Jumaat, 13 November 2015

MERASAI PENGALAMAN DI KUBU PERANG DUNIA KEDUA DI BUKIT BATU MAUNG


Kuarters yang pernah didiami tentera British ketika Perang Dunia Kedua.

Pengalaman pertama kali menjejak kaki di Muzium Perang atau War Muzium di Pulau Pinang, saya seolah-olah berada di zon peperangan.

Bagi kita yang tidak pernah melalui suasana peperangan, pengalaman berada di dalam muzium ini sudah cukup untuk kita membayangkan bagaimana manusia berhadapan dengan situasi perang yang  sebenar.

Muzium ini yang terletak di Bukit Batu Maung di Barat Daya pulau mutiara itu merupakan kubu perang yang pada asalnya dibina oleh tentera British sekitar tahun 1930-an sewaktu era Perang Dunia Kedua.

Bilik perempuan yang dijadikan hamba seks.

Kubu ini dibina di kawasan seluas 20 ekar di atas bukit Batu Maung dikendalikan oleh The Royal British Engineer atau pasukan jurutera Diraja British, dengan bantuan buruh daripada kalangan rakyat tempatan serta buruh yang dibawa oleh tanah jajahan British yang lain.

Kubu ini juga dilengkapi dengan terowong bawah tanah serta kemudahan ketenteraan yang lain seperti kubu peninjau musuh, berek tentera, kubu anti kapal perang, meriam, pusat rawatan dan lain-lain.

Sebuah bilik setor tentera yang terdapat di sini dikatakan pernah dijadikan sebagai bilik mayat ketika era peperangan sebenar berlaku di bukit ini dan situasi tempat itu kini telah ditumbuhi pokok besar dan suasananya memang sangat menyeramkan.

Kawasan untuk memancung kepala pesalah dengan kapak besar yang digunakan masih dipamerkan di situ.

Selain itu, tapak tempat untuk memancung kepala pesalah juga masih boleh didapati di kawasan ini, dengan kapak besar yang pernah digunakan untuk tujuan tersebut turut dipamerkan di situ.

Semasa pendudukan Jepun sekitar tahun 1942, kubu ini telah ditawan dan dijadikan sebagai markas di mana tawanan perang ditahan, diseksa dan dibunuh oleh tentera Jepun.

Antara peninggalan yang menarik perhatian pengunjung ialah beberapa perkuburan tentera British dan Jepun yang masih kekal di kawasan ini.

Malah terdapat juga laluan bawah tanah bagi tujuan pelindungan dan menyelamatkan diri masih dijaga dengan baik, membuktikan keupayaan teknologi pada era tersebut.

Machine gun yang digunakan tentera British untuk menangkis serangan pesawat pejuang tentera Jepun.

Saya sendiri mengambil peluang mencuba machine gun, senjata anti pesawat yang digunakan oleh tentera British bagi mengelak serangan udara tentera Jepun.

Petugas-petugas di sini memberitahu, muzium ini mula dibersihkan dan dijaga pada tahun 2002, ketika projek pembangunan di kawasan Batu Maung mulai rancak. Kubu di kawasan ini sebelumnya terbiar dalam misteri, apa lagi Bukit Batu Maung ini sendiri pernah dianggap sebagai "Bukit Hantu".

Jika teringin untuk mengalami suasana penuh misteri dan menyeramkan selain mahu merasai pengalaman di zon perang, di sinilah tempatnya.

Pengunjung dikenakan yuran masuk sebanyak RM20 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak.
Bilik setor yang kemudian dijadikan bilik mayat kini ditumbuhi pokok besar dan keadaannya sangat menyeramkan.
Pintu masuk ke Muzium Perang.

Bahan letupan digunakan Kamikaze untuk membunuh diri.
Laluan untuk menyelamatkan diri dari atas ke terowong di bawah tanah.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan