Khamis, 27 Januari 2011

TIGA PEMAIN SABAH DIBICARA APRIL INI

Dua daripada pemain terbabit menutup muka dengan
baju sukan ketika ditemani peguam mereka di mahkmah.


Tiga pemain skuad Liga Simpanan Sabah yang terbabit dalam kes pecah rumah baru-baru ini akan dibicarakan pada 11 hingga 13 April ini.

Pemain terbabit, Dendiy Lowa, 19, Leopold Alfonso Otong, 20 dan seorang remaja lelaki berusia 17 mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nurulhuda Mohd Yusof atas tuduhan tersebut.

Ketiga-tiga mereka disyaki melakukan kesalahan itu di sebuah apartmen bernombor No. 414 Tingkat 4, Likas Square Condotel.

Mereka telah memecah masuk ke dalam rumah milik Yang Shuan dan mencuri sebuah telefon bimbit serta wang tunai sejumlah RM1,070.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika didapati bersalah.

Mahkamah menawarkan ikat jamin sebanyak RM2,000 dengan RM600 deposit serta ibu bapa sebagai penjamin untuk Dendiy dan Leopold manakala remaja berusia 17 tahun ditawarkan ikat jamin sebanyak RM1,500 dengan deposit RM500 serta ibu bapa juga sebagai penjamin.

Peguam Nelson Angang dan Lohrito Padua bertindak sebagai peguambela bagi ketiga-tiga tertuduh manakala Cif Inspektor Ismail Mohd Razali sebagai pendakwa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan