Jumaat, 5 November 2010

PETANDA BAIK HALA TUJU BN

Datin Linda Tsen yang menang dengan majoriti besar menggalas harapan rakyat yang memberi sokongan kuat kepadanya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muyiddin Yassin ketika berkempen untuk memastikan kejayaan calon BN di Batu Sapi.

HARAPAN PENYOKONG...penyokong BN menunjukkan poster Datin Linda yang menjadi sandaran mereka untuk membawa perubahan di kampung mereka.

Kejayaan Barisan Nasional untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi dan merampas kembali kerusi DUN Galas dari genggaman PAS di Kelantan dalam kedua-dua pilihan raya kecil itu membuktikan penerimaan rakyat terhadap kepimpinan baru negara yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta konsep 1Malaysia yang diilhamkannya.

Ini satu permulaan yang baik bagi BN untuk mengorak langkah seterusnya dengan melakukan pembaharuan yang wajar dalam gabungan itu selari dengan aspirasi rakyat di negara ini.

Calon BN di Batu Sapi, Datin Linda Tsen berjaya melakukan kejutan menang dengan majoriti besar iaitu 6,359 undi mengetepikan cabaran dua calon pembangkang - Ansari Abdullah dari PKR yang memperoleh 3,414 undi dan Datuk Yong Teck Lee (SAPP) yang mendapat 2,031 undi. Datin Linda memperoleh 9,773 undi.


Manakala calon BN di Galas, Abdul Aziz Yusof memperoleh 5,324 undi mengalahkan calon PAS, Dr. Zulkefli Mohamad yang mendapat 4,134 undi. Majoriti yang diperoleh Aziz ialah 1,190 undi.


Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, menyifatkan kemenangan BN di kerusi Parlimen Batu Sapi dan kerusi DUN Galas sebagai cerminan keyakinan rakyat terhadap kerajaan BN sekarang.


Mengulas kejayaan BN memenangi kedua-dua kerusi tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muyiddin Yassin pula, berkata, ia merupakan pengiktirafan terhadap kepimpinan Perdana Menteri dan penerimaan rakyat terhadap gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib.


Katanya, usaha-usaha pembaharuan melalui program transformasi yang dilakukan kerajaan nampaknya menyakinkan rakyat dan ini dibuktikan dengan sokongan yang diberikan kepada BN dalam kedua-dua pilihan raya kecil ini.

Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun, berkata kejayaan ini tidak menjadikan BN "take thing for granted" (ambil mudah) sebaliknya terus berusaha untuk melakukan yang terbaik kepada rakyat.


"Kita akan terus bekerja dan melakukan kerja-kerja yang terbaik untuk rakyat. Dan kemenangan berganda ( kerusi Parlimen Batu Sapi dan DUN Galas)ini tidak boleh diandaikan kayu pengukur mengenai peluang BN untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13".

"Sebaliknya, kita akan meneruskan kerja kita dan berusaha melakukan perubahan yang selari dengan aspirasi rakyat," tegasnya.


Sementara itu di Sandakan, Anggota Parlimen Batu Sapi yang baru, Datin Linda Tsen, berkata beliau akan berkhidmat sebaik mungkin dan akan berusaha menemui rakyat di kawasan dan seterusnya akan membantu menyelesaikan masalah-masalah yang mereka hadapi.


"Saya gembira dengan kemenangan ini tetapi saya juga sedih kerana saya kehilangan suami," katanya merujuk kepada nahas jalan raya yang mengorbankan suaminya, Datuk Ir. Edmund Chong, bekas MP di kawasan yang diwakilinya sekarang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan