Isnin, 28 Januari 2019

SABAH KEKALKAN KHIDMAT PEMAIN MUSIM LALU

Datuk Seri Shafie berbual dengan Rawilson, ketua pasukan Sabah sambil diperhatikan pemain-pemain lain. Turut kelihatan Datuk Peter Anthony. (Gambar ehsan; The Rhinos Troops)

Sabah mengekalkan sebahagian besar pemain musim lalu bagi menghadapi saingan Liga Perdana musim ini yang dijadual bermula awal bulan hadapan.

Mereka yang dikekalkan ialah ketua pasukan, Rawilson Batuil, Azizzan Nordin, Sabri Sahar, Rozaimi Rohim, Robson Rendy Rining, Mohd Sakri Masri, Dendy Lowa, Jenius Karib, Ummareng Bachok, Randy Baruh, Rico Nigel Milus, Maxius Musa, Mohd Azwan Abdul Fattah, Alto Linus, Rahman Shah Marajeh, Stanley Sulong, Sulaiman Elias dan Evan Wensley. 

Ketua jurulatih, Jelius Ating turut menaikkan dua pemain dari skuad Piala Presiden musim lalu, Ranilson Batuil, adik kepada ketua pasukan Sabah dan Mohd Syukri Baharun menganggotai skuad Liga Perdana musim ini.

Jelius juga membawa balik bekas pemain Piala Presiden Sabah, Muhammad Mohd Safar yang bermain dengan pasukan PKNP FC (Perak) musim lepas.
                                       Jelius dan penolongnya Burhan Ajui.
Hanya tiga pemain tempatan tiada dalam senarai skuad kendalian ketua jurulatih itu termasuk Leopold Alfonso Otong dan Darwira Sazan dari Pulau Pinang yang digugurkan. Pemain muda Mohd Aidil Safee pula diturunkan ke skuad Piala Presiden.

Leopold ketika ini bermain untuk pasukan Semporna dalam Liga Bolasepak KDM Malaysia yang bermula bulan ini manakala Darwira difahamkan sudah kembali ke Pulau Pinang.

Bagi pemain import, Sabah masih mengekalkan khidmat pemain penyerang, Rodoljub Paunovic yang kontraknya hanya akan berakhir pertengahan musim ini.

Tiga lagi pemain import musim lalu, Hector Ramos dari Puerto Rico, Francis Kasonde (Zambia) dan Keisuke Ogawa (Jepun) telah menamatkan kontrak mereka akhir musim lalu dan tidak diperbaharui.

Sehingga ini, skuad Sabah yang kini dikenali dengan maskot baharu Tambadau (Seladang) belum lagi lengkap sepenuhnya dan masih mencari pemain import yang baharu.

Pada majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain Sabah musim 2019 di sebuah hotel di Kota Kinabalu, pemain dari Korea Selatan, Park Tae Su dilihat bersama dua lagi pemain import hadir bersama-sama dengan pemain Sabah yang lain.

Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal yang menyempurnakan majlis tersebut melahirkan harapan bahawa pengurusan baru Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) dibawah kepimpinan Pemangku Presidennya, Datuk Peter Anthony akan memberi nafas baharu kepada badan bolasepak itu.

Katanya, dengan hala tuju baharu yang dirancang SAFA akan memastikan Sabah bukan sahaja mampu memiliki pasukan yang mencabar malah mempunyai pengurusan yang telus demi manfaat sukan bolasepak di negeri ini.
                Maskot baru pasukan, Tambadau menggantikan Sang Badak (Rhinos).


Khamis, 24 Januari 2019

SABAH MASIH MENCARI PENYERANG IMPORT

VINICIUS...pemain dari Brazil.
Sabah masih memburu pemain penyerang untuk disenaraikan dalam pasukan bagi menghadapi Liga Perdana musim 2019 yang akan bermula bulan hadapan.

Penyerang import dari Molova, Petru Leuca yang diuji jurulatih Jelius Ating melalui perlawanan persahabatan dengan kelab Stallion FC di Manila selasa lepas mungkin terpaksa diketepikan kerana mengalami kecederaan.

Meskipun penyerang berusia 27 tahun ini berjaya menjaringkan satu gol untuk membantu Sabah mencatatkan kemenangan 4-2 ke atas Stallion FC namun kecederaan yang dialaminya memaksa Sabah mencari pemain penyerang yang lain.

Ekoran perkembangan itu, Jelius (gambar bawah) dijangka akan meneruskan usaha pencarian pemain penyerang yang sesuai untuk disenaraikan dalam pasukan.
Menurut laporan media tempatan, jurulatih itu dijangka akan menguji seorang lagi penyerang dari Brazil, Vinicius Calamari, 30, yang akan menyertai Sabah pada khamis dalam satu lagi perlawanan persahabatan menentang Kaya FC, naib juara Liga Bolasepak Filipina musim lepas.

Bersama Calamari beraksi dalam perlawanan persahabatan kedua di Carmona, Cavite, Filipina itu ialah pemain dari Korea Selatan, Park Tae Su yang juga bermain dalam perlawanan persahabatan menentang Stallion FC dua hari lepas.

Jelius berharap kedua-dua pemain tersebut dapat menunjukkan prestasi sebenar mereka dalam perlawanan berkenaan, lebih-lebih lagi perlawanan persahabatan kedua ini lebih mencabar berbanding perlawanan sebelum ini.

Sabah akan memulakan kempen Liga Perdana 2019 dengan menghadapi JDT II di Stadium Likas pada 2 Februari ini, jam 8.15 malam.

Sabtu, 17 November 2018

ALIJUS LETAK JAWATAN PRESIDEN SAFA ...tamparan hebat kepada sukan b-sepak negeri

Sukan bolasepak di negeri ini menghadapi tamparan hebat ekoran peletakan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Alijus Sipil (gambar) selepas tiga bulan menerajui badan bolasepak itu.

Difahamkan beliau telah mengemukakan surat peletakan jawatan itu awal minggu ini.

Alijus mengesahkan perkara tersebut kepada akhbar New Sabah Times, yang menyiarkan berita peletakan jawatannya sebagai tajuk utama halaman sukan akhbar itu, hari ini.

Beliau memberi alasan mengambil keputusan itu kerana ingin menumpukan perhatian terhadap tugasnya sebagai Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

Bagaimanapun, kepimpinan SAFA difahamkan belum memanggil mesyuarat untuk memutuskan pendirian yang diambil Presiden mereka itu.

Para penganalisis sukan mengibaratkan situasi SAFA ketika ini seperti kapal yang mahu tenggalam tanpa pengemudi.

Perkembangan terbaru ini tidak syak lagi boleh menjejaskan persediaan Sabah untuk menghadapi Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia musim depan sekiranya tiada usaha dilakukan pihak kerajaan negeri untuk membantu menyelamat badan bolasepak berkenaan.

Ketiga-tiga pasukan tersebut difahamkan akan memulakan persiapan selewat-lewatnya pada penghujung bulan ini iaitu sebaik sahaja selesainya saingan grand final Piala SAFA 2018 bermula 19 November hingga 24 November ini.

Sebelum ini, Haji Hamid Apdal, adik Ketua Menteri, Datuk Shafie Apdal juga meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden 1 selepas empat hari memenangi jawatan tersebut.

Namun begitu, difahamkan Anggota Majlis Tertinggi SAFA dalam mesyuaratnya menolak peletakan jawatan beliau yang bermakna Hamid, 52, masih kekal sebagai Timbalan Presiden 1 bersama Datuk Rahman Zakaria selaku Timbalan Presiden II.
                                         Laporan akhbar New Sabah Times.

Rabu, 3 Oktober 2018

SABAH BURU KE FINAL PIALA MALAYSIA

Jurulatih Jelius Ating menyatakan sesuatu kepada kapten Rawilson Batuil.

Selepas 11 tahun berlalu, Sabah kembali ke pentas saingan Piala Malaysia, detik yang sangat dinanti-nantikan oleh peminat-peminat bolasepak Sabah.

Kejayaan melangkah ke separuh akhir mengetepikan pasukan Kelantan di suku akhir mengembalikan keyakinan para penyokong yang sekian lama dahagakan kemenangan.

Meskipun tewas 1-2 di Kelantan dan menang 1-0 di Stadium Likas memadai buat Sabah, pasukan Liga Perdana menempah tiket ke separuh akhir berdasarkan peraturan permainan dengan kelebihan tanpa bolos di tempat sendiri.

Sabah akan menghadapi Perak di separuh akhir pertama di Stadium Perak di Ipoh pada 7 Oktober ini dan melayan kunjungan lawan di separuh akhir kedua di Stadium Likas pada 21 Oktober ini.

Jurulatih Sabah, Jelius Ating menyifatkan kejayaan itu sebagai membuka peluang kepada pasukan untuk mencipta sesuatu yang istimewa dalam saingan kali ini.

Peluang sekarang terbuka untuk kami melangkah ke final. Soalnya sekarang apa yang kami mesti lakukan untuk dapat menempuhi halangan ke sana, katanya.

"Kami perlu meneliti kelemahan yang ada. Kami harus mengenal pastinya dan cuba untuk meningkatkan keupayaan dan kualiti permainan jika ingin pergi jauh dalam saingan ini," ujar beliau.

Menurut jurulatih itu, komitmen yang ditunjukkan pasukan selain sokongan padu lebih 20,000 penonton dalam perlawanan suku akhir di Stadium Likas merealisasikan harapan untuk mengatasi Kelantan.
Bekas pemain legenda negara, James Wong (gambar) berharap Sabah akan meneruskan cabaran mereka apabila bertemu Perak di separuh akhir secara timbal balik.

"Secara terus terang sebenarnya saya tidak menjangka Sabah pergi lebih jauh. Apabila mereka layak ke saingan Piala Malaysia, pada saya ia sudah satu bonus untuk mereka," katanya.

"Mereka sampai ke tahap ini, ia adalah pencapaian hebat mengambil kira mereka berada dalam kumpulan kuat yang antaranya dianggotai Pahang dan Selangor," tambah beliau.

Beliau percaya Sabah mampu melakukan yang terbaik untuk mara ke perlawanan akhir buat kali keempat.

Sebelum ini, Sabah pernah melayakkan diri ke final Piala Malaysia pada 1996, 2002 dan 2003.
Para penyokong Sabah yang membanjiri Stadium Likas mengibarkan bendera memberi sokongan padu kepada pasukan.


Selasa, 11 September 2018

EMPAT PEMAIN SABAH KINI DALAM SKUAD KEBANGSAAN

Rawilson (dua kiri) dan Azzizan (kanan sekali). 

Sejak kebelakangan ini, pemain-pemain Sabah mula mendapat perhatian para jurulatih skuad kebangsaan selepas beberapa tahun tidak berpeluang menyertai pasukan negara.

Sehingga ini, empat pemain termasuk dua pemain senior, Rawilson Batuil dan Azzizan Nordin mendapat tempat dalam skuad Harimau Malaya kendalian jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Dua lagi pemain ialah Evan Wensley Wenceslaus dalam skuad B21 kebangsaan dan Gerald Gadit skuad B19 kebangsaan.

Rawilson, kapten pasukan Sabah dan Azzizan, pemain tengah beraksi dalam skuad kebangsaan menentang Kemboja dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang berkesudahan dengan kemenangan memihak Malaysia 3-1.

Kedua-dua pemain berkenaan memberi sumbangan bermakna dalam perlawanan tersebut meskipun ia merupakan penampilan pertama nmereka dalam skuad kebangsaan.

Menurut penganalisis bolasepak, kedua-dua pemain terbabit wajar terus diberi peluang dalam skuad Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan lain selepas ini sebelum menghadapi Kejohanan Piala AFF Suzuki.

Pemain bek tengah, Rawilson dilihat membentuk gandingan baik bersama Shahrul Saad untuk mengemudikan benteng pertahanan.

Meskipun kurang berpengalaman beraksi di peringkat antarabangsa, kapten Sabah itu mempunyai potensi baik untuk menggalas tanggungjawab bagi mengukuhkan pertahanan skuad negara.

Manakala Azzizan yang dimasukkan di babak separuh masa kedua turut memperlihatkan keupayaan mengawal bahagian tengah dengan baik selepas menggantikan tempat Nasir Bashiruddin.
Dua pemain muda, Evan (atas) dan Gerald dijangka terus dapat memberi khidmat kepada skuad kebangsaan selepas jurulatih Bojan Hodak sudah memberi mereka peluang beraksi dalam kejohanan-kejohanan yang disertai Malaysia sebelum ini.

Ekoran laluan yang dirintis pemain-pemain ini, tidak mustahil akan ada lagi pemain-pemain berbakat dari Negeri Bawah Bayu akan mendapat peluang untuk dipanggil menyertai skuad kebangsaan selepas ini.
 Gerald...skuad B19 kebangsaan.

Rabu, 5 September 2018

LIMA PEMAIN SKUAD SENIOR DAPAT PELEPASAN SERTAI SKUAD SUKMA SABAH

Skuad SUKMA Sabah 2018 bersama jurulatih Johnny Dominicus (kiri sekali barisan tengah) dan Pengurus pasukan, Benedict Asmat.

Skuad bolasepak SUKMA Sabah boleh menarik nafas lega kerana dapat menggunakan khidmat lima pemain yang berdaftar dalam skuad senior untuk menghadapi perlawanan bolasepak Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak pada 14-22 September ini.

Mereka ialah Hamran Peter, Evan Wensley Wenceslaus, Sakri Masri, Mohd Aidel Safee dan Stanley Sulong.

Hamran dan Evan yang sebelum ini dalam senarai jurulatih skuad senior, Jelius Ating terutama dalam perlawanan saingan Piala Malaysia sudah disahkan mendapat pelepasan daripada jurulatih berkenaan.

Pengurus skuad SUKMA Sabah, Benedict Asmat mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Pengurus skuad Liga Perdana, Datuk Juil Nuatim dan Jelius kerana memberi pelepasan kepada kelima-lima pemain terbabit untuk menganggotai skuad SUKMA Sabah.

Untuk rekod, skuad senior sudah pun mengesahkan tempat ke pusingan suku akhir Piala Malaysia.

Menurut Benedict, skuad SUKMA Sabah mempunyai sasaran untuk berusaha mengutip pingat emas dalam Sukan Malaysia tahun ini.

"Sasaran kita kalau boleh untuk berusaha mengutip pingat emas kali ini," katanya ketika ditemui di sini.

Walaupun dengan kehadiran lima pemain terbabit, Benedict yang juga Naib Presiden SAFA bagaimanapun menjangka jalan masih berliku buat pasukannya untuk mencapai sasaran tersebut.

Oleh kerana itu, beliau mahu pasukan kendalian jurulatih Johnny Dominicus ini sentiasa bersama sebagai satu keluarga besar.

"Kita perlu beraksi sebagai sebuah pasukan yang besar. Jika kita dapat melaksanakannya sudah tentu kita mempunyai peluang untuk melakukan yang terbaik," katanya.
Para pemain selepas selesai upacara penyerahan bendera Sabah oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal kepada kontinjen Sabah.

Begitu pun pengurus pasukan itu masih mempunyai kerisauan terutama apabila beberapa pemain utama masih mengalami kecederaan. Sekurang-kurangnya tiga pemain - Mohd Zakri Sapri, Kelvin Pengiran dan Eddy Ladius masih cedera ketika ini.

Beliau berharap tahap kecederaan mereka akan beransur baik dan dapat beraksi dalam beberapa perlawanan pada sukan tersebut.

Sabah berada dalam Kumpulan C bersama Pulau Pinang dan Melaka.

Skuad itu dianggotai Sakri Masri, Joslan Aping, Ranilson Batuil, Mohd Syahmil Nizam Igbal, Kevin Pengiran, Mohd Zaki Sapri, Eddy Ladius, Mohd Syukri Baharun, Adi Ali, Mohd Armizan Ruslih, Ariusdius Jais, Fredric Fadzly Gusmia, Mohd Shahriman Mukarim, Evan Wensley Wenceslaus, Hamran Peter, Mohd Aidel Safee, Stanley Sulong, Mohd Hizaz Lokman dan Gerald Gadit.

Selasa, 4 September 2018

BERI PELUANG KEPIMPINAN SAFA LAKSANA TUGAS - KM

Shafie diperkenalkan kepada pemain skuad bolasepak SUKMA Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, kepimpinan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) yang diterajui Presiden baharu, Alijus Haji Sipil harus diberi peluang untuk menjalankan tugas mereka.

Menurutnya, beliau tidak akan membuat sebarang ulasan.

"Ia adalah proses demokratik dan jawatankuasa baharu itu telah dipilih oleh perwakilan. Di pihak kerajaan, kami akan cuba mempercepatkannya sebaik yang boleh," katanya selepas majlis penyerahan bendera kepada kontinjen SUKMA Sabah di Kota Kinabalu, yang akan menyertai sukan itu di Perak pada 14--22 September ini.

Ketua Menteri berkata, kerajaan akan sentiasa cuba membantu badan bolasepak negeri tetapi tidak semestinya dari segi kewangan kerana SAFA perlu mengukuhkan sendiri kedudukan kewangannya.

Katanya, adalah penting persatuan itu diuruskan oleh individu yang berkeupayaan dengan pendekatan baharu untuk membangunkan sukan bolasepak.

"Duit bukan satu-satunya faktor kejayaan. Ia bukan persoalan dengan lebih banyak duit, anda boleh berjaya, kita perlu gunakan sumber yang ada."

"Kita mempunyai kemudahan latihan dan infrastruktur yang diperlukan. Saya tidak nampak bagaimana kita tidak boleh berjaya tanpa sebarang wang," katanya.

Bagaimanapun dalam era bolasepak profesional di negara ini, realitinya sumber kewangan merupakan aspek asas yang penting dalam pengurusan sesebuah pasukan terutama dalam mendapatkan khidmat pemain-pemain import yang terbaik di samping nilai pemain-pemain tempatan yang berkualiti semakin meningkat selain kos pengurusan yang lain.

Mengenai dengan perletakan jawatan adik beliau, Haji Hamid Apdal sebagai Timbalan Presiden SAFA selepas empat hari dipilih perwakilan, Shafie mengakui, beliau hanya menasihati adiknya untuk memberi laluan kepada individu yang lebih berpengalaman dalam persatuan itu.

"Saya tidak tahu berhubung perletakan jawatan itu kerana saya tiada hasrat menyekat minatnya dalam sukan itu. Ia hanya nasihat daripada saya bahawa masih ada ramai lagi orang berkeupayaan di luar sana," tegasnya.