Selasa, 2 Januari 2018

SKUAD PIALA PRESIDEN SABAH 2018 DENGAN MISI BARU

Skuad Piala Presiden Sabah 2018 membabitkan gandingan pemain lama dan baharu mempunyai misi baharu untuk lebih mencabar dalam saingan Liga Piala Presiden musim ini sebagaimana senarai pemain yang diumumkan Pengurus pasukan, Mohd Yassin Aman, bulan lepas.

Hanya sebahagian kecil pemain dalam skuad musim lepas dikekalkan antaranya Ranilson Batuil, Mohd Radzji Saad, Mohd Zaki Sapri, Mohd Azmizan Rusuh, Fazile Jamileh, Eddy Ladius dan Yusseddy Yusiman.

Sebahagian besar pemain skuad Piala Belia Sabah musim lalu dinaikkan untuk menganggotai skuad Piala Presiden bagi memantapkan lagi pasukan dalam saingan musim baru.

Mereka ialah Arius Dius Jais, Joslan Aping, Kelvin Pengiran, Mohd Syukri Baharun, Mohd Hizaz Lokman, Mohd Syamil Iqbal, Gerald Gadit, Frederick Fadzly Gusmia, Adi Ali, Mohd Aidil Safee dan Pican Piok. Empat daripada mereka - Hizaz, Gerald, Syamil dan Syukri berusia antara 17-19 masih layak bermain untuk pasukan Belia musim ini.

Manakala pemain-pemain baharu disenaraikan ialah Suhaizan Nazmie Etin @ Abdullah, Bellry Reno Ripin, Mohd Hasrul Nizam Roslan, Mohd Ridzul Omar, Faizul Nizam Aziz, Syadad Luksin, Suryan Shah Selamat, Al Hakim Al Hadi Rajmon Laimon, Izan Rifaa Sasari dan Mohd Riaz Bahadar.

Jurulatih Johnny Dominicus menyatakan sesuatu kepada pemain dalam perlawanan dengan pasukan Kinabatangan.

Ketua jurulatih pasukan, Johnny Dominicus memberi penekanan terhadap aspek disiplin dan tahap kecergasan yang baik dalam kalangan pemain dalam pasukan sejajar dengan semangat baru bagi mencapai sasaran dalam saingan Piala Presiden kali ini.

Justeru, semua pemain dikehendaki berambut pendek sebagai salah satu aspek disiplin dalam pasukan.

Sehingga ini, skuad Piala Presiden telah mengadakan lima perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan terbaik tempatan termasuk satu perlawanan dengan kelab dari Indonesia dan meneruskan perlawanan serupa selepas ini.

Mereka telah memenangi tiga daripada perlawanan tersebut, menumpaskan pasukan Semporna 8-0, mengatasi pasukan Kinabatangan 7-0, menewaskan pasukan Kota Marudu 13-0, seri 1-1 dengan pasukan Penjara Sabah yang menjuarai Piala Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia 2017 dan kalah 0-2 kepada pasukan PPLM Bena Sentra, Indonesia.

Babak perlawanan dengan pasukan Semporna di Stadium Likas.
  
Pengurus pasukan, Mohd Yassin Aman berkata, pasukannya akan terus mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan tempatan sebelum Liga Piala Presiden bermula bulan hadapan.

"Kita akan berusaha memastikan untuk meminimakan gol bolos dalam setiap perlawanan persahabatan ini kerana ia sebagai persiapan kami untuk menghadapi perlawanan sebenar nanti," katanya.

Beliau juga memberitahu bahawa skuad Piala Presiden akan menyertai Kejohanan Empat Penjuru yang membabitkan skuad Piala Belia Sabah, Kota Kinabalu (juara Piala Ketua Menteri 2017) dan pasukan Beaufort selaku tuan rumah.

Kejohanan itu akan berlangsung di padang Kompleks Sukan Beaufort pada 18 - 21 Januari ini.
Sebahagian pemain skuad Piala Presiden Sabah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan