemain muda sekolah ini tidak sia-sia begitu sahaja,” katanya.