Isnin, 16 November 2015

PAIRIN BERCUTI DARI PARTI, BELUM PUTUSKAN BERUNDUR

PAIRIN...akan bercuti dari kerja-kerja parti. 

Hasrat Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan untuk bercuti selama setahun dari parti mungkin boleh dilihat sebagai petanda awal bagi parti tersebut untuk mengalami proses perubahan teraju kepimpinan.

Sebelum ini, tiada tanda-tanda bahawa PBS yang dipimpin oleh Huguon Siou dalam tempoh kira-kira 30 tahun itu beralih angin untuk peralihan tonggak kepimpinannya sungguhpun ada suara-suara kecil yang mahukan perubahan sedemikian.

Namun Pairin, 75,  yang dianggap pemimpin "keramat" dalam kalangan masyarakat Kadazandusun selepas penutupan Persidangan tahunan parti itu, kelmarin, membayangkan hasrat untuk mengambil cuti selama 12 bulan dari kerja-kerja parti.

"Saya akan mengambil cuti selama 12 bulan dan memberi peluang kepada anggota Majlis Tertinggi yang lain untuk melaksana dan meneruskan kerja-kerja parti," katanya.

Keputusan untuk bercuti dari memimpin parti buat seketika itu tidak semestinya memberi maksud beliau akan mengundurkan diri dengan mudah. Sebaliknya Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri menyatakan, adalah terlalu awal baginya untuk memutuskan bila beliau harus berundur sebagai presiden parti.

"Kita harus menggunakan kebijaksanaan apabila membuat keputusan," ujar beliau.

Pairin mengasas dan menerajui kepimpinan PBS sejak kira-kira 30 tahun lalu dan menjadikan parti itu sebagai platform  untuk menumbangkan kerajaan Parti Berjaya pimpinan Datuk Harris Salleh.

Mengenai pemilihan calon dari parti itu pada pilihan raya umum akan datang, beliau berkata, PBS perlu bijak memilih calon dalam kalangan ahli muda untuk bertanding kerana banyak faktor perlu dipertimbangkan dan bukan hanya faktor umur.

"Kita masih perlu melakukan proses penapisan terlebih dahulu bagi calon-calon yang berpotensi berdasarkan kriteria tertentu seperti bakat dan pengalaman melibatkan diri dengan masyarakat."

"Umur bukan satu faktor. Calon yang dikenal pasti itu mungkin seseorang masih boleh diterima oleh masyarakat secara umum," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan