Sabtu, 25 Ogos 2018

ALIJUS DIPILIH PRESIDEN SAFA YANG BAHARU

Seperti yang dijangka, bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Alijus Haji Sipil (gambar) dipilih sebagai Presiden SAFA yang baharu dalam Kongres SAFA (Tahun 2018) di Likas Square Ballroom, petang tadi.

Beliau memperoleh 39 undi mengalahkan bekas Pemangku Presiden SAFA, Datuk Yusoff Kassim yang mendapat 13 undi. 

Bagi dua jawatan Timbalan Presiden dimenangi Haji Hamid Apdal, adik Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal dan Dato Rahman Zakaria.

Manakala bagi jawatan Naib Presiden dimenangi Datuk Juil Nuatim, pengurus pasukan Liga Perdana Sabah dan muka baru Ismail Ayub.

Dua Ahli Majlis Tertinggi yang turut dipilih ialah Jackson Taguah dan Awang Fadly Juanas.


Alijus bersama Hamid (baju putih) dan Rahman (kanan).

Berucap selepas diumumkan sebagai Presiden baharu badan tersebut, Alijus mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada perwakilan dari 26 badan gabungan SAFA yang memberi kepercayaan kepada beliau untuk menerajui SAFA.

Katanya, beliau akan bekerjasama dengan kepimpinan baharu SAFA dan akan memberi peranan kepada mereka supaya badan bolasepak negeri dapat berfungsi dengan baik untuk kemajuan sukan bolasepak di negeri ini.

Beliau juga memberitahu pihaknya akan mengadakan mesyuarat dengan semua anggota majlis tertinggi di Pejabat SAFA pada sebelah petang.

Ditanya pemberita kemudian, Alijus berkata, beliau juga akan memberi fokus untuk mempertingkatkan keberkesanan pentadbiran SAFA agar ia akan menjadi lebih baik.

"Jika pentadbiran dan pengurusan badan ini lebih baik, ia akan menarik perhatian penaja untuk datang kepada kita," tegasnya.
               Alijus dan kepimpinan tertinggi SAFA selepas kongres tersebut.


Rabu, 1 Ogos 2018

LEBIH RAMAI PELATIH SERTAI PROGRAM PEMBANGUNAN TABS


Sebahagian pelatih baru yang menyertai program tersebut.

KOTA KINABALU: TABS Safa Bandaraya menjangka lebih ramai pelatih akan menyertai Program pembangunan bolasepaknya yang kini semakin mendapat sambutan memberangsangkan terutama dalam kalangan pelatih baru.

Ibu bapa di sekitar ibu kota menunjukkan minat untuk memberi pendedahan awal terhadap anak-anak mereka mengikuti program pembangunan sukan berkenaan.

Timbalan Pengerusi TABS Safa Bandaraya, Lokman Sunggim, berkata kehadiran pelatih-pelatih baru sehingga ini sangat menggalakkan dan menjangka lebih ramai lagi akan mendaftarkan diri.

Katanya, ini perkembangan yang positif kerana ibu bapa mempunyai keyakinan terhadap program tersebut yang membabitkan kanak-kanak berusia bawah 10 tahun sehingga kepada belia berusia 18 tahun.

Malah, menurut beliau, ada juga kalangan ibu bapa yang mendaftarkan anak-anak mereka berusia seawal tiga dan lima tahun menyertai program pembangunan TABS itu.



Matasan memberi taklimat kepada pelatih-pelatih mengenai latihan mereka.
Beliau berkata, yuran pendaftaran pelatih baru dinaikkan kepada RM20 sebulan mulai bulan lepas daripada RM10 sebelum ini bagi meningkatkan peralatan dan kemudahan latihan.

Yuran baru itu diumumkan Pengerusi TABS Safa Bandaraya, Sulaiman Mohd Noor pada majlis rumah terbuka hari raya aidilfitri badan itu, baru-baru ini selepas diputuskan pada mesyuarat ahli jawatankuasa TABS sebelumnya.

Lokman yang juga Penolong pengurus pasukan B19 Sabah memberitahu, melalui program itu, pemain-pemain yang berbakat dalam pelbagai kategori dapat diketengahkan dan mereka yang berusia bawah 19 tahun dan memiliki kualiti akan berpeluang menyertai ujian pemilihan dalam skuad Piala Belia Sabah.

Katanya, program tersebut terbukti telah berjaya melahirkan ramai pemain berbakat dan ada kalangan mereka sudah berjaya mewakili skuad Piala Belia Sabah, Piala Presiden dan juga skuad senior.

"Kami akan meneruskan program pembangunan ini memandangkan ia mendapat sambutan menggalakkan. Kami juga mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi sokongan terutama pihak CIMB Foundation," tegasnya.

Setakat ini, TABS mempunyai lebih 12 jurulatih bertauliah diketuai Matasan Ahmad untuk memberi bimbingan kepada pelatih-pelatih mengikut kategori umur masing-masing.

Beliau seterusnya mengalu-alukan penyertaan bekas jurulatih skuad Piala Belia Sabah, Awang Sabtu Jamil untuk menyumbangkan khidmatnya bersama TABS untuk menjayakan program pembangunan tersebut.

Pemain-pemain menjalani latihan setiap hujung minggu.




Selasa, 31 Julai 2018

PRESIDEN BARU SAFA DITENTUKAN 25 OGOS

SHAFIE...belum beri pengesahan.
 Siapa pemimpin yang akan menerajui kepimpinan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) hanya akan ditentukan pada 25 Ogos ini apabila pemilihan baru bagi beberapa jawatan tertinggi badan bolasepak itu diadakan pada tarikh berkenaan.

Sekurang-kurangnya lima nama mendapat pencalonan bagi jawatan presiden termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal sebaik sahaja pencalonan ditutup pada 29 Julai lepas.

Empat lagi yang turut menerima pencalonan ialah Pemangku Presiden, Datuk Yusoff Mohd Kassim, Setiausaha Agung, Alijus Haji Sipil, ahli perniagaan, Haji Hamid Apdal dan T.C Goh.


ALIJUS...mendapat pencalonan jawatan presiden dan timbalan presiden.
Shafie bagaimanapun sebelum ini dilaporkan kurang berminat untuk jawatan tersebut sebaliknya mahu individu lain menerajui badan sukan itu.

Yusoff yang ketika ini memangku jawatan itu berikutan perletakan jawatan Tan Sri Musa Aman selepas pilihan raya umum negeri Mei lepas difahamkan menyatakan hasrat untuk menolak pencalonan bagi jawatan presiden kerana hanya mahu bertanding bagi jawatan timbalan presiden.

Jika Ketua Menteri dan Yusoff menolak pencalonan, ini bermakna pertandingan bagi jawatan tertinggi SAFA itu hanya menyaksikan tiga calon akan bersaing iaitu Alijus, Hamid dan Goh.


YUSOFF...tolak pencalonan presiden, hanya mahu tanding timbalan presiden.
Apa pun tidak dapat dipastikan sehingga ini sama ada perubahan bakal berlaku pada saat-saat akhir menjelang Kongres Safa pada 25 Ogos ini.

Bagi dua jawatan timbalan presiden, seramai lapan orang telah mendapat pencalonan. Mereka ialah Yusoff, Alijus, Hamid Apdal, Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Juil Nuatim, Dato Rahman Zakaria, bekas pemain kebangsaan, James Wong, Fredolin Penggo dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Seramai 12 individu juga mendapat pencalonan bagi naib presiden terdiri daripada Juil yang juga selaku pengurus pasukan Liga Perdana Sabah, Rahman Zakaria, Dato Razak Sulaiman, James Wong, Dr. Chacho Hj Bullah, Salehudin Anoi, Matlan Marjan, Hussin Rahim, Azmeer Shamsudin, Mohd Ismail Ayob, Yahya Kassim dan Reggie Sua @ Hafeez.

Dalam satu sidang media, Yusoff memberitahu bahawa pencalonan bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi masih dibuka sehingga 3 Ogos ini.

Katanya, ini bagi membolehkan pencalonan dapat dibuat bagi jawatan AMT yang berlaku kekosongan ekoran beberapa penyandangnya mendapat pencalonan ke jawatan lebih tinggi.

"Kami perlu memaklumkan mereka (AMT) yang terbabit untuk mengosongkan jawatan dan pencalonan baru perlu dilakukan," katanya.

Isnin, 30 Julai 2018

PIALA BELIA: SABAH FOKUS HADAPI SUKU AKHIR


Penolong pengurus pasukan memberi penerangan kepada pemain-pemain sentiasa mewujudkan persefahaman ketika menghadapi lawan.

KOTA KINABALU:  Pasukan Sabah B19 kini akan memberi tumpuan sepenuhnya untuk menghadapi saingan suku akhir Piala Belia 2018 minggu hadapan.

Sabah akan bertemu Kedah di Stadium Mini, Jitra pada 5 Ogos ini dan akan melayan kunjungan Kedah pula di Stadium Penampang empat hari kemudian (9 Ogos).

Dengan menduduki tangga kedua dalam Kumpulan A, Sabah akan meneruskan cabaran pada pusingan tersebut dengan segala keupayaan yang ada.

Penolong pengurus pasukan, Lokman Sunggim, berkata, pasukan perlu fokus di samping terus mempertingkatkan prestasi permainan bagi membolehkannya mampu memberi saingan kepada Kedah terutama di tempat lawan.

Katanya, mereka sedar cabaran yang bakal diharungi, lebih-lebih lagi pasukan lawan itu memiliki khidmat pemain kebangsaan seperti Akhyar Rashid.

“Kami menjangka saingan sengit di pusingan ini namun percaya pemain-pemain sudah bersedia menempuhinya dengan penuh semangat dan segala kudrat mereka," katanya ketika ditemui di sini.

 Lokman (kiri sekali) bersama ketua jurulatih, Mohd Aiyyman (dua dari kanan) dan pegawai-pegawai yang lain.
Selepas gagal mara ke suku akhir musim lalu, Sabah memenuhi sasaran awal mereka untuk berada dalam kelompok empat pasukan teratas dalam liga peringkat kumpulan musim ini untuk menempah tiket ke pusingan tersebut.

Menurut Lokman, pasukan hanya meletakkan sasaran itu sebaik liga bermula awal tahun ini dengan menyaksikan pasukan secara perlahan-lahan meningkatkan prestasi mereka.

“Pasukan agak lebih menyerlah ketika berada di pertengahan musim dan ini membolehkan kami dapat melonjakkan kedudukan lebih baik dan akhirnya terus dapat bertahan di tangga kedua,” tegasnya.

Penolong pengurus pasukan itu berkata, ini dapat dilakukan dengan komitmen dan kesungguhan para pemain dan barisan jurulatih yang sentiasa bekerja keras dari semasa ke semasa.


Pasukan Sabah B19 2018
 “Sejujurnya saya dapati semua dalam pasukan memiliki persefahaman dan kerjasama yang baik membolehkan pasukan ini dapat terus mara ke hadapan. Inilah hasilnya apa yang ada sekarang,,” ujarnya sambil memberi penghargaannya kepada jurulatih, pemain-pemain dan semua pegawai dalam pasukan.

Katanya, barisan jurulatih yang diketuai Mohd Aiyyman Abdullah memainkan peranan terus berusaha mempertingkatkan keupayaan pasukan  dan seterusnya dapat melebarkan kedudukan.


Pemain-pemain meraih jaringan gol dalam satu perlawanan peringkat liga kumpulan. 
Beliau juga menambah bahawa pengurusan pasukan akan terus mengambil pendekatan yang dapat meneruskan momentum yang dimiliki pasukan ketika ini bagi memburu kejayaan selanjutnya.

“Momentum dalam pasukan sangat baik pada waktu ini dan ini perlu diteruskan untuk merealisasikan harapan dan sasaran kami tercapai,” kata beliau.

Isnin, 21 Mei 2018

UPKO BEAUFORT SOKONG KERJASAMA DENGAN WARISAN BENTUK KERAJAAN

Limus (duduk enam dari kanan) bersama ahli-ahli jawatankuasa bahagian sebulat suara menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian parti.

UPKO Bahagian Beaufort semalam menyatakan pendirian menyokong keputusan Majlis Tertingginya untuk bergabung dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Ketua Bahagian yang juga Adun kawasan Kuala Penyu, Datuk Limus Jury berkata, langkah yang diambil parti itu untuk bekerjasama dengan parti Warisan mengambil kira kepentingan dan masa hadapan rakyat.

Katanya, menjalinkan kerjasama dengan Warisan untuk menubuhkan kerajaan baru di Sabah adalah usaha bijak yang diambil parti dalam menghadapi senario politik semasa di negeri ini.

"Bahagian ini menghormati pendirian Majlis Tertinggi UPKO untuk bergabung dengan Warisan dan kita bukan sahaja akur malah mengambil ketetapan untuk menyokong penuh usaha tersebut," katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Upko bahagian di sebuah hotel di sini.

Limus merupakan salah seorang Adun daripada lima Adun UPKO yang menang pada pilihan raya umum ke-14 awal bulan ini. Adun lain ialah Ewon Benedick (Kadamaian), Datuk Bobby Suan (Nabawan), Datuk Masiung Banah (Kuamut) dan Datuk Abidin Madingkir (Paginatan).

Anggota Parlimen tunggal parti itu ialah Datuk Wilfred Madius Tangau yang juga Pemangku Presiden UPKO yang memenangi kerusi Tuaran.

Mempengerusikan mesyuarat bahagian semalam merupakan penampilan pertama Limus untuk menyatakan pendirian bahagian yang diterajuinya selepas mengambil sikap "bertenang" untuk tempoh lebih dua minggu sejak PRU-14 pada 9 Mei lepas.

Sebelum ini, Pemangku Presiden UPKO, Datuk Wilfred Madius Tangau mengumumkan keputusan parti itu untuk keluar dari Barisan Nasional dan bergabung dengan parti Warisan untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Pendirian ini diputuskan oleh Majlis Tertinggi parti dengan mengambil kira kepentingan dan masa hadapan rakyat di Sabah selain melihat suasana politik baharu yang berlaku, katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, UPKO juga akan mengadakan Mesyuarat agung tergempar di Dewan Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang pada 26 Mei ini.

Upacara perasmian dijangka dilakukan oleh Ketua Menteri, Datuk Shafie Apdal.

Selasa, 6 Februari 2018

PIALA BELIA: SABAH DISENARAI DALAM KUMPULAN A



Pengurus pasukan, Azman Mastar (empat dari kiri) memberi kata-kata semangat kepada pemain-pemain skuad Piala Belia Sabah selepas sesi latihan. Turut kelihatan Penolong pengurus pasukan, Lokman Sunggim (tiga dari kanan) dan jurulatih Mohd Aiyman Johnny Abdullah (tiga dari kiri).
  
KOTA KINABALU: Sabah disenaraikan dalam Kumpulan A bagi saingan Piala Belia musim ini yang antaranya dianggotai pasukan seperti Selangor, Kuala Lumpur, Felda United, Pahang, Terengganu FC IV dan Pulau Pinang.

Lain-lain pasukan dalam kumpulan ini ialah PNKP FC, PKNS FC, SSBJ-16 dan SSMP Cougars B-16.

Sabah yang rata-ratanya menampilkan muka baru musim ini di samping hanya mengekalkan lima pemain musim lalu terus menyandarkan harapan untuk memberi cabaran terbaik apabila liga Piala Belia bermula pada 21 Februari ini.

Lima pemain yang dikekalkan ialah Mohd Iqhbal Kassim, Faqruazi Ahmad, Mohd Aidil Muhimian, Leonardo Lisua dan Mohd Amirul Afiq Ali. Lima pemain lagi yang masih layak dalam skuad dinaikkan ke skuad Piala Presiden 2018 ekoran prestasi mereka yang memberangsangkan.

Para pemain skuad Piala Belia bersama para pegawai pasukan sebelum menjalani latihan.

Pengurus pasukan, Azman Mastar berkata, pasukannya akan berusaha untuk memberi cabaran dalam liga musim ini dan percaya mereka mampu melakukannya dengan semangat dan kesungguhan yang dimiliki pemain.

Menurut beliau, walaupun pemain kebanyakkannya muka baru namun ia bukan halangan untuk mereka menggalas amanah yang diberikan.

"Dengan gandingan beberapa pemain musim lalu, pemain-pemain baru dijangka dapat menghasilkan kombinasi yang terbaik bagi mengemudikan pasukan," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau memberitahu, pasukannya yang dikendalikan jurulatih Mohd Aiyman Johnny Abdullah menyasarkan sekurang-kurangnya empat pasukan terbaik dalam kumpulan bagi membolehkan meneruskan cabaran di pusingan seterusnya.

Katanya, barisan kejurulatihan telah bertungkus lumus dalam latihan bagi memastikan pemain-pemain mampu mempersembahkan corak permainan yang terbaik dan berkualiti.
Bekas penyerang skuad kebangsaan, Matlan Marjan memberi tips kepada pemain penyerang skuad Piala Belia Sabah teknik yang berkesan untuk menghasilkan jaringan.

Selain latihan taktikal yang berkesan, latihan turut memberi tumpuan terhadap aspek kecergasan pemain di samping ketahanan mental dan fizikal ketika beraksi dalam perlawanan sebenar nanti, katanya.

Pengurus pasukan itu juga sentiasa memberi penekanan agar semua pegawai memberikan kerjasama serta persefahaman dalam pasukan yang menurutnya sangat penting untuk memburu kejayaan.

"Misi kami sangat jelas untuk menyasarkan berada dalam kelompok empat pasukan terbaik di peringkat kumpulan dan seterusnya memberi cabaran di pusingan seterusnya," tegas beliau.

Skuad Piala Belia Sabah sasar kelompok empat pasukan terbaik di peringkat kumpulan.