Ahad, 21 November 2010

PERUNTUKAN ADUN RM1 JUTA MULAI TAHUN DEPAN

Datuk Musa (kanan sekali) bersalaman dengan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sambil diperhatikan dua lagi timbalannya, Datuk Yahya Hussin dan Datuk Peter Pang (belakang) di Dewan Undangan Negeri.

Peruntukan tahunan bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan ditambah menjadi RM1 juta mulai tahun depan daripada sebanyak RM 600 ribu sebelum ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman mengumumkan penambahan sebanyak RM400 ribu itu pada pembentangan Bajet 2011 di persidangan DUN di Kota Kinabalu.

Katanya, penambahan peruntukan itu diharap dapat memberikan bantuan kepada golongan sasar di samping menjaga kepentingan mereka.

"Kebajikan orang ramai perlu diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan,".


"Saya sedar ada beberapa perkara yang perlu diberi tumpuan. Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri telah bekerja keras untuk mengetengahkan masalah-masalah yang dihadapi rakyat di kawasan mereka," ujar beliau.

Musa yang juga Menteri Kewangan berkata, orang ramai menyandarkan harapan tinggi terhadap kerajaan negeri, oleh kerana itu mandat yang mereka berikan tidak akan disia-siakan malah akan ditatang bagai menatang minyak yang penuh.


Serentak itu, Ketua Menteri mengingatkan setiap Adun supaya memanfaatkan peruntukan tersebut secara bijak, adil dan dapat memberi kepentingan kepada semua pihak.


Katanya, cepat atau lambat, pihak kerajaan akan cuba memenuhi permintaan orang ramai, bak kata pepatah, "kata mesti dikota dan janji mesti ditepati".

"Kebajikan dan kepentingan rakyat merupakan keutamaan kerajaan dan ia juga merupakan kunci kekuatan Barisan Nasional," tegas beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan