Selasa, 2 November 2010

PRK BATU SAPI: UJIAN BAGI KETUA MENTERI

ADA HARAPAN...Musa (tengah) memerhati dengan penuh minat sesuatu yang cuba diperkatakan Salleh kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassan (kanan) dalam satu perjumpaan di Sandakan.

Cuma tinggal beberapa jam sahaja lagi sebelum kempen pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi melabuhkan tirainya pada tengah malam Rabu, kempen calon BN, Datin Linda Tsen dikatakan semakin mendapat sambutan rakyat memberi petanda kelebihan kian memihak calon parti yang memerintah.

Dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman antara pemimpin BN yang dilihat begitu bertungkus lumus membantu kempen calon BN tersebut selain dibantu pemimpin-pemimpin kanan parti-parti komponen BN termasuk Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Presiden PBS yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin serta menteri kabinet Persekutuan dan Negeri yang lain.


Semakin kempen menghampiri penghujung, kerancakan kempen antara calon-calon yang bertanding termasuk calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee dan Ansari Abdullah dari PKR terus memperhebatkan taktik dan strategi masing-masing.


Calon BN, Datin Linda lebih memfokuskan usaha untuk menyakinkan pengundi dengan isu pembangunan di samping untuk meneruskan kesinambungan kerja-kerja yang dilakukan oleh mendiang suaminya, Datuk Ir. Edmund Chong, bekas MP kawasan tersebut.


Manakala taiko Yong terus membangkit semangat rakyat dengan isu "Sabah Untuk Rakyat Sabah" dan Autonomi selain Ansari memberi penekanan terhadap soal pengabaian yang dilakukan oleh kerajaan terhadap rakyat golongan miskin di beberapa kampung di kawasan tersebut.


Paling menjadi sasaran pembangkang ialah Datuk Musa yang juga Pengarah Operasi BN bagi pilihan raya kecil itu kerana pilihan raya ini dikatakan menjadi ujian terhadap pengaruh beliau selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah dan Pengerusi BN Sabah.


Bagi Presiden SAPP, pilihan raya kecil ini turut menguji kemampuannya sebelum membawa pasukannya menghadapi ujian sebenar pada pilihan raya umum ke-13. Sudah tentu Yong akan menjadikan Batu Sapi sebagai gelanggang untuk menguji kredibilitinya sebagai seorang pemimpin pembangkang.

Para penganalisis politik berpendapat Yong akan mengerah sepenuh kudrat untuk mempengaruhi pengundi kerana keputusan pilihan raya kecil ini akan menentukan nasib SAPP selepas ini.


Di satu pihak pula, Ketua Menteri, Datuk Musa memikul tanggungjawab besar bagi memastikan calon BN dari PBS itu boleh mempertahankan kerusi berkenaan dengan sokongan kuat daripada penyokong dan ahli-ahli Umno.


Sebarang keputusan yang tidak menyebelahi BN, ia sedikit-sebanyak menjadi tamparan kepada Pengerusi Badan Perhubungan Sabah itu yang sanggup turun padang meredah pulau serta menjelajah kampung dengan matlamat memastikan kerusi BN dapat dimiliki sekali lagi.


Dalam satu temuramah dengan stesen TV, Ketua Menteri berkata, para pemimpin BN bukan hanya turun padang bertemu rakyat pada musim pilihan raya sahaja tetapi ia dilakukan secara berterusan.


"Sebagai pemimpin yang prihatin dan bertanggungjawab, kita akan melakukan kerja-kerja berterusan bagi menangani masalah rakyat," katanya.


Beliau berkata, calon BN, Datin Linda bukanlah asing bagi rakyat di Batu Sapi kerana dia merupakan Naib Ketua Wanita PBS Pusat dan sering bersama suaminya melawat dan menemui rakyat di kawasan berkenaan.


"Saya fikir dia adalah calon yang sesuai dan terbaik untuk menjadi pilihan pengundi di kawasan ini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan