Isnin, 6 Mei 2013

KEMENANGAN LIMUS BUKTI RAKYAT KUALA PENYU MAHUKAN PERUBAHAN


LIMUS...menang dengan majoriti 2,273

LOKMAN...hargai sokongan rakyat.

KUALA PENYU: Kejayaan calon Barisan Nasional (BN) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N. 26 Kuala Penyu, Limus Jury mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti selesa membuktikan aspirasi rakyat yang mahukan perubahan di kawasan ini di samping menerima baik perancangan pemimpin muka baru itu untuk kawasan Kuala Penyu.

Naib Ketua Bahagian Upko Beaufort, Lokman Sunggim, berkata kemenangan BN di kawasan ini mencerminkan sokongan rakyat terhadap usaha transformasi yang dilakukan kerajaan BN selain menyakini kewibawaan pemimpin untuk membawa harapan baru kepada mereka.

"Wakil rakyat yang baru, Limus Jury mempunyai misi dan visi yang jelas dan rakyat Kuala Penyu memberi sokongan terhadap usaha dan insiatif yang beliau tawarkan itu dan ia telah diterjemahkan dalam bentuk undi," katanya di sini, hari ini.

Limus memperoleh 7,311 undi menewaskan empat calon lain termasuk calon PKR, Datuk John Ghani yang hanya mendapat 5,038 undi dengan kelebihan majoriti 2,273 undi.

Sambil mengucapkan tahniah atas kemenangan calon BN itu, Lokman yang juga anggota jawatankuasa Penyelaras BN Bahagian Beaufort, berkata jentera BN di semua peringkat telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berkesan bagi memastikan BN dapat mempertahankan kerusi DUN Kuala Penyu.

Katanya, komitmen dan kerjasama kalangan pemimpin parti-parti komponen dan jentera BN yang cemerlang secara keseluruhannya membantu kejayaan ini.

"Kita sangat menghargai sumbangan dan kerja keras mereka sepanjang kempen pilihan raya dan ia terbukti membawa hasil dengan memenangi kerusi kawasan ini dengan majoriti yang lebih baik," katanya.

Beliau percaya wakil rakyat baru itu akan berusaha memberi perhatian terhadap perkara-perkara yang telah diikrarkannya kepada rakyat sebelum ini.

"Bagaimanapun kita beri beliau masa dan ruang untuk melaksanakannya," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan