Selasa, 27 Disember 2022

TIMBALAN MENTERI TURUN PADANG BANTU 15 RUMAH TERJEJAS BENCANA DI MENUMBOK

Aminah meninjau keadaan jambatan di perkampungan berkenaan.

BEAUFORT--Sebanyak 15 rumah terjejas susulan fenomena air pasang besar serta ombak yang berlaku di perkampungan atas air Kampung Laut dan Sekalong di Menumbok di sini, kelmarin.

Dalam kejadian yang dilaporkan bermula jam 11.00 malam hingga 1.00 pagi itu, tidak ada kemalangan jiwa atau rumah roboh ekoran bencana tersebut.

Bagaimanapun kejadian itu menjejaskan penduduk kampung terlibat di mana hampir keseluruhan rumah dinaiki air dan mengakibatkan kemusnahan harta benda penduduk.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komiditi, Datuk Hajjah Siti Aminah Aching yang kini berada di kawasan, bergegas menemui penduduk berkenaan di samping menghulurkan bantuan awal berupa kewangan dan keperluan makanan untuk meringankan beban mangsa terbabit.

"Alhamdulillah hari ini saya berpeluang menemui mereka yang terjejas di samping menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka. Kita bersyukur kerana tiada kejadian serius  yang berlaku seperti rumah roboh sebagaimana yang berlaku di daerah lain seperti Pitas, Kudat, Tanjung Aru di Kota Kinabalu dan di Sandakan," katanya.

Anggota Parlimen Beaufort itu berkata demikian ketika ditemui di sini selepas melawat mangsa yang terlibat.

Aminah menyampaikan bantuan berupa barang-barang keperluan harian kepada penduduk yang terjejas.

Dalam pada itu, Aminah meminta penduduk yang tinggal di kawasan tersebut agar sentiasa berwaspada sekoran keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini terutama pada waktu hujan dan ribut.

Katanya, penduduk yang rumah mereka berhampiran pesisiran pantai supaya berhati-hati dalam menghadapi fenomena air pasang besar dan sentiasa mendapatkan laporan terkini mengenai keadaan cuaca dari pihak berkuasa,

Katanya, atas faktor keselamatan, penduduk wajar mengosongkan rumah mereka dan menyelamatkan dokumen-dokumen penting mereka sekiranya fenomena sedemikian berlaku di luar jangkaan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Beaufort meminta kerjasama pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kampung yang terlibat supaya memantau keadaan jambatan yang menghubungkan antara rumah ke rumah yang mungkin mengalami kerosakan sekoran bencana tersebut.

Menurutnya, jika berlaku kerosakan, ia perlu diperbaiki segera agar tidak menjejaskan perhubungan dan kehidupan penduduk.

Turut serta dalam lawatan itu, Ketua Pusat Daerah Mengundi Menumbok, Fadzlee Lee Abdullah serta pemimpin masyarakat tempatan. -Oleh Jaafar Wahid.

Timbalan Menteri itu turut diiringi Ketua PDM Menumbok, Fadzlee Lee Abdullah dalam lawatan ke perkampungan yang terjejas tersebut.


Rabu, 7 Disember 2022

MP BEAUFORT HADIRI TAKLIMAT KHAS PARLIMEN

Kelihatan Aminah (kanan) bersama seorang anggota parlimen wanita.

KUALA LUMPUR--Anggota Parlimen P.177 Beaufort yang baharu, Datuk Hajjah Siti Aminah Aching menghadiri sesi taklimat khas di Bangunan Parlimen di sini, kelmarin.

Taklimat khas itu untuk semua anggota parlimen diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 baru-baru ini.

"Alhamdulillah seawal jam 8.00 pagi saya tiba di Bangunan Parlimen untuk menghadiri taklimat khas untuk semua anggota parlimen," katanya dalam satu hantaran di akaun facebook peribadinya.

Aminah ketika di Bangunan Parlimen.

Aminah yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Beaufort memperoleh 10,570 undi memenangi kawasan berkenaan dengan majoriti 2,518 undi atas tiket Barisan Nasional (BN) mengalahkan lima calon lain dalam PRU-15 pada 19 November lepas.

Dengan kemenangannya itu membolehkan BN mempertahankan semula kerusi kawasan tersebut, yang sebelum ini dimenangi Datuk Hajjah Azizah Mohd Dun pada PRU-14 yang kemudian berpindah parti kepada Parti Pribumi Besatu Malaysia (Bersatu).

Aminah juga merupakan Ketua Wanita Umno Bahagian Beaufort dan Ketua Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA).


Isnin, 5 Disember 2022

JERSI EDISI TERHAD COPA HASSAN SANI LARIS DI PASARAN

Hassan menunjukkan gambar jersi edisi terhad di telefon bimbitnya.

KOTA KINABALU--Jersi edisi terhad "Malaysia 1980 Retro Copa Malaya" bekas pemain kebangsaan, Datuk Hassan Sani menerima sambutan memberangsangkan daripada kalangan peminat bola sepak di negara ini.

Hassan mendatangani perjanjian dengan Copa Malaya untuk mengeluarkan jersi edisi terhad bernombor 10 itu untuk dijual di pasaran.

Ketika ditemui di sini hari ini, bekas pemain Skuad Olimpik Negara 1980 itu berkata, sebanyak 500 helai jersi berwarna kuning itu dikeluarkan untuk dijual di pasaran selepas dilancarkan di Selangor pada Mei tahun lepas.

"Setelah mencapai persetujuan dengan Copa Malaya, mereka mencetak dan mengeluarkan 500 kotak jersi itu untuk keluaran pertama dijual di pasaran," kata Hassan.

Menurutnya, dalam kotak jersi edisi terhad itu mengandungi pakej seperti sehelai t-shirt tambahan, pelitup muka, pelekat Copa Malaya, rantai kunci dan sijil autentik dijual dengan harga RM189.

Pakej dalam kotak jersi edisi terhad itu.

Hassan memberitahu, sehingga ini jersi yang mempunyai tanda tangannya itu memang laris terjual dan pihak Copa Malaya merancang untuk membuat keluaran kedua.

"Namun setakat ini, saya dan pihak Copa Malaysa belum lagi mengadakan perbincangan lanjut mengenainya. Sudah tentu mereka akan memanggil saya untuk tujuan itu," katanya.

Beliau menambah, pihaknya sudah menerima royalti bagi keluaran pertama jersi khas itu tetapi tidak menyatakan jumlah yang diperoleh.

"Bagi keluaran kedua ini, pihak Copa Malaya akan melunaskan royalti yang layak saya peroleh terlebih dahulu sebelum cetakan dilakukan. Itu antara syarat daripada saya," ujar Hassan.



Khamis, 1 Disember 2022

TABS BANDARAYA HULUR SUMBANGAN KELUARGA DUA JURULATIHNYA

Lokman (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Jeffrey sambil diperhatikan Amsir, Matasan, Roslan, Sudirman dan pemain-pemain TABS B14.

KOTA KINABALU--TABS Bandaraya menghulurkan sumbangan kepada keluarga dua jurulatihnya, Jeffrey Masanting dan Ratna Awang dalam satu majlis ringkas sempena perlawanan persahabatan antara pasukan TABS B14 dan pasukan Sekolah Indonesia di padang sintetik Kompleks Sukan Likas pada Khamis.

Sumbangan itu disampaikan Timbalan Pengerusinya, Lokman Sunggim kepada jurulatih Jeffrey yang ibunya meninggal dunia baru-baru ini manakala sumbangan kepada Ratna yang ayahnya juga meninggal dunia, disampaikan Setiausaha TABS, Amsir Chin Abdullah.

Lokman mewakili pengurusan TABS mengucapkan takziah kepada keluarga kedua-dua jurulatih berkenanan atas pemergian ibu dan ayah mereka.

Hadir sama Ketua jurulatih TABS, Matasan Ahmad, penolongnya, Roslan Wasli dan jurulatih Sudirman Garamah.

Amsir menyerahkan sumbangan kepada Ratna. Turut kelihatan Lokman, Matasan dan Roslan.

Selasa, 29 November 2022

GURU BESAR MENUAI PADI BERSAMA PETANI

Jamawih (dua kanan) bersama penduduk menuai padi di Kg. Gerowot, Kuala Penyu.

Seorang guru besar, Jamawih Kanapi memanfaatkan cuti peristiwa sehari dengan menyertai penduduk Kampung Gerowot, Kuala Penyu bergotong-royong menuai padi di kampung berkenaan, Isnin lalu.

Jamawi, 55, Guru Besar SK Menunggang di sini kembali berkhidmat di sekolah ini selepas meninggalkannya selama 21 tahun kerana berpindah bertugas di sekolah lain.

"Setelah meninggalkan SK Menunggang tahun 2000 untuk pindah ke sekolah lain namun setelah 21 tahun, saya kembali berkhidmat sebagai guru besar pada Februari 2021," katanya.

Menurut beliau, aktiviti menanam padi merupakan situasi yang cukup menyeronokkan dan memperlihatkan kerajinan serta kerjasama penduduk bergotong royong sama ada ketika menanam atau menuai padi mengikut giliran yang ditetapkan ketua kampung.

Jamawih menikmati suasana indah bersama anak-anak petani berteduh di bawah pokok di tepi sawah padi.

Kampung Gerowot yang lokasinya lebih satu kilometer dari sekolah tempat Jamawih bertugas, satu-satunya lokasi yang masih lagi menjalankan aktiviti menanam padi di daerah Kuala Penyu.

Justeru guru besar berasal dari Kampung Tepi Laut, Menumbok ini tidak mensia-siakan masa cutinya untuk menyertai aktiviti menuai padi penduduk yang katanya, rata-rata petani yang menanam padi di Kampung Gerowot adalah mantan pelajarnya ketika bertugas di SK Menunggang sekitar tahun 1988-2000.

Selain itu, tambahnya, ibu bapa mereka juga adalah sahabat-sahabatnya ketika itu.

Jamawih manfaatkan cutinya sertai aktiviti menuai padi.

"Melalui aktiviti sebegini mengimbau kembali kenangan manis ketika saya bersama mereka dahulu," ujar Jamawih, yang juga bekas pengadil bola sepak berpengalaman di daerah ini.

"Syukur alhamdulilllah para sahabat saya di kampung ini masih lagi rapat dengan saya seperti abang Nining Awang, Nuri Suram, Tuah Awang, kakak Saimik dan ramai lagi," jelas beliau.

Jamawih memberitahu, suasana seronok menuai padi bersama mantan murid sambil bercerita kisah-kisah ketika mereka menjadi pelajarnya suatu ketika dahulu sememangnya sangat mengujakan.

"Pada saya terbaiklah warga Kampung Gerowot, tatap monsoi," tambah Jamawih yang ketika ini menetap di Kampung Kabunau, Kuala Penyu.

Pemandangan petani bergotong royong menuai padi di Kg. Gerowot.


Isnin, 28 November 2022

DAYYAN, BUDAK DARI SABAH JADI PENGIRING PEMAIN CROATIA DI PIALA DUNIA

 

Dayyan (lima kiri barisan depan) bersama pasukan Croatia di Piala Dunia.

KOTA KINABALU--Seorang kanak-kanak, Ahmad Qayyim Dayyan Ahmad Syukri, 10 dari Sabah dan bersekolah di Qatar terpilih menjadi salah seorang pengiring pemain pasukan Croatia dalam perlawanan menentang Kanada di Piala Dunia di Qatar, kelmarin.

Dayyan adalah anak kedua pasangan Ahmad Syukri Mustakim, 39 dan Suzriana Wahimin, 39 berasal dari Likas, Kota Kinabalu.

Ketika ini Dayyan belajar di Middle East International School Qatar dan sememangnya meminati sukan bola sepak dan juga sedang mengikuti aktiviti bola sepak di sekolahnya di sana.

DAYYAN...meminati sukan bola sepak.

Ayahnya, Ahmad Syukri, seorang jurutera kebetulan bertugas sebagai pengurus projek di Ashgal di Qatar.

Ibu Dayyan, Suzriana Wahimin dalam hantarannya di akaun facebooknya menyifatkan sebagai pengalaman berharga apabila anaknya itu menjadi salah seorang "player escort" untuk pasukan Croatia, mengiring pemain Marcelo Brozovic semalam.

"Semua excited tunggu tengok Dayyan. We love you adik," katanya.

Dayyan bersama ibu bapa, abangnya Danish dan adiknya Darwish berhampiran sebuah stadium untuk Piala Dunia di Qatar.

Suzriana yang dikenali dengan panggilan Nana sahaja menambah, ini peluang sekali dalam hidup, alhamdulillah.

Sementara itu, atuk Dayyan, Wahimin Jati yang menetap di Kampung Likas ketika dihubungi melahirkan rasa gembira dan bangga dengan penampilan cucunya walaupun sebagai pengiring pemain di Piala Dunia.

"Budak ini memang meminati bola sepak, saya berharap pendedahan sebegini mampu meningkatkan semangatnya untuk mengembangkan lagi bakat dalam bola sepak pada masa akan datang," katanya.

Menurutnya, secara kebetulan juga Dayyan pada masa ini sedang mengikuti program bola sepak di Qatar.

WAHIMIN...bangga melihat cucunya di kaca TV iring pemain pasukan Piala Dunia.

 

 

 

Isnin, 14 November 2022

BN PILIHAN TERBAIK KEMBALIKAN KESTABILAN DAN KESINAMBUNGAN PEMBANGUNAN

 

 
Bung Moktar (tiga kiri) bersama Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor dalam satu program BN-GRS.

 Oleh JAAFAR WAHID.

KOTA KINABALU: Hanya tinggal beberapa hari lagi rakyat di seluruh negara akan memilih bagi menentukan kerajaan baharu selepas Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober 2022 untuk memberikan laluan  Pilihan raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.

Bagi Barisan Nasional (BN) khususnya di Sabah PRU-15 kali ini cukup penting dalam menentukan masa depan negara agar kestabilan dan kemakmuran negara dapat diterjemahkan melalui sokongan padu rakyat.

Dengan misi untuk membentuk kerajaan yang stabil dan kukuh di Putrajaya, BN memerlukan sokongan yang padu daripada rakyat Sabah untuk menyumbang kerusi kemenangan pada PRU kali ini.

Meskipun hanya 12 kerusi ditandingi BN, selain 13 kerusi lagi di bawah rakan kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), jumlah itu tetap penting kerana boleh menjadi penentu kemenangan BN untuk kembali mentadbir negara.

BN dilihat sebagai gabungan politik paling sesuai mentadbir negara selepas kegagalan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) berikutan keadaan politik yang tidak stabil di samping terlalu banyak politiking hingga aspek kepentingan rakyat dan negara terjejas.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (atas) sebelum ini menyatakan keyakinannya bahawa rakyat kini semakin sedar mengenai ketidak-mampuan pembangkang dan kembali menyokong BN berdasarkan rekod pencapaiannya sebelum ini dalam membawa pembangunan termasuk di Sabah.

Jelasnya, BN adalah pilihan terbaik untuk mengembalikan kestabilan politik negara yang menjadi kunci utama kepada keyakinan pelabur untuk kembali menanam modal di negara ini sekali gus merancakkan semula ekonomi negara yang sebelum ini terjejas akibat Covid-19.

"Rakyat mesti memilih BN demi kestabilan politik di negara ini. Kita sudah merasai bagaimana keadaannya negara ketika di bawah PH dan PN, tiada kestabilan politik hingga menyebabkan ekonomi terus terjejas dan bebannya terpaksa ditanggung oleh rakyat hingga sekarang," katanya.

Bagaimanapun, dalam usaha mengukuhkan kedudukan BN Sabah dan menawan hati pengundi pada PRU-15, Bung Moktar mengakui berdepan sentimen negatif yang dicanang parti lawan dengan menjadikan isu parti luar atau parti Malaya yang dikaitkan dengan BN, khususnya parti komponennya, UMNO sebagai dakyah bagi memesongkan fikiran rakyat negeri ini.

Namun, beliau seringkali menegaskan tidak timbul sama sekali soal parti luar atau parti Malaya memandangkan UMNO - BN sudah lama bertapak di Sabah dan memiliki autonominya sendiri dalam membuat keputusan berhubung soal parti di peringkat negeri.

Bung Moktar bertanya sesuatu kepada seorang makcik dalam satu program BN.

Pengerusi BN Sabah itu juga menekankan organisasi UMNO Sabah dan barisan kepemimpinan di semua peringkat dikuasai sepenuhnya rakyat negeri ini tanpa kehadiran mana-mana orang luar, apatah lagi pemimpin dari Semenanjung yang menjadi ketua di mana-mana bahagian parti itu di Sabah.

"Pihak lawan melaungkan sentimen parti tempatan, kononnya rakyat Sabah harus menolak parti luar, namun saya lihat semua parti di Sabah ini dipimpin orang tempatan, termasuk UMNO dan BN". 

"Justeru, sebenarnya tiada isu parti luar atau parti Malaya, yang ada adalah parti nasional iaitu UMNO dan BN yang mempunyai autonominya sendiri di Sabah dan dipimpin orang tempatan. Maksudnya, kita juga adalah parti tempatan," katanya.

Jelasnya, parti tempatan seperti Parti Warisan (WARISAN) yang turut bertanding di Semenanjung pada PRU15 ini juga sudah dianggap sebagai parti nasional kerana tidak lagi hanya menumpukan kedudukannya di Sabah seperti pada PRU lalu.

Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata parti pembangkang hanya lantang dalam isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), namun perkara itu turut diperjuangkan parti dalam blok kerajaan, termasuk BN Sabah.

Tegasnya, beliau sendiri sering membangkitkan perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat dan ia dilihat lebih mudah untuk didengari kerajaan Pusat jika pemimpin dari Sabah berada dalam parti yang sama-sama membentuk kerajaan di peringkat persekutuan.

Bung Moktar bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yacob ketika melancarkan projek Pan Borneo Zon Timur jajaran Sandakan-Kinabatangan-Beluran-Telupid tahun lalu.

"Bukan setakat itu, dalam PRU15 ini BN Sabah akan memasukkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari Sabah dalam manifesto tambahan untuk negeri ini.

"Jika BN menang besar, kita minta seorang TPM dari Sabah dilantik dalam kerajaan Pusat, jadi sudah pasti selepas ini apa saja isu yang dibangkitkan akan terus sampai ke Putrajaya dengan kuasa yang diberi," katanya.

Bung Moktar turut menekankan perlunya untuk rakyat memilih dan memenangkan BN pada PRU15 ini agar Bajet 2023 yang sudah siap dirangka sebelum ini dapat dibentangkan semula untuk diluluskan agar apa yang sudah digariskan oleh kerajaan dapat diterus dan dilaksanakan dengan lancar.

Jika tidak, katanya bajet yang berteraskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat itu pasti dirombak atau diganti dengan belanjawan lain mengikut kehendak kerajaan baharu yang membentuk kerajaan selepas PRU15, 19 November ini.

Berdasarkan pembentangan Bajet 2023 pada awal bulan lalu, Sabah akan menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM6.3 bilion bagi projek infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kesihatan dan kemudahan pendidikan jika bajet berkenaan diteruskan selepas pembentukan kerajaan baharu nanti.

Jumlah itu membabitkan kenaikan sebanyak 20.45 peratus berbanding RM5.2 bilion yang diperuntukkan pada bajet 2022, selain pelbagai lagi inisiatif lain untuk Sabah termasuk berkaitan usaha mempercepatkan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang kini mengalami kelewatan.

Menyentuh mengenai projek lebuh raya itu, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah menegaskan, projek berkenaan sangat penting dalam meningkatkan kecekapan sistem perhubungan jalan raya di Sabah dan menyelesaikan masalah kerosakan jalan raya yang berlaku di seluruh negeri.

Menurutnya, BN perlu diberi mandat pada PRU15 agar projek Lebuhraya Pan Borneo itu tidak tergendala sekali lagi seperti yang berlaku ketika Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan Pusat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

"Projek Lebuh raya Pan Borneo Sabah sepatutnya siap pada tahun ini tetapi disebabkan kerajaan PH, projek ini tergendala. Hanya selepas PH jatuh, projek ini dapat diteruskan dengan lebih lancar dan kerajaan sudah menyatakan komitmennya dalam Bajet 2023 untuk memberi keutamaan terhadap projek ini agar siap sepenuhnya pada 2024".

"Jadi, kita jangan biarkan lagi projek ini tergendala sekali lagi. Kerajaan BN sudah memberi jaminan akan mempercepatkan pelaksanaannya dan atas sebab itu, rakyat Sabah perlu memenangkan BN pada PRU15," katanya.

Sementara itu, Bung Moktar berkata BN turut menawarkan manifesto PRU15 yang realistik untuk kebaikan rakyat dengan tumpuan terhadap aspek kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi yang stabil, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan pendidikan.

Manifesto yang dinamakan Perancangan Amal dan Usaha BN (PADU) itu menggariskan lima fokus utama dan 99 tawaran yang akan dinikmati pelbagai golongan masyarakat terutama kumpulan B40 dan M40 selain tidak melupakan golongan T20.

Bung Moktar berkata, BN Sabah sendiri akan menambah beberapa perkara dalam manifesto khas untuk manfaat rakyat negeri ini yang diyakini mampu dilaksanakan jika BN memenangi PRU15.

Rangkaian lebuh raya Pan Borneo yang menyediakan sistem perhubungan selesa kepada pengguna.

"Manifesto BN Sabah lebih bersifat realistik dan relevan serta bukan semata-mata hanya untuk memancing undi rakyat. Ia tidak membabitkan banyak penambahan kerana manisfesto yang dibuat BN pusat sudah cukup lengkap.

“Manifesto ini datang dari pemimpin Sabah dan kita sudah rangka dan akan dibentangkan tidak lama lagi sebelum hari pengundian 19 November ini," katanya.

Sehubungan itu, Bung Moktar yang sekali lagi mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan pada PRU15 mengingatkan pengundi di Sabah supaya tidak tersalah memilih parti untuk mewakili mereka di Parlimen.

Paling penting katanya, rakyat harus memilih parti yang ada rekod pencapaian yang baik, khususnya BN bagi memastikan agenda pembangunan yang dirancang semula selepas kejatuhan kerajaan PH dapat diteruskan dengan lebih baik dan berkesan.