Ahad, 25 Ogos 2013

PASUKAN BAWAH 13 SAFA BANDARAYA TUMPU KEJOHANAN ANTARA ZON DAN PIALA BORNEO

JUARA...barisan pemain bawah 13 Safa Bandaraya yang menjuarai Kejohanan Bolasepak Bawah 13 Zon Pantai Barat bergambar bersama pengurus dan jurulatih mereka.

Pasukan bawah 13 tahun Safa Bandaraya Kota Kinabalu yang baru sahaja menjuarai Kejohanan Bolasepak Bawah 13 Tahun Zon Pantai Barat akan memberi tumpuan Kejohanan Bolasepak Bawah 13 Antara Zon yang akan berlangsung di Kota Kinabalu bulan depan dan Piala Borneo sebelum akhir tahun.

Pasukan ini menewaskan pasukan Safa Kota Belud 2-0 dalam perlawanan Kejohanan Bawah 13 Tahun Zon Pantai Barat. Satu lagi perlawanan yang sepatutnya menentang pasukan tuan rumah, Safa Tuaran tidak dijalankan berikutan keputusan mereka tidak menghantar pasukan bagi kategori itu.

Ketua jurulatih, Matasan Ahmad memberitahu, pasukan itu akan mewakili Zon Pantai Barat ke Kejohanan bawah 13 antara zon dan juga layak bertanding bagi kategori bawah 13 Piala Borneo yang dijadualkan diadakan di Kota Kinabalu.

Katanya, latihan pusat sebagai persediaan menghadapi kedua-dua kejohanan itu akan dilakukan minggu depan.


PENJARING...Mohd Hizaz Lokman dan Muhammad Aiman Azahari masing-masing menjaringkan satu gol dalam perlawanan dengan pasukan Kota Belud.

Pengurus pasukan bawah 13 Safa Bandaraya, Lokman Sunggim, berkata jurulatih Hassan Madisah akan bertanggungjawab mengendalikan latihan pusat itu.

"Dia (Hassan) sedang merangka jadual yang sesuai bagi latihan tersebut memandangkan pemain-pemain yang terlibat merupakan pelajar di beberapa sekolah yang berlainan di sekitar Kota Kinabalu," katanya.

Menurut beliau, pihaknya mengucapkan penghargaan kepada pegawai-pegawai Safa Bandaraya terutama Alijus Sipil dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bolasepak Remaja Safa, Datuk Yusof Kassim atas insiatif dan pembabitan mereka dalam usaha berterusan untuk menggilap bakat pemain-pemain muda.


SIMPANAN...pemain-pemain gantian pasukan bawah 13 Safa Bandaraya.






WENCES LEPASKAN KETUA BAHAGIAN TAWAR DIRI TANDING TIMBALAN PRESIDEN

KUALA PENYU: Ketua Upko Bahagian Beaufort, Datuk Seri Panglima Wences Angang (gambar) mengumumkan pada Sabtu untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut pada mesyuarat agung pemilihan bahagian berkenaan bulan depan.

Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada pemimpin lain untuk bertanding jawatan berkenaan dalam pemilihan kali ini.

“Selepas menerajui kepimpinan bahagian ini lebih 20 tahun, sudah tiba masanya saya melepaskan jawatan ini untuk memberi ruang kepada pemimpin lain untuk mengambil alih kepimpinan bahagian,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat ahli jawatankuasa bahagian parti itu di pejabat Upko bahagian di sini.

Menurutnya, setakat ini sudah ada pemimpin yang berminat untuk bertanding jawatan nombor satu bahagian itu tetapi enggan menamakan calon tersebut.

Katanya, ini merupakan peluang terbuka kepada pemimpin baharu untuk menawarkan khidmatnya kepada parti.

Tarikh tutup pencalonan ditetapkan pada 3 September ini dan senarai calon yang layak bertanding bagi semua jawatan akan diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Jutih Kangang pada hari berikutnya.

Sebanyak 84 cawangan layak menghantar perwakilan ke mesyuarat agung berkenaan.

Serentak dengan itu, Wences yang juga Naib Presiden Upko turut menyatakan hasrat menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden pada Kongres Tri-tahunan parti itu yang dijadualkan pada Oktober ini.

Beliau berharap pihaknya akan memperoleh pencalonan yang mencukupi untuk melayakkan beliau bertanding bagi jawatan tersebut.

Seseorang calon memerlukan sekurang-kurangnya lapan bahagian membuat pencalonan bagi melayakkannya berbuat demikian.

Jawatan timbalan presiden ketika ini dipangku naib presiden 1, Datuk Dr Ewon Ebin berikutan tindakan penyandangnya Datuk Wilfred Bumburing menyertai pembangkang sebelum pilihan raya umum ke-13 lepas.

Bumburing yang memimpin Angkatan Perubahan Sabah (APS) bertanding atas tiket Parti Keadaan Rakyat (PKR) pada pilihan raya lepas dan berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Tamparuli tetapi tewas bagi kerusi Parlimen Tuaran, yang dimenangi Datuk Wilfred Madius Tangau, Setiausaha Agung Upko.

Dalam perkembangan lain, jawatan tertinggi dalam kepimpinan Upko pusat dijangka akan menyaksikan pertandingan pada kongres kali ini. Bagaimanapun ia tertakluk dengan kelayakan pencalonan yang dilakukan 23 bahagian yang akan mengadakan mesyuarat agung tri-tahunan masing-masing sepanjang bulan depan.

Khamis, 15 Ogos 2013

HIZAZ BANTU SAFA BANDARAYA TUMPASKAN SAFA PAPAR

Mohd Hizaz (jersi hijau) menjaringkan empat gol ketika beraksi dalam perlawanan itu.

KOTA KINABALU: Bekas penyerang Mykids Soccer Sabah, Mohd Hizaz Lokman meledakkan empat gol untuk membantu pasukan bawah 13 tahun Safa Bandaraya Kota Kinabalu menumpaskan pasukan bawah 13 Safa Papar 5-2 dalam perlawanan bola  sepak persahabatan di padang C Kompleks Sukan Likas di sini, Rabu lepas.

Safa Bandaraya mendahului pasukan pelawat 3-1 pada babak separuh masa pertama menerusi jaringan Mohd Hizaz Lokman (dua gol) dan satu gol lagi dihasilkan Mohd Aiman Azahari.

Gol Safa Papar diperoleh menerusi Kurnia Izzudin.

Safa Bandaraya yang turut diperkuatkan pemain bawah 13 tahun skuad negara, Xsavier Xcico Felix  membantu pasukan tuan rumah meneruskan gandingan berkesan pada saingan separuh masa kedua.

Ini membolehkan penyerang Mohd Hizaz terus beraksi cemerlang dengan menambah jaringan bagi melengkapkan hatriknya serta menghasilkan gol kelima buat pasukan tuan rumah.

Pemain Safa Papar, Kurnia pula  menyumbang satu gol lagi bagi pasukannya, gol kedua peribadi pada minit-minit akhir permainan.

Barisan pemain kedua-dua pasukan bergambar sebagai kenangan sebelum perlawanan.

Jurulatih skuad bawah 13 Safa Bandaraya, Michael Wong, berkata perlawanan itu sebagai persiapan pasukannya menghadapi Kejohanan bolasepak bawah 13 Zon Pantai Barat yang berlangsung di Tuaran pada 22 Ogos ini dan Piala Borneo di Kota Kinabalu tidak lama lagi.

Mengenai kejohanan di Tuaran itu, katanya, Safa Bandaraya akan berentap dengan pasukan dari Kota Belud dan Tuaran.

"Pasukan yang akan menjuarai kejohanan ini nanti akan mewakili Pantai Barat ke kejohanan antara zon," katanya.



Selasa, 6 Ogos 2013

RITA RUDAINI SAHKAN DICERAI MELALUI SMS

Pelakon Rita Rudaini (gambar) mengesahkan menerima kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) daripada Aidil Zafuan, pemain bolasepak kebangsaan petang Ahad selepas berlaku perang SMS antara mereka sebelum itu.

Difahamkan kejadian berlaku pada petang semalam (Ahad) sebelum waktu berbuka.

Rita Rudaini turut mendedahkan yang antara butiran SMS yang diterima daripada Aidil Zafuan bertulis “Aku ceraikan kau talak satu”.

“Selepas hampir dua tahun kes penceraian kami berdua berlangsung di mahkamah, akhirnya Aidil menceraikan saya dengan talak satu menerusi SMS,” ujar Rita dalam satu laporan akhbar Berita Harian.

“Saya perlu terima keputusan ini dengan hati yang terbuka hanya beberapa jam sebelum masuk waktu berbuka. Kini segala galanya sudah jelas, Aidil akhirnya menceraikan saya.”

“Bagaimanapun, kehidupan perlu diteruskan dan saya perlu lebih tabah,” tambahnya lagi yang kini berada di Perlis, negeri kelahirannya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.


Jumaat, 2 Ogos 2013

AHLI-AHLI UPKO BEAUFORT DISERU TERUSKAN SOKONGAN KEPADA KERAJAAN

Bersama rakan-rakan AJK bahagian dari kiri; Timbalan Ketua Pemuda Upko Bahagian, Fredolin Penggo, Raymond Jurih abang kepada ADUN Kuala Penyu, YB Limus Jury, setiausaha kerja yang juga Ketua PDM Melampai, Weldy Throp Hujie (empat dari kiri), setiausaha bahagian, Fred Judin Tangulon dan ahli jawatankuasa bahagian, John Chin (kanan sekali).

KUALA PENYU:  Naib Ketua Bahagian Upko Beaufort, Lokman Sunggim menyeru ahli-ahli parti itu di bahagian ini supaya terus memberi kerjasama dan sokongan kepada kerajaan supaya segala perancangan yang dilakukan menjadi kenyataan sekali gus dapat dinikmati rakyat.

Katanya, ahli-ahli parti perlu meneruskan sokongan mereka sebagaimana yang telah dibuktikan pada pilihan raya umum ke-13 yang lepas.

“Komitmen ahli-ahli di peringkat akar umbi serta penyokong Barisan Nasional (BN) sangat kita hargai dan kerana sokongan mereka itu BN berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu dan Parlimen Beaufort,” katanya ketika merasmikan mesyuarat 11 cawangan Upko bagi PDM Melampai di balairaya kampung berkenaan pada Jumaat.

Beliau juga mengucapkan terima kasih atas kerja keras dan kesungguhan ketua-ketua cawangan bagi PDM Melampai kerana kejayaan BN memenangi peti undi berkenaan dalam pilihan raya umum lepas.

Menurutnya, dalam pilihan raya sebelum ini, BN tidak pernah memenangi peti undi Melampai namun dengan komitmen dan kerja keras semua pihak akhirnya BN telah mencipta sejarah di PDM ini.

“Saya berharap perubahan yang berlaku ini akan menjadi ikhtibar semua ahli parti untuk terus melakukan yang terbaik kepada parti dan BN pada masa akan datang,” katanya.

Sambil menghargai sumbangan yang dilakukan rakan-rakan parti komponen bagi memenangi peti undi lain di kawasan ini, Lokman yakin gabungan itu akan bertambah kukuh bukan sahaja bagi DUN Kuala Penyu tetapi juga bagi Parlimen Beaufort dengan wujudnya semangat yang akrab secara berterusan.

Sebahagian ahli yang hadir pada perasmian mesyuarat itu.

Mengenai mesyuarat agung cawangan itu, katanya, setiap cawangan dikehendaki mengadakan mesyuarat pemilihan ahli jawatankuasa baru mengikut ketetapan masing-masing.

Selain itu, mereka juga perlu mengemukakan pencalonan bagi calon-calon yang akan bertanding dalam jawatankuasa bahagian kepada pengerusi jawatankuasa pemilihan selewat-lewatnya pada 15 Ogos ini, katanya.

Sebanyak 87 cawangan di 12 PDM layak mengadakan mesyuarat itu.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah setiausaha bahagian, Fred Judin Tangulon, Ketua PDM Melampai, Weldy Throp Hujie, ketua pemuda, Japari Kunin, timbalan ketua pemuda, Fredolin Penggo dan ahli-ahli jawatankuasa bahagian yang lain.

Khamis, 1 Ogos 2013

KYS BAKAL BERSTATUS UNIVERSITI

Universiti Kolej Yayasan Sabah akan menjadi kenyataan jika semuanya berjalan lancar, kata Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah yang baru, Datuk Sapawi Ahmad (gambar).

Beliau yang juga Anggota Parlimen Sipitang, berkata apabila institusi pengajian baru itu dibuka kelak, ia akan meningkatkan lagi usaha membangunkan sektor penddikan di negara ini bersama dengan kolej-kolej yang sedia ada.

“Ini juga akan membantu negeri mencambahkan lagi ilmu pengetahuan dan kemahiran sumber manusia serta pembangunan sosial yang menjadi sebahagian perancangan yang terkandung dalam Program Transformasi Kerajaan,” katanya pada majlis berbuka puasa di Kota Kinabalu.

Sapawi menyifatkan usaha syarikat berkaitan kerajaan itu sebagai sebahagian daripada agenda besar.

Timbalan Menteri Pelajaran 1, Datuk Mary Yap pula mengesahkan bahawa KYS dalam proses memohon untuk mendapatkan kelulusan status universiti bagi kolej tersebut. Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KYS, Dr. Dg Aminah Ali ketika mengadakan kunjungan hormat di pejabatnya di Putrajaya.

Sambil mengucapkan tahniah atas insiatif itu, Yap berkata penaikan taraf itu sudah tentu dapat meningkatkan lagi pembangunan pendidikan di Sabah.

Beliau turut menyatakan bahawa pujian patut diberikan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman yang telah banyak memberi sokongan kepada kolej berkenaan.

“Sepanjang saya mengenalinya, beliau sentiasa menyokong semua yang berkaitan pencapaian pendidikan di semua peringkat,” kata Yap.

Ahad, 28 Julai 2013

LOKASI SERANGAN BOM DI BALI JADI DAYA TARIKAN PELANCONG

Monumen bagi memperingati mangsa-mangsa korban serangan bom di Bali didirikan di lokasi kejadian di kawasan pusat hiburan berhampiran Pantai Kuta.

Peristiwa hitam tragedi pengeboman di Bali oleh pengganas pada 2002 di kawasan pusat hiburan berhampiran Pantai Kuta yang menjadi tumpuan pelancong asing diabadikan dalam sebuah monumen yang didirikan pemerintah di kawasan kejadian tersebut.

Monumen itu sebagai tanda memperingati tragedi yang berlaku pada bulan Oktober itu. Di situ dipaparkan nama-nama mangsa yang terkorban dalam serangan tersebut yang rata-ratanya membabitkan pelancong warga asing terutama dari Australia dan beberapa negara lain.

Sungguh pun kejadian itu menjadi titik hitam bagi sektor pelancongan di pulau yang menjadi destinasi pelancongan yang dianggap menakjubkan di dunia itu namun kehadiran pelancong asing ke sini tidak pernah putus-putus hingga sekarang.

Pantai Kuta sentiasa “hidup” siang dan malam. Monumen itu sedikitpun tidak mengimbau perasaan gerun dan kebimbangan malah ia sentiasa dikunjungi pelancong seolah-olah tidak ada peristiwa yang menyayat hati pernah berlaku di situ sebelum ini. Malah ia turut menjadi aset untuk industri pelancongan di sini.

Jalan menuju ke pintu gerbang masuk ke Pantai Kuta.

Bagi pelancong asing, Bali menyajikan kepada mereka pelbagai keistimewaan dari keindahan pantainya, hiburan, tempat-tempat yang menakjubkan selain nilai matawang yang sangat berbaloi bagi mereka untuk berkunjung ke sini.

Kalangan penggemar sukan papan luncur, pantai di Bali inilah yang mampu memenuhi kepuasan hobi mereka itu.

Selepas bersantai di pantai, melakukan aktiviti papan luncur di siang hari, di waktu malam aktiviti di pusat-pusat hiburan berhampiran ala barat sentiasa menanti kehadiran mereka.

Seorang sahabat saya yang berkahwin dengan wanita Palembang, Indonesia tetapi sudah berhijrah ke Melbourne, Australia menyatakan, pelancong dari negara kangaroo itu menjadikan Bali destinasi pelancongan mereka kerana kos ke pulau ini sangat murah bagi mereka.

Menurut Anthony, dengan perbelanjaan yang murah, mereka boleh berada di sini lebih lama dan menikmati kepuasan.

Malah katanya, kebanyakkan remaja terutama pelajar-pelajar sekolah menengah di Australia yang sedang menunggu keputusan peperiksaan mereka sanggup mencari hiburan di Bali kerana tidak memerlukan pembiayaan yang besar.

“Bayangkanlah jika pelajar pun mampu bercuti ke sini, bukan sesuatu yang menghairankan jika pelancong asing datang berpusu-pusu ke Bali,” kata Anthony.

Bagaimanapun kebanjiran pelancong asing ini menyebabkan Bali sentiasa terdedah kepada ancaman serangan pengganas. Namun pemeriksaan yang lebih ketat oleh pihak penguatkuasaan terutama di pintu-pintu masuk ke sini seperti di lapangan terbang serta kawasan pusat peranginan menyakinkan para pelancong untuk terus mengunjungi Bali.


Pantai Kuta yang sentiasa dibanjiri pelancong terletak tidak jauh dari lokasi serangan bom oleh pengganas pada 2002 yang mengorbankan ramai pelancong asing.