Jumaat, 3 April 2020

PENDUDUK KG POGUNON BERI SAYUR PERCUMA

Sayur dalam beg plastik diberi secara percuma di Kg Pogunan, Penampang. - Foto ehsan: Mikhail J. Savior.

Bermacam-macam cara bantuan dihulurkan kepada mereka yang terkesan dengan wabak COVID-19 terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan wabak tersebut.

Selain bantuan dari pihak kerajaan negeri dan persekutuan, terdapat individu yang prihatin turut menghulurkan bantuan dengan cara mereka sendiri.

Di Kampung Pogunon, Penampang umpamanya, penduduknya meletakkan sayur-sayuran di pagar rumah mereka dan tepi jalan untuk dberikan secara percuma kepada orang ramai di sekitar kampung itu.

Sayur-sayuran itu yang dimasukkan dalam beg plastik digantung atas pagar dan ada juga diletakkan atas meja di tepi-tepi jalan yang menjadi laluan orang ramai.

Menurut Jabatan Penerangan daerah Penampang menerusi laman facebooknya, ramai netizen terharu dan memuji usaha penduduk kampung terbabit.
Sayur percuma, usaha murni penduduk kampung berkenaan.
Pemberian sayur secara percuma itu sekurang-kurangnya memberi peluang kepada mereka yang menghadapi kesukaran ke pasar atau pasaraya untuk mendapatkanya.

Bantuan bahan mentah seperti itu tentunya melegakan kepada penduduk berhampiran khususnya yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan mereka yang "kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang".

Mudah-mudahan lebih banyak bantuan melalui pelbagai cara dapat disampaikan kepada golongan yang sangat memerlukan ketika ini.
Buah betik diletakkan di tepi jalan di luar rumah penduduk dan boleh diambil secara percuma.

Sabtu, 28 Mac 2020

MANFAAT MASA REHAT, JALANI LATIHAN SENDIRI: PENGURUS

Juil (tiga dari kiri) bersama Justin dan lima penjaring dalam perlawanan dengan UKM FC, Mazlan, Nard, Geral, Hizaz dan Syukri.

Para pemain skuad Piala Presiden Sabah dinasihatkan mengutamakan disiplin diri ketika tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana kerajaan bagi pencegahan penularan wabak Covid-19.

Pengurus pasukan, Datuk Juil Nuatim, berkata semua pemain mesti memanfaatkan tempoh rehat tersebut dengan bijak dan melakukan latihan sendiri di rumah masing-masing.

Katanya, mereka perlu mematuhi perintah untuk berada di rumah dan meneruskan latihan secara individu sebagaimana yang diminta oleh jurulatih mereka.

"Pemain mesti mempunyai disiplin dan menjalani latihan yang dikehendaki staf kejurulatihan yang diketuai jurulatih, Justin Ganai," katanya semalam.

Juil yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) berkata, ia penting bagi memastikan pemain dapat mengekalkan tahap kecergasan sepanjang tempoh rehat yang diberikan.

Semua pemain dalam skuad bawah 21 tahun Sabah itu dibenarkan kembali ke tempat masing-masing selepas tempoh PKP dilanjutkan lagi sehingga 14 April ini.

Ia susulan arahan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bahawa tiada latihan boleh dijalankan sepanjang tempoh tersebut.

Sabah sudah mengharungi empat perlawanan dalam Kumpulan B setakat ini dan mengutip enam mata hasil dua kemenangan ke atas Melaka 1-0 dan UKM FC 5-0.

Mereka kalah kepada PDRM 1-2 dan Selangor 2-3.

Isnin, 9 Mac 2020

MAXIMUS, RONALD DILANTIK MENTERI PENUH KABINET PERSEKUTUAN

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Panglima Maximus Johnity Ongkili (gambar) dan Anggota Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilantik sebagai menteri penuh dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, petang tadi.

Maximus yang juga Anggota Parlimen Kota Marudu dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) dan Ronald sebagai Menteri Pertanian dan Industri Makanan (gambar bawah).
Empat lagi Anggota Parlimen dari Sabah dilantik sebagai timbalan menteri. Mereka ialah Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat) sebagai Timbalan Menteri Kewangan II, Arthur Joseph Kurup (Pensiangan) sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Dr Jeffrey G. Kitingan (Keningau) sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan Jonathan Yassin (Ranau) sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri II.

Ketika mengumumkan pelantikan barisan kabinet baharu itu, Muhyiddin, berkata dengan pewujudan portfolio Hal Ehwal Sabah dan Sarawak akan membantu menterjemah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut Perdana Menteri, ia akan diterjemah dalam bentuk dasar dan program yang boleh memberi manfaat secara langsung kepada penduduk di kedua-dua negeri berkenaan.

"Ia menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menangani isu-isu pembangunan dan sosio-ekonomi rakyat di Sabah dan Sarawak," katanya. 

Beliau mengucapkan tahniah kepada semua jemaah menteri dan timbalan menteri terbabit dan berharap mereka dapat menjalankan tugas dengan cemerlang demi rakyat dan negara.


Sabtu, 7 Mac 2020

SABAH GUNA KHIDMAT PENYERANG BARU

Skuad Sabah mendapat khidmat penyerang baharu dari Perancis, Guy Kassa Gnabouyou (gambar) bagi mengambil alih tempat Hector Pito Ramos dari Puerto Rico.

Guy Kassa, 30, sudah mengikat kontrak dengan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), minggu ini.

Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony mengesahkan perkara itu namun tidak menyatakan butiran kontrak pemain tersebut.

Penyerang tinggi lampai itu telah menyertai sesi latihan pasukan di bawah kendalian jurulatih Kurniawan Dwi Yulianto sejak beberapa hari lepas.

Menurut Peter, usaha untuk membawa Guy Kassa ke dalam pasukan merupakan satu langkah yang mengambil kira kepentingan pasukan hasil perbincangan pihak pengurusan dan staf kejurulatihan.

"Adalah baik untuk mengambil keputusan drastik untuk pasukan selagi kita masih mempunyai peluang berbuat demikian", tegasnya.

Beliau berkata, skuad Tambadau sudah bersedia untuk menurunkan penyerang baharu itu dalam perlawanan keduanya menentang Felda United FC di Stadium Likas, malam ini.

Katanya, kehadiran bekas penyerang skuad bawah 21 tahun Perancis itu akan memberi pilihan kepada jurulatih untuk memperkuatkan bahagian serangan pasukan.

Sebelum ini, pemain tersebut merupakan produk  kelab Marseille dan pernah beraksi dengan French Ligue 1 dari 2007 hingga 2010.

Difahamkan, Pito yang bersama pasukan Sabah sejak 2018 bersetuju melalui satu persefahaman dengan SAFA untuk memendekkan kontraknya.



Rabu, 19 Februari 2020

GALERI KOLEKSI HASSAN SANI IMBAU KENANGAN LAMA

Hassan menunjukkan jersi nombor 10 yang dipakainya bersama skuad olimpik negara 1980.

Baru-baru ini, saya berkesempatan melawat dan melihat sendiri galeri peribadi legenda bekas penyerang sensasi negara, Datuk Hassan Sani di kediamannya di Wilayah Persekutuan Labuan.

Galeri peribadi itu terletak di salah satu sudut rumah beliau menempatkan bahan-bahan koleksi seperti kasut emas yang pernah dimenanginya sepanjang karier, kasut bola (Adidas Copa) dan jersi nombor 10 yang pernah dipakai ketika beraksi bersama skuad olimpik negara 1980, pelbagai cenderakenangan dan gambar-gambar ketika dalam skuad kebangsaan dan skuad Sabah.

Ruang sederhana yang digunakan dalam galeri tersebut mengimbau banyak kenangan lama kepada pemain yang pernah mendapat jolokan "lipas kudung" itu atas kelincahan dan kepantasan beliau ketika beraksi di padang.

Saya pertama kali mengunjungi kediaman pemain ikon itu, secara kebetulan berada di pulau Labuan kerana ingin menyaksikan pasukan Piala Presiden Sabah mengadakan perlawanan persahabatan pra-musim di pulau tersebut pada hujung minggu.

Walaupun sudah lama bersahabat dengan Hassan, saya tiada kesempatan untuk berkunjung ke rumah beliau. Kami selalu sembang-sembang apabila ada masa terluang terutama di Kota Kinabalu, kebetulan juga dia mempunyai rumah di bandar ini walaupun sekali-sekala sahaja didiami.
Saya dibawa Hassan melihat galeri peribadi beliau di kediamannya.
Menurut Hassan, idea untuk mewujudkan galeri peribadi itu timbul sebaik sahaja rumah beliau siap diubahsuai kira-kira dua tahun lepas.

Rumah teres dua tingkat itu kelihatan lebih luas dengan ruang tamu yang selesa ditambah dengan pemilihan warna yang menarik.

"Cantik dan selesa", itulah pandangan seorang kakak yang bersama kami mengunjungi kediaman pemain legenda itu.

Hassan memberitahu, galeri itu akan memberi peluang kepada mereka yang ada kesempatan berkunjung ke kediamannya dapat mengimbas kembali pembabitannya dalam sejarah bolasepak tanah air.

"Saya bersama skuad kebangsaan selama lapan tahun dari 1978 hingga 1986. Memang banyak kenangan manis dilalui," katanya.

Sambil menunjukkan jersi nombor 10 dalam galeri itu, Hassan yang biasanya menggunakan jersi nombor 9, menceritakan bahawa jersi tersebut merupakan yang dipakainya ketika membantu skuad olimpik negara menewaskan Korea Selatan 2-1 pada 1980 untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Moscow, Russia.

"Jersi nombor 10 biasanya dipakai Mokhtar Dahari (Allahyarham) tetapi pada masa itu, Mokhtar tidak bermain. Jurulatih Karl Weigang meminta saya menggunakan jersi tersebut sebab pemain lain tidak sanggup memakainya", tambah beliau.

"Saya mengesyorkan rakan saya James Wong memakainya tetapi beliau pun memberi isyarat "tidak mahu" kerana beliau sudah menggunakan jersi saya, nombor 9".

"Akhirnya saya sahut cabaran jurulatih memakai jersi nombor 10 itu," kata Hassan.

Bagaimanapun, katanya, ketika masuk ke stadium, penonton "memboonya" mungkin kerana kurang yakin beliau dapat menyamai kehebatan Mokhtar yang menyarung jersi tersebut.

"Namun saya bertekad untuk membuktikan kepada mereka (penonton), saya mampu melakukan sesuatu dan saya bersyukur kerana dapat merintis peluang kepada James untuk menjaringkan gol kemenangan ketika itu", ujar Hassan.

Sehingga sekarang, nama "King James" dan "Hassan, lipas kudung" terus menjadi ikon bolasepak tanah air atas kehebatan dan kecemerlangan di era mereka.
IMBAS KEMBALI...saya menemubual Hassan ketika beliau masih bersama pasukan Sabah di Stadium Likas.

Selasa, 18 Februari 2020

SABAH IKAT KONTRAK PEMAIN NAMIBIA

Peter bersalaman dengan Shitembi pada sidang akhbar itu.

Pemain kebangsaan Namibia, Petrus Shitembi menjadi pemain import terakhir yang mengikat kontrak dengan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini.

Shitembi, 27, melengkapkan kuota pemain import skuad Tambadau, yang terdahulu sudah memiliki empat pemain asing terdiri daripada Hector Omar Ramos dari Puerto Rico, Rodoljub Paunovic (Serbia), Dennis Buchening (Thailand) dan Park Tae-Su (Korea Selatan).

Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony memberitahu Sabah mengikat kontrak setahun dengan pemain tengah itu bagi mengisi posisi tersebut yang sangat diperlukan pasukan.

Pemain import yang memiliki ketinggian 1.68m sebelum ini bermain dengan kelab Lusaka Dynamos FC.

Shitembi adalah antara pemain yang menyertai rombongan skuad Sabah mengadakan perlawanan persahabatan di negara jiran Indonesia baru-baru ini termasuk dalam Kejohanan Piala Gabenor Jawa Timur.

Sementara itu, Peter juga mengumumkan pelantikan Datuk Juil Nuatim sebagai pengurus pasukan Piala Presiden Sabah dan Datuk Rahman Zakaria sebagai pengurus pasukan Piala Belia Sabah musim ini.
 Shitembi ketika beraksi dengan pasukan lamanya.
                  

Isnin, 10 Februari 2020

GANDINGAN JAMES WONG, HASSAN SANI MASIH BERTERUSAN

James (tiga dari kiri) bersama Saddi dan Hassan.
Legenda bolasepak Sabah khususnya Datuk James Wong dan Datuk Hassan Sani masih lagi bergandingan di padang walaupun bukan lagi sebagai penyerang berbisa seperti di era lewat 1970-an dan awal 1980-an.

Bagaimanapun gandingan mereka pada waktu ini hanyalah sekadar menjayakan program dalam sukan yang melonjakkan nama mereka itu.

Umpamanya, mengendalikan klinik bolasepak dan menganjurkan perlawanan-perlawanan amal untuk membantu rakan-rakan bekas pemain.

Ia dilakukan sebagai menghargai sumbangan rakan-rakan mereka dalam sukan bolasepak pada masa lalu.

Melalui platform, Persatuan Bekas Pemain Sabah 70/80-an, penampilan kedua-dua bintang skuad olimpik negara pada 1980 itu masih mampu menghimpun rakan-rakan bekas pemain Sabah untuk bersama turun padang bagi menjayakan program-program tersebut.

Baru-baru ini (8 Februari 2020), bekas-bekas pemain Sabah yang diketuai James sendiri selaku Presiden persatuan itu mengadakan klinik bolasepak di padang sintetik Kompleks Sukan Sandakan dan seterusnya mengadakan perlawanan amal bagi mengutip sumbangan untuk bekas ketua pasukan Sabah era 80-an, Awang Hamid yang meninggal dunia.

Perlawanan itu diadakan sempena dengan Kejohanan enam penjuru melibatkan bekas-bekas pemain Malaysia, Sabah dan daerah Sandakan yang disempurnakan perasmiannya oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman.

James yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) memberitahu, beberapa bekas pemain yang pernah bersamanya dan Hassan dalam pasukan negeri pada suatu ketika dahulu hadir untuk menjayakan perlawanan amal tersebut.

Antaranya Malim Surat, Azah Ezrien, Karti Tukimin, Awang Ahmad, Awang Palal, Salehudin Anoi, Yahya Kassim dan jurulatih mereka pada ketika itu, Stanley Chew.

Bekas pemain yang lebih junior turut bersama mereka ialah Sammy Kassim, Paddy Edwin dan Eddy Lahan.
Saddi berucap pada program tersebut.

Datuk Saddi dalam ucapan perasmiannya memberi jaminan akan sentiasa menyokong usaha bekas-bekas pemain Sabah itu dalam menyemarakkan aktiviti sukan bolasepak di negeri ini.

"Mereka semua ini telah mengharumkan nama Sabah pada masa lalu dan sewajarnyalah mereka sentiasa diingati selain memberi sokongan terhadap setiap program yang mereka jayakan," katanya.

Pengerusi penganjur kejohanan tersebut, Salehuddin Anoi yang juga seorang jurulatih di Sandakan mengucapkan penghargaan kepada bekas-bekas pemain Sabah yang terlibat dalam program sehari itu.

Katanya, melalui aktiviti seumpama ini mampu mengumpul sumbangan bagi membantu bekas-bekas pemain.
Penulis bersama dengan Hassan dan James serta bekas-bekas pemain Sabah yang lain, Awang Ahmad, Awang Palal dan Yahya Kassim.