Ahad, 28 Mac 2021

PROGRAM PEMBANGUNAN BOLASEPAK TABS DISAMBUNG SEMULA SELEPAS SETAHUN DITANGGUHKAN

  

Lokman (empat dari kiri) bersama pegawai dan jurulatih TABS memberi penerangan kepada pelatih-pelatih yang mendaftarkan diri menyertai program itu.

KOTA KINABALU--Program Pembangunan Bolasepak Akar Umbi Tunas Asas Bolasepak (TABS) Safa Bandaraya diteruskan semula di padang TABS berhampiran padang SUKMA di sini mulai Sabtu lepas setelah ditangguhkan sementara waktu kira-kira setahun. 

Timbalan Pengerusi TABS Safa Bandaraya, Lokman Sunggim, berkata program itu ditangguhkan sejak Mac tahun lepas bagi mematuhi arahan kerajaan ekoran wabak Covid-19. 

"Kita meneruskan semula program ini dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan," katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Beliau berkata, sambutan pelatih-pelatih amat memberangsangkan ketika pra-pendaftaran dan pendaftaran baharu dijalankan selama dua hari mulai kelmarin (Sabtu) dan hari ini. 

Katanya, lebih 300 pelatih berbuat demikian dalam masa dua hari mengikut kategori umur dari bawah 12, 14, 15, 16 dan 17 tahun. 

"Kita terharu dengan sambutan menggalakkan ini selepas program ini berehat kira-kira setahun yang lepas," katanya. 

Lokman berkata, pihaknya juga berterima kasih kepada semua ibu bapa pelatih yang memberi kerjasama baik kepada pegawai dan jurulatih TABS sepanjang tempoh pendaftaran itu dijalankan. 

Katanya, kerjasama sedemikian akan membantu TABS mengendalikan program ini dengan lebih kemas, teratur dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan. 

"Kita memutuskan untuk menyambung semula program pembangunan bolasepak ini kerana bagi memenuhi permintaan daripada ibu bapa." 

"Kita menyedari situasi itu namun kami akan sentiasa lebih berhati-hati mengendalikan program ini. Dengan kerjasama semua pihak sudah tentu ia memudahkan pihak TABS menyusun program ini dengan lebih baik dan berpandukan SOP yang ditetapkan kerajaan," tegas beliau.

Kaunter disediakan TABS bagi pendaftaran pelatih.

Timbalan Pengerusi TABS itu percaya semua pegawai dan jurulatih yang diamanahkan untuk mengendalikan program pembangunan itu dapat memainkan peranan dan menjalankan tugas masing-masing dengan lebih berkesan. 

Katanya, setakat ini, TABS mempunyai lebih 10 jurulatih bertauliah diketuai Matasan Ahmad diberi tanggungjawab untuk mengendalikan latihan setiap hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad. 

Ibu bapa yang ingin mendaftarkan anak-anak mereka sebagai pelatih baharu boleh berbuat demikian dengan para pegawai dan jurulatih TABS di padang TABS pada hari sesi latihan dijalankan, tambahnya.

 

 

 

Ahad, 21 Mac 2021

TABS TERUSKAN SEMULA PROGRAM LATIHAN MULAI SABTU INI

 

KOTA KINABALU: Tunas Asas Bolasepak (TABS) Safa Bandaraya akan meneruskan semula program latihannya mulai Sabtu ini selepas ditangguhkan kira-kira setahun.

Timbalan Pengerusi TABS, Lokman Sunggim (gambar), berkata sesi latihan program pembangunan bolasepak Safa Bandaraya itu akan disambung semula dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, program latihan setiap Sabtu dan Ahad itu telah ditangguhkan sejak Mac tahun lepas bagi mematuhi arahan pihak kerajaan ekoran wabak Covid-19.

"Buat permulaan jurulatih dan pegawai TABS akan memulakan semula pra pendaftaran pelatih di padang TABS berhampiran padang SUKMA di sini, mulai Sabtu ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Lokman, selain pendaftaran secara manual di padang TABS, pendaftaran pelatih secara online juga boleh dilakukan yang akan diumumkan pengurusan TABS kemudian.

Katanya, TABS juga akan menulis surat makluman kepada pihak berkuasa berhubung perkara itu.

Beliau memberitahu, ramai ibu bapa mahukan pengurusan TABS supaya menyambung semula program latihan anak-anak mereka yang tertangguh itu. 

"Pihak pengurusan TABS dan jurulatih telah membincangkan perkara tersebut dan bersetuju menyambung semula program latihan itu sebagai satu usaha membantu membangunkan sukan bolasepak di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, program latihan itu membabitkan kategori bawah umur 12, 14, 16 dan 18.

Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa pelatih-pelatih memberi kerjasama yang baik kepada jurulatih dan pegawai-pegawai TABS yang mengendalikan pendaftaran pelatih khususnya di venue yang ditetapkan.

Isnin, 15 Mac 2021

TKM TERIMA KUNJUNGAN HORMAT SETPOL MENTERI PENGAJIAN TINGGI

Bung Moktar ketika menerima kunjungan Maizatul di Bangunan Umno Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin menerima kunjungan hormat Setiausaha Politik Menteri Pengajian Tinggi, Datin Maizatul Akmam Alawi di pejabat Umno Sabah, pagi tadi.

Maizatul mewakili menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad dalam kunjungan itu.

Setiausaha Politik itu memaklumkan kepada Bung Moktar yang juga Ketua Umno Sabah mengenai beberapa program Kementerian Pengajian Tinggi dan agensinya di Sabah.

Antaranya bantuan kepada pelajar asnaf melalui PTPTN selain Unit Pendaftaran Universiti (UPU) memberikan pengecualian pembelian PIN di Bank Simpanan Nasional (BSN), pelantikan Ahli Lembaga Penasihat Kolej Komuniti di Sabah dan bantuan kepada mahasiswa semasa kemasukan semula ke kampus.

Maizatul turut memaklumkan mengenai gerak kerja wanita Umno.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kementerian berkenaan kerana memberikan perhatian usaha membantu meringankan beban ibu bapa dan pelajar dengan pelbagai insiatif diberikan ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.


Ahad, 14 Mac 2021

BUNG MOKTAR YAKIN SABAH FC LAKUKAN PENYESUAIAN BAIKI PASUKAN

  

Bung Moktar diiringi Setiausaha Agung SAFA, Benedict Asmat (kanan sekali), penolongnya Azman Mastar dan Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom ketika meninjau latihan pemain-pemain Sabah FC di Stadium Likas, baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin yakin pasukan Sabah FC boleh memperbaiki kelemahan untuk menjadi pasukan yang lebih baik dalam saingan Liga Super musim ini. 

Katanya, tiada mana-mana pihak boleh dipersalahkan selepas pasukan tuan rumah itu tewas tipis 0-1 kepada pasukan pelawat PJ City FC di halaman sendiri, semalam. 

"Saya pun ada mengikuti perlawanan dengan PJ City FC itu namun saya tidak menyalahkan mana-mana pihak," katanya ketika diminta mengulas perlawanan ketiga di Stadium Likas itu. 

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata pemain-pemain import yang diturunkan dalam perlawanan itu hanya berpeluang menjalani latihan sehari bersama pasukan dan masa yang singkat itu menyukarkan mereka melakukan penyesuaian. 

Menurutnya, walaupun mereka tiba empat hari lepas tetapi mereka hanya dapat berlatih sehari dan terpaksa menghadapi perlawanan. 

"Pasukan kita juga baru menjalani latihan disebabkan kekangan wabak Covid-19 berbanding pasukan-pasukan lain yang telah berlatih sejak tahun lalu,". 

"Keadaan ini yang kita hadapi tetapi saya yakin pasukan akan dapat melakukan penyesuaian dalam dua atau tiga lagi perlawanan untuk membentuk persefahaman dalam pasukan," tegasnya. 

Pemangku Presiden SAFA itu bagaimanapun berkata, pihaknya yakin Sabah FC akan cuba memperbaiki kelemahan bagi membentuk persefahaman sebagai satu pasukan. 

Sabah FC ketika ini mengutip satu mata hasil keputusan seri 1-1 dengan Melaka United setelah menghadapi tiga perlawanan.

Pasukan itu akan meneruskan perlawanan keempat menentang pasukan Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 16 Mac dan akan melawan Terengganu FC di Stadium Likas pada 21 Mac ini.

Khamis, 11 Mac 2021

SABAH FC PERLU MANFAATKAN KELEBIHAN BERMAIN DI TEMPAT SENDIRI

Bung Moktar menunjukkan jersi yang digunakan Sabah FC.

Sabah FC yang akan melayan kunjungan PJ City FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas Sabtu ini mempunyai peluang untuk memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri.

Berikutan itu, Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin berharap pemain-pemain supaya menggunakan kelebihan itu sebaik mungkin.

Katanya, selepas mengalami kekalahan 0-2 kepada KDA FC di tempat lawan, giliran Sabah FC untuk memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk mengutip mata.

"Pasukan kita perlu bangkit dan menggunakan peluang itu untuk mendapatkan mata," katanya di sini hari ini.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata pemain-pemain seharusnya menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri dan melupakan kekalahan dengan pasukan KDA FC.

"Lupakan kekalahan itu dan jangan lemah semangat menghadapi lawan,".

"Perbaiki bahagian yang ada kelemahan dan terus berusaha untuk memburu kemenangan. Bermain di gelanggang sendiri memberi kelebihan kepada pasukan kita," kata beliau.

Sabah FC ketika ini mengutip satu mata hasil keputusan seri 1-1 dengan pasukan Melaka United selepas mengharungi dua perlawanan.

Perlawanan ketiga di halaman sendiri di samping beberapa pemain import yang besar kemungkinan dapat diturunkan dalam perlawanan Sabtu ini sudah tentu memberi advantage kepada Sabah FC.

Bagaimanapun ia bergantung dengan semangat juang dalam kalangan pemain-pemain tuan rumah untuk menggunakan peluang yang ada sepenuhnya.

Bung Moktar menerima jersi daripada Pengurus pasukan Sabah FC, Marzuki Nasir.

Sementara itu, Bung Moktar juga mahu peminat-peminat bolasepak di negeri ini membantu pasukan dengan membeli merchandise sebagai tanda sokongan kepada kelab Sabah FC.

Menurut beliau, pastikan supaya membeli yang asli dan bukan tiruan.

"Bantu pasukan Sabah FC untuk mencapai kejayaan," katanya.

KEJOHANAN PIALA BUNG MOKTAR 2-4 APRIL INI

 

Azman menerangkan mengenai kejohanan itu pada mesyuarat secara maya pada Rabu.

KOTA KINABALU: Kejohanan bolasepak merebut Piala Pemangku Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin akan diadakan bermula pada 2 hingga 4 April ini.

Kejohanan bawah umur 18 tahun itu akan dijalankan di lapan zon membabitkan 30 daerah di seluruh negeri.

Tarikh kejohanan yang dinamakan Piala Bung Moktar itu diputuskan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA pada mesyuarat keduanya secara maya, kelmarin.

Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar, berkata kejohanan yang pertama kali dianjurkan itu akan berjalan secara serentak di lapan zon berkenaan.

Katanya, kejohanan itu akan dijalankan tanpa kehadiran penonton dan akan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Zon terbabit ialah Zon Pantai Barat Utara melibatkan Kudat, Kota Marudu, Kota Belud dan Pitas, Zon Pantai Barat Timur dianggotai Penampang, Tuaran dan Kiulu, Zon Pantai Barat terdiri dari Kota Kinabalu, Putatan dan Papar, Zon Pantai Barat Selatan mengandungi Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu, Menumbok dan WP Labuan, Zon Tengah dianggotai Ranau, Telupid dan Tongod, Zon Pantai Timur Utara melibatkan Sandakan, Kinabatangan dan Beluran, Zon Pantai Timur Selatan terdiri dari Lahad Datu, Tawau, Semporna, Kunak dan Kalabakan dan Zon Pedalaman Atas melibatkan Keningau, Nabawan, Tenom dan Tambunan.

Azman bersama ahli jawatankuasa pertandingan tempatan SAFA mengikuti mesyuarat secara maya dengan beberapa pengerusi penganjur pertandingan di peringkat zon.

Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, berkata kesemua perlawanan pertandingan itu akan dijalankan di padang Kompleks Sukan di zon masing-masing dan Stadium Likas.

"SAFA sedang berhubung dengan pengurusan kompleks sukan terbabit bagi urusan venue pertandingan tersebut," katanya.

Beliau percaya kesemua daerah dalam lapan zon berkenaan akan mengambil bahagian dalam kejohanan tiga hari itu dan mereka sudah diberi taklimat berhubung pertandingan tersebut.

Menurutnya, setiap pasukan dikehendaki membayar yuran penyertaan sebanyak RM500 bagi melayakkan mereka menyertai pertandingan itu.

Setiap pasukan yang sah mengambil bahagian akan disediakan satu set jersi dan stokin selain setiap zon dibekalkan lima biji bola, katanya sambil menambah ia akan diserahkan kepada pengerusi penganjur pertandingan yang dilantik jawatankuasa pertandingan tempatan SAFA dalam masa terdekat.

Pengerusi penganjur bagi Zon Pantai Barat Utara ialah Ag Lahaji Rokimin, Justin Ganai (Zon Pantai Barat Timur), Lokman Sunggim (Zon Pantai Barat), Dato' Razak Sulaiman (Zon Pantai Barat Selatan), Tommy Amir (Zon Tengah), Ibrahim Mastar (Zon Pantai Timur Utara), Rahman Md Noor (Zon Pantai Timur Selatan) dan Fred Vincent Marukau (Zon Pedalaman Atas).

Azman berkata, kejohanan itu merupakan pembuka tirai kalender penganjuran pertandingan tahun ini dan akan disusuli dengan Kejohanan Piala Hajiji yang dijadualkan pada Julai ini.

Lapan pasukan mewakili zon terbabit akan beradu di grand final sebelum bulan Ramadan.

"Tarikh dan venue grand final akan diputuskan kemudian," ujar beliau.

Selain itu, katanya, SAFA juga merancang untuk menganjurkan tiga lagi kejohanan termasuk kejohanan Piala SAFA, kejohanan antara kelab dan kejohanan bolasepak wanita di peringkat daerah tahun ini.

 

 

Rabu, 10 Mac 2021

TKM MENERIMA SUNTIKAN VAKSIN COVID 19

Bung Moktar ketika menjalani suntikan dilakukan jururawat yang bertugas.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin menerima suntikan vaksin Covid 19 di Hospital Queen Elizabeth 1, petang tadi (Rabu).

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya menjalani suntikan itu selepas menghadiri mesyuarat kabinet negeri di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri.

Turut menerima suntikan vaksin tersebut ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jaffry Ariffin dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan.

Mereka adalah kumpulan kedua jemaah menteri Sabah yang menerima suntikan tersebut selepas kumpulan pertama diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor minggu lepas.

Ketika ditemui Bung Moktar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Lamag, berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kesan sampingan menjalani suntikan vaksin Covid 19.

Katanya, sebelum suntikan dilakukan saringan sejarah kesihatan akan dijalankan kepada individu yang sah dan layak menerima vaksin.

Menurut beliau, ia bagi memastikan setiap individu sesuai untuk mendapatkan suntikan vaksin tersebut.

Bung Moktar (tengah) bersama Yakub dan Jaffry selepas menerima suntikan vaksin Covid 19.


Isnin, 8 Mac 2021

PERMULAAN YANG BAIK BAGI SABAH FC: BUNG MOKTAR

Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) menyifatkan permulaan yang baik bagi Sabah FC apabila mencapai keputusan seri 1-1 dengan pasukan Melaka United dalam perlawanan pertama Liga Super di Stadium Hang Jebat, Sabtu lepas.

Katanya, mengutip satu mata di tempat lawan boleh dianggap baik kepada pasukan pelawat.

Bagaimanapun, menurut beliau, masih banyak ruang yang boleh diperbaiki oleh Sabah FC untuk meningkatkan prestasi pasukan.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri meminta Sabah FC supaya memberi penekanan untuk memperbaiki pasukan agar ia mampu melakukan yang terbaik.

"Saya berharap pasukan beri penekanan dalam soal ini supaya sebarang kelemahan dapat diperbaiki dan mampu bersaing dengan pasukan lain selepas ini," katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

Pemangku Presiden SAFA itu diminta mengulas perlawanan pertama saingan Liga Super yang menyaksikan Sabah FC berkongsi mata dengan Melaka United tiga hari lepas.

Beliau berkata, memperoleh satu mata di gelanggang lawan boleh dianggap baik namun pasukan perlu memburu kemenangan memandangkan masih banyak lagi perlawanan yang bakal diharungi.

"Kita perlu memperbaiki di mana ruang ada kelemahan bagi membolehkan pasukan terus bangkit dan mencipta kejayaan," ujarnya.

Pemain-pemain Sabah FC menjalani latihan ringan sebelum bertolak ke Kedah.

Ketiadaan pemain import yang masih belum dapat diturunkan dalam pasukan sedikit merisaukan ketua jurulatih Sabah FC, Kuniawan Dwi Yulianto.

Hanya seorang sahaja pemain import, Park Tae Su yang diturunkan namun strategi menggunakan lima pemain pertahanan berjaya mengekang serangan Melaka United dalam perlawanan itu.

Sungguhpun lebih banyak bertahan dan hanya sekali-sekala melancarkan serangan namun peluang yang hadir pada minit-minit akhir separuh masa pertama tidak dipersiakan oleh Hamran Peter untuk meledakkan gol bagi mendahului lawan.

Gol penyamaan pasukan tuan rumah diperoleh menerusi S. Kumaarahan pada minit ke 62 babak kedua selepas berjaya melepasi perangkap off side pasukan pelawat.

Sabah FC akan menentang Kedah Darul Aman FC dalam perlawanan keduanya di Stadium Darulaman malam esok (Selasa) sebelum melayan PJ City FC di Stadium Likas pada 13 Mac ini.