Selasa, 10 November 2015

MANGSA CULIK RESTORAN OCEAN KING SEAFOOD DIBEBASKAN

Selepas mengharungi keperitan menjadi tebusan hampir enam bulan oleh kumpulan bersenjata di Selatan Filipina, pemilik bersama sebuah restoran makanan laut, Ocean King Seafood di Sandakan yang diculik dari restoran tersebut pada Mei lalu, dibebaskan dan kini sudah bersama keluarganya.

Thien Yuk Fun, 50, (gambar atas) disatukan dengan keluarganya setelah enam jam terpaksa meredah jalan darat di beberapa pulau di negara jiran itu dan kemudian menaiki bot laju dari Jolo, Selatan Filipina ke Sandakan.

Bagaimanapun saudara-maranya yang ditemui di sini meminta mangsa itu dan keluarganya diberi ruang untuk bersama-sama.

Difahamkan kira-kira jam 3 petang Isnin lepas, Thien dilihat pergi ke sebuah klinik dengan ditemani dua orang, yang tidak dipastikan identiti mereka. Mereka meninggalkan klinik berkenaan tidak lama kemudian.

Berdasarkan gambar yang dirakam, Thien kelihatan tersenyum dan ceria seolah-olah tiada keperitan yang dilaluinya.

Di sebuah restoran milik keluarganya, suasana sayu dilaporkan apabila Thien dilihat memeluk erat anak-anak dan anggota keluarganya ketika mereka bersama.

Menceritakan pengalaman sepanjang penculikannya itu, Thien memberitahu, keluarganya memberi kekuatan kepadanya untuk sentiasa bersemangat mengharungi apa yang menimpa terhadap dirinya.

"Memikirkan keadaan dua anak saya, cucu dan emak saya telah memberi kekuatan kepada saya menghadapi saat-saat perit dalam tahanan penculik", katanya.

Menurut beliau, sepanjang dalam penahanan oleh penculik, dia sentiasa bertekad dalam hatinya untuk terus kuat agar dapat bersama semula dengan keluarga.

"Anak-anak saya kehilangan bapa mereka dalam usia yang terlalu muda dan saya tidak sanggup mereka kehilangan saya lagi," ujarnya.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman yang tiba di Sandakan kira-kira jam 10 malam pada Ahad memberitahu, keadaan Thien sihat tetapi masih lemah dan letih kerana perjalanan yang lama di samping faktor emosi mangsa.

Menurutnya, usaha untuk membebaskan rakan Tnien, seorang lagi mangsa culik tersebut, Bernard Thien Tack Hung, 39, masih dijalankan.


Gambar ini dirakam ketika Thien ke klinik di Sandakan. 

Thien dan Bernard, seorang rakyat Sarawak diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Restoran Ocean King Seafood dan dibawa ke pulau Jolo di Selatan Filipina sejak 15 Mei lalu.

Akibat penculikan itu menyebabkan sekurang-kurangnya tiga restoran makanan laut di sepanjang Jalan Leila dan Batu Sapi termasuk Ocean King Seafood terjejas teruk dan terpaksa menghentikan operasi buat seketika. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman dalam reaksi segeranya sebaik pembebasan Thien, berkata pihaknya berasa lega kerana salah seorang tebusan telah dibebaskan dan pasti keluarga mangsa tidak sabar menunggu kepulangannya.

Katanya, pembebasan itu adalah hasil rundingan beberapa bulan dan usaha bersepadu pihak berkuasa dari pelbagai peringkat.

"Saya berterima kasih kepada mereka (pihak berkuasa) yang telah bekerja keras untuk membawa pulang Thien," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata tiada wang tebusan dibayar kepada kumpulan yang melakukan penculikan bagi pembebasan mangsa tersebut.

Sebaliknya, kata beliau, ia adalah hasil rundingan pihak berkuasa Malaysia dengan kumpulan penculik di samping kerjasama rapat daripada pihak berkuasa Filipina.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan