Sabtu, 7 Januari 2012

DR JEFFREY KETUAI STAR DI SABAH

DR JEFFREY...Star tampilkan calon golongan muda di Sabah.

Pengerusi United Borneo Front (UBF), Datuk Dr Jeffrey G. Kitingan kembali ke gelanggang politik dengan mengetuai Parti Reformasi Negeri (Star) bagi Sabah yang pelancarannya dilakukan Jumaat lepas, bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Star, parti yang diasaskan oleh Dr Patau Rubis adalah berpangkalan di Sarawak dan mendakwa memiliki keahlian 60,000 orang di Sabah ketika ini.

Dr Jeffrey, adik kepada Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) sebelum ini bergiat aktif dalam UBF, sebuah NGO selepas meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) beberapa tahun lalu.

Pelancaran Star diadakan di Dewan Hongkod Koisaan di Penampang dekat sini disaksikan Dr Patau, Presiden Star, Dr Dripin Anak Sakoi dan turut dihadiri pemimpin parti-parti pembangkang lain yang menganggotai Pakatan Borneo Bersatu (UBA).

Dr Jeffrey dalam ucapannya berkata, beliau memutuskan untuk menyertai Star kerana ia sebuah parti politik yang berpangkalan di Borneo dan mereka berada dalam UBF untuk mempromosikan Agenda Borneo dan gagasan yang diperjuang UBA untuk menggalakkan dan melindungi kepentingan dan kebimbangan bersama rakyat Sabah dan Sarawak.

Katanya, ini termasuk Perkara 20/18, sumber minyak, pembahagian hasil pendapatan dan hak populasi orang asal.

Beliau turut menyentuh mengenai kepentingan perpaduan sebagai cara yang lebih baik untuk mempromosikan perjuangan bersama.

"Sudah sampai masanya bagi Sabah dan Sarawak meneliti perlunya penubuhan sebuah pakatan politik yang strategik disebabkan oleh senario politik semasa di mana Semenanjung terbahagi 50/50 di antara kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR)," dakwanya.

Dr Jeffrey juga kemudian menyatakan bahawa parti itu akan meletakkan calon yang kebanyakannya golongan muda untuk bertanding di Sabah.

Mengenai desas-desus bahawa beliau akan bertanding menentang abangnya, Pairin di Tambunan, Dr Jefrrey, berkata kawasan yang akan ditandingi oleh calon parti itu belum dimuktamadkan.

Star Sabah dikatakan telah diberi kuasa autonomi penuh oleh kepimpinan tertinggi Star bagi memutuskan sendiri hal-hal berkaitan negeri Sabah.

Sementara itu, Presiden Star, Dr Dripin, berkata kepimpinan parti itu di Sarawak yakin dengan Star Sabah dan kewibawaan Dr Jeffrey dalam menerajui perubahan politik di negeri ini.


Jumaat, 6 Januari 2012

BAJET 2012 PERLU TUMPU USAHA BASMI KEMISKINAN, KATA LAJIM

Lajim bercakap dalam temuramah khas dengan RTM.

Penyaluran peruntukan dalam Bajet 2012 memerlukan tumpuan serius semua pihak terutama bagi agenda mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin, berkata sungguh pun demikian, tidak dinafikan sepanjang 2011 banyak usaha kerajaan telah tercapai.

Beliau berkata demikian dalam Wawancara Khas bersama RTM  sempena Tahun Baru 2012 di kediamannya  di Taman Likas Jaya, dekat sini.

Lajim yang juga Anggota Parlimen Beaufort berkata, perkembangan itu jelas dilihat apabila beberapa kawasan di negeri ini menerima kesan pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik luar Bandar (BELB) dan bekalan air.

Katanya,  kemudahan masjid dan surau turut dibina kerajaan  termasuk rumah ibadat bagi masyarakat beragama Kristian dan Buddha yang dapat mengukuhkan lagi perpaduan masyarakat berbilang kaum.

Beliau  juga berharap agar pelaksanaan Bajet 2012 dapat disegerakan demi kesejahteraan rakyat dicapai secara menyeluruh.

Dalam perkembangan sama, Lajim memberitahu loji bekalan air yang baru bagi Kuala Penyu dan Menumbuk kini tidak mampu menampung tekanan air  berikutan saluran paip sedia ada sudah melebihi 20 tahun.

“Ini adalah masalah utama yang dihadapi oleh rakyat di kawasan saya terutamanya di Kuala Penyu dan Menumbok yang perlu diatasi segara agar ianya tidak menjadi isu di  samping dapat menyelesaikan masalah yang bertahun-tahun  dihadapi oleh rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkenaan agar masalah saluran bekalan air paip dapat diselesaikan segera bagi  melancarkan agihan bekalan air di kawasan terbabit.

Ketika diminta mengulas isu peningkatan penghijrahan belia dari Sabah untuk bekerja di Semenanjung dan luar negara,  timbalan menteri itu berkata, ianya merupakan fenomena biasa akibat kecenderungan sendiri mencari pengalaman baharu dan ingin memperoleh pendapatan yang lebih tinggi. 

Faktor lain yang mendorong penghijrahan belia negeri ini ke luar negara seperti Singapura, Brunei, Jepun, Australia dan New Zealand disebabkan kesukaran mendapat pekerjaan di sini, katanya.

Beliau yang juga bekas Presiden Majlis Belia Sabah berkata, peluang mendapatkan pekerjaan di tempat sendiri masih terhad  di samping sikap belia yang suka memilih pekerjaan.

“Limpahan pekerjaan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan pewujudan Industri Kelapa Sawit Berkelompok (POIC) di Lahad Datu sedikit sebanyak dapat mengimbangi keperluan pekerjaan yang diminati belia dan kita berharap lebih ramai di kalangan belia diberikan peluang bekerja di sini,” tegas Lajim

Beliau menambah, pewujudan program  Satu Daerah dan Satu Industri (SDSI) juga perlu diperluaskan kerana ia dilihat mampu mengurangkan penghijrahan belia dari luar bandar ke bandar-bandar besar, dengan mengusahakan produk sendiri. –Oleh Jaafar Abdul Wahid.


MANDI LUMPUR DI PULAU TIGA (SURVIVOR ISLAND)

Kemudahan jeti untuk pengunjung ke Pulau Tiga yang terkenal dengan jolokan Survivor Island.
Lokasi untuk aktiviti mandi lumpur di pulau itu.

Pulau Tiga merupakan pulau terbesar daripada tiga pulau yang menjadikan Taman Pulau Tiga. Ia merupakan lanskap yang indah dan alam semulajadi yang belum terusik berjaya menarik perhatian rangkaian televisyen CBS di Amerika Syarikat untuk menggunakan pulau itu sebagai lokasi utama bagi penggambaran sebuah program popularnya, Survivor.

Dikenali dengan jolokan Survivor Island, pulau ini terhasil daripada ledakan lahar berlumpur. Ledakan lahar terakhir dipercayai berlaku pada 1941 dan sejak itu lahar tersebut kekal pasif hingga kini.

Beberapa kubang lahar kecil bersuhu sejuk, lumpur yang kaya dengan bahan mineral masih boleh didapati berhampiran puncak Pulau Tiga. Lumpur tersebut dikatakan baik untuk kulit membuatkan aktiviti mandi lumpur menjadi satu kemestian di pulau ini.

Hutan yang menghijau menjadikan latar belakang panorama indah di situ selain pantai dengan pasir memutih serta kejernihan air yang belum dicemari sesuatu yang menakjubkan para penggemar keindahan alam semulajadi.

Batu-batu karang yang mengelilingi pulau ini menjadi tempat perlindungan bagi pelbagai spesis ikan dan hidupan laut yang lain. Antara aktiviti yang sentiasa menanti pengunjung di sini ialah menyelam, sukan laut, trekking, melihat burung dan mandi lumpur.

Ibu pejabat tamannya terletak di bahagian selatan pulau tidak jauh dari Pulau Tiga Resort, satu-satunya kemudahan resort yang boleh didapati di pulau berkenaan.

Untuk ke pulau ini, pengunjung boleh menggunakan jalan darat dari Kota Kinabalu dengan perjalanan sejauh 140 kilometer ke Kuala Penyu melalui Semenanjung Klias dan kemudian menaiki bot dari Kuala Penyu untuk ke sana.

Untuk menaiki bot ke pulau ini dengan jarak sejauh 18 kilometer, ia mengambil masa 45 minit. Beberapa agen pelancongan juga menganjurkan perjalanan dan perkhidmatan feri untuk ke Pulau Tiga.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi pejabat Pelancongan Sabah (Sabah Tourism) di talian 6088-248698 / 211732.

Rabu, 4 Januari 2012

PPBBS SOKONG PENUBUHAN RCI

MURSIDI...tiba masanya kerajaan ambil kira harapan rakyat.

Persatuan Pengusaha Bas Bumiputera Sabah (PPBBS) hari ini menyatakan sokongan terhadap penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat dakwaan bukan warganegara memperolehi kewarganegaraan yang diragui serta pemalsuan kad pengenalan di negeri ini.

Bendahari Agungnya, Mursidi Haji Ridi, berkata sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan mengambil perhatian serius terhadap masalah itu dan mengambil kira desakan majoriti rakyat tulen di negeri ini mengenai pewujudan RCI.

Katanya, parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk yang terbaru Umno Sabah telah menyuarakan sokongan mereka terhadap perlunya penubuhan RCI bagi menangani masalah yang sudah berlarutan itu.

"PPBBS sebenarnya sudah lama mengharapkan penyelesaian terhadap isu pendatang tanpa izin dan dakwaan rakyat asing memperoleh kewarganegaraan yang diragui ini."

"Rakyat di Sabah perlu bersatu untuk menghadapi isu ini dan berharap Kerajaan Persekutuan tidak bertangguh lagi untuk menubuhkan RCI kerana melalui pendekatan ini sahaja, masalah yang menghantui rakyat selama ini mampu dirungkai dan ditangani sebaik mungkin," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mursidi berkata, tiada sebab bagi Kerajaan Persekutuan untuk mengabaikan permintaan majoriti rakyat Sabah kerana mereka telah memberi sokongan yang padu kepada kerajaan sehingga negeri ini dianggap sebagai "fixed deposit" dalam pilihan raya.

Menurut beliau, jika Kerajaan Pusat mengharapkan sokongan rakyat dari Sabah, mereka seharusnya membuktikan perhatian terhadap aspirasi dan harapan rakyat di negeri ini.

"Masalah pendatang tanpa izin serta dakwaan rakyat asing memperoleh kewarganegaraan yang meragukan adalah masalah yang membabitkan soal keselamatan dan masa depan generasi kita dan ia seharusnya ada tindakan dan penyelesaian terbaik diambil oleh pihak kerajaan," tegasnya.


Selasa, 3 Januari 2012

UMNO SABAH TIADA BANTAHAN, SOKONG PENUBUHAN RCI

SAPAWI...Umno Sabah sokong penubuhan RCI.

Umno Sabah secara terbuka menyokong pembentukan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) untuk menjalankan siasatan dakwaan bukan warganegara memperoleh kewarganegaraan dengan cara yang diragui di negeri ini, kata Ketua Penerangannya, Datuk Sapawi Ahmad.

Beliau berkata, Umno Sabah  tidak pernah membantah mengenai cadangan penubuhan RCI itu.

"Keputusan untuk mewujudkan RCI adalah keputusan pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa yang betul untuk memutusknnya ialah Kabinet Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan selepas menghadiri mesyuarat dan minum pagi yang dihoskan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman.

Sapawi juga memaklumkan bahawa semua anggota Parlimen dari Sabah mengundi di Parlimen untuk menerima perakuan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parlimen yang diketuai Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang antara lain membuat resolusi untuk menubuhkan RCI di Sabah.

"Justeru, isu Umno Sabah membantah atau menentang penubuhan RCI tidak pernah timbul. Malah pada 2008, Umno Sabah telah mengemukakan memorandum kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang membuat perincian isu-isu yang perlu diberikan perhatian segera oleh Kerajaan Persekutuan," katanya.

Dalam memorandum tersebut, antara lain katanya menggesa Kerajaan Pusat untuk mengambil tindakan proaktif untuk menguruskan pertambahan jumlah rakyat asing di Sabah.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Sipitang menambah di peringkat kerajaan negeri, Jawatankuasa Kewarganegaraan BN Sabah yang dipengerusikan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan telah dibentuk untuk menangani isu pendatang izin.

"Umno Sabah telah menyuarakan tentang pendirian rasminya mengenai RCI kepada jawatankuasa berkenaan. Kita juga tiada sebarang bantahan bagi penubuhan RCI oleh Kerajaan Persekutuan," katanya sambil menambah bahawa Umno Sabah tetap bersama rakyat berhubung isu-isu penting untuk melindungi kepentingan dan kebajikan negeri ini.

PBS TIADA HASRAT TARIK DIRI DARI BN

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman bersama Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (tiga dari kanan). Pairin mengarahkan Mositun mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan spekulasi tersebut.

Parti Bersatu Sabah (PBS) menolak spekulasi bahawa parti itu akan menarik diri dari Barisan Nasional (BN) sebelum pilihan raya umum ke-13 nanti.

Ketua Penerangannya, Datuk Johnny Mositun, berkata spekulasi mengenai isu ini adalah perbuatan individu dan kumpulan yang ingin membohongi orang ramai seolah-olah wujud sesuatu yang tidak kena di dalam BN.

Dalam satu kenyataan di media tempatan, beliau berkata, majlis tertinggi PBS sedar spekulasi seumpama itu yang dimuatkan melalui internet dan laman sosial facebook tetapi menjelaskan bahawa laporan dan komen-komen tersebut tiada asas bagi mereka.

"Ia tidak lebih daripada perbuatan mereka yang berimiginasi keterlaluan yang tidak mempunyai kerja yang lebih baik dilakukan. Tiada yang memaksa mereka untuk membuktikan apa yang mereka katakan, jadi mereka menggunakan saluran internet untuk menyatakan apa yang mereka suka sama ada betul atau salah," tegasnya.

Ditanya sama ada ia dilakukan oleh pembangkang, Mositun enggan mengulasnya.

"Tidak dapat dinyatakan ia atau tidak. Sesiapa juga tidak boleh membuat sebarang andaian. PBS hanya menasihati orang ramai untuk tidak mempercayai sebarang kenyataan dan laporan yang tidak berasas melalui internet atau akhbar daripada orang atau sumber yang tidak rasmi," katanya.

Ketua Penerangan PBS itu berkata, Presiden parti, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang berada di luar negara telah mengarahnya untuk mengeluarkan kenyataan mengenai komitmen penuh parti dan kesetiaan terhadap BN.

Katanya, setiap kali berlaku perbezaan pendapat dalam kalangan parti-parti komponen BN, pihak yang tidak bertanggungjawab akan cuba menggambarkannya seolah-olah terdapat perpecahan di dalam BN.

Mositun berkata, PBS merupakan parti yang komited sepenuhnya terhadap perjuangan BN dan bukan sekadar sebuah parti di dalam BN hanya semata-mata untuk memenangi kerusi dalam pilihan raya.

"PBS akan melakukan sesuatu bagi memastikan kemenangan selesa BN dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Ahad, 1 Januari 2012

LAJIM DAKWA UCAPANNYA DIEKSPLOITASI

LAJIM..."saya hanya suarakan masalah rakyat".

Oleh Jaafar Abdul Wahid
(Pegawai Media YB Datuk Lajim)


Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin  melahirkan rasa kecewa apabila ucapannya di majlis rumah terbuka Krismas  bekas Wakil Rakyat  Bebas Kuala Penyu, Datuk John Ghani  Jumaat lepas dieksploitasikan pihak tertentu sebagai ucapan menghentam pihak kerajaan.

Katanya, sebagai pemimpin yang  mewakili rakyat, beliau berhak untuk menyuarakan apa juga masalah yang dihadapi oleh rakyat khususnya di kawasannya untuk disampaikan kepada kerajaan.

Menurutnya, selaku wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan menjadi Timbalan Menteri dalam kabinet Persekutuan seharusnya tidak dijadikan alasan bagi beliau tidak  boleh bersuara terutamanya dalam menyampaikan  masalah rakyat kepada kerajaan  bagi diambil perhatian dan tindakan sewajarnya.

 “Kita bersuara mewakili rakyat  dan  apa juga masalah yang kita sampaikan adalah untuk makluman dan perhatian kerajaan khususnya yang membabitkan jabatan serta agensi kerajaan yang bekenaan”  katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Persatuan Keluarga Latiman di Kampung Bundu Kuala Penyu dekat sini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan  Tempatan itu berkata demikian ketika dminta mengulas beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh individu tertentu di laman sosial facebook  yang  menyebut  kononnnya ucapan beliau di majlis rumah  terbuka tersebut  cuba membidas  kerajaan  BN yang secara kebetulan turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin parti  pembangkang .

“Perlu saya perjelaskan, saya hadir  atas jemputan dan sememangnya setiap tahun saya hadir ke majlis rumah terbuka beliau (Datuk John Ghani) sebagai kawan dalam konsep kekeluargaan bukannya  majlis politik, saya diberikan penghormatan berucap sebagai Ahli Parlimen di mana kebanyakan yang hadir rakyat yang menyokong kerajaan, “ katanya.

Dalam ucapannya  pada  majlis rumah terbuka itu, Lajim  berharap kerajaan dapat segera menangani isu bekalan air yang sudah berlarutan  di daerah Kuala Penyu  yang menjadi rungutan rakyat.

 “Saya tidak tahu  dari sudut mana ucapan itu dianggap menghentam kerajaan, yang pasti saya menyuarakan masalah rakyat kepada kerajaan untuk ditangani, ini pun mereka eksploitasikan sebagai menghentam kerajaan pula dan saya hadir ketika itu bersama kepimpinan bahagian serta ketua-ketua parti komponen BN atas konsep kekeluargaan bagi menyambut hari krismas,” tegasnya.

Menurut beliau jika ada pun kehadiran pemimpin pembangkang selepas kehadiran beliau, itu hak mereka kerana konsep rumah terbuka ini untuk  semua, yang pasti saya hadir lebih awal daripada mereka dan  bagi  Lajim  kehadiran beliau bersama pemimpin pembangkang  hanya merupakan tuduhan liar dan merupakan spekulasi  bagi menghangatkan suasana ketika menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Sebagai pemimpin kerajaan,  saya sedar di mana kedudukan saya, apa yang terbaik untuk saya lakukan untuk kestabilan politik, pembangunan dan kesejahteraan negara serta rakyat khususnya di kawasan yang saya wakili,” katanya.