Sabtu, 25 Mac 2017

JELIUS AKUI GALAS TANGGUNGJAWAB BESAR SELAMATKAN PASUKAN

Jelius dalam sesi latihan bersama pasukan baru di Stadium Likas. Foto: Mailin Surat.

Ketua jurulatih baru skuad Liga Perdana Sabah, Jelius Ating mengakui tanggungjawab yang digalasnya sangat besar dan berat namun dia berharap dapat menyemai keyakinan kepada pemain-pemain bagi membolehkan pasukan tidak menghadapi situasi lebh buruk termasuk mengelak dari terus jatuh dalam Liga Perdana.

Menurutnya, secara peribadi ia tanggungjawab besar dan tugas berat yang perlu dilaksanakan.

Bagaimanapun, ia masih satu penghormatan dan saya perlu mengucapkan terima kasih atas semua sokongan terutama daripada Presiden SAFA, Datuk Seri Musa Haji Aman kerana diberi kepercayaan mengambil alih kerusi panas itu.

Katanya, dia tidak akan memberi sebarang janji namun akan berusaha melakukan yang terbaik untuk pasukan.

Langkah segera yang dilakukannya ialah mencari jalan untuk menghentikan keadaan dari bertambah buruk dan keluar dari zon penyingkiran secepat mungkin.

"Kita akan cuba meningkatkan kedudukan sebaik mungkin untuk baki perlawanan musim ini walaupun tidak lagi berjuang untuk merebut kedudukan teratas," tegasnya.
Jelius berbincang dengan penolongnya, Burhan Ajui waktu rehat ketika pasukan mereka menentang skuad Piala Presiden malam kelmarin. 

Selepas lima hari membimbing pasukan, tanda-tanda pemulihan pasukan sudah menampakkan hasil apabila pasukan itu menewaskan skuad Piala Presiden 4-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Likas, malam kelmarin. Sebelum ini dibawah pengurusan lama, pasukan senior itu kalah kepada skuad Piala Presiden 1-3, suatu keputusan diluar jangkaan penyokong.

Ini mungkin permulaan yang baik bagi Jelius dan penolongnya, Burhan Ajui untuk memulihkan kembali pasukan dan meneruskan sisa-sisa perjuangan dalam Liga Perdana musim ini. Paling penting sasaran mereka untuk menyelamatkan pasukan dari zon penyingkiran Liga Perdana.

Sungguh pun pasukan ketika ini turut bergelut dengan situasi beberapa pemain mengalami kecederaan namun pengurusan baru pasukan tetap berusaha yang terdaya memanfaat kudrat pemain yang ada sementara menanti transfer window dibuka dalam beberapa bulan lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan