Sabtu, 21 November 2015

ALIJUS AMBIL ALIH PENGERUSI TABS EKORAN PENGUNDURAN AMRULLAH



BINCANG...Alijus (tengah) memaklumkan pengunduran Amrullah pada mesyuarat TABS Safa Bandaraya. Turut kelihatan Timbalan pengerusi II TABS, Lokman Sunggim (kanan sekali) dan Naib pengerusi yang juga ketua jurulatih TABS, Matasan Ahmad (dua dari kiri).

KOTA KINABALU: Pengerusi Tunas Asas Bolasepak (TABS) Safa Bandaraya, Haji Amrullah Kamal melepaskan jawatannya itu secara sukarela berikutan komitmen tugas jabatan dan keputusan itu diterima ahli jawatankuasa badan itu pada mesyuaratnya, Sabtu lepas.

Mesyuarat itu yang dipengerusikan Presiden Safa Bandaraya, Alijus Haji Sipil menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada Amrullah atas sumbangan dan khidmatnya menerajui TABS selama lima tahun.

Berikutan pengunduran Amrullah, Alijus akan mengambil alih tanggungjawab sebagai Pengerusi TABS yang baru berkuatkuasa serta merta sehingga pemilihan baru dibuat.

Manakala kedudukan ahli-ahli jawatankuasa TABS yang lain tiada perubahan.

Keputusan tersebut dipersetujui sebulat suara ahli-ahli jawatankuasa TABS pada mesyuarat berkenaan.

Alijus memberitahu bahawa semua program TABS yang sedang berjalan akan diteruskan seperti biasa di samping turut merancang aktiviti-aktiviti lain dalam usaha memantapkan lagi program pembangunan bolasepak akar umbi dari semasa ke semasa.

"Selain sesi latihan kepada pelatih yang berdaftar dengan TABS setiap hujung minggu yakni Sabtu dan Ahad, kita juga akan terus mengenal pasti bakat-bakat baru yang boleh diketengahkan dalam pasukan serta menghantar pasukan untuk menyertai mana-mana kejohanan bolasepak di luar," katanya.

Menurut beliau, satu majlis pelancaran program pembangunan bolasepak TABS atas tajaan CIMB Foundations dijangka dilakukan di Stadium Likas di sini pada akhir Januari tahun hadapan.

Katanya, program tersebut sedang berjalan dengan baik pada waktu ini dan berharap institusi kewangan itu akan terus memberi sokongan kepada TABS bagi menjayakan program pembangunan akar umbi itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan