Sabtu, 2 April 2011

PPBBS HARGAI KELULUSAN LPKP

MURSIDI...LPKP beri kerjasama baik.


Presiden PPBBS, Lokman Sunggim meninjau kerja-kerja pemasangan iklan tersebut.

Persatuan Pengusaha Bas Bumiputera Sabah (PPBBS) menghargai kerjasama yang diberikan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) untuk memberi kelulusan bagi pemasangan iklan di badan bas milik ahli persatuan itu.


Bendahari Agungnya, Mursidi Haji Ridi, berkata kelulusan LPKP itu membolehkan pemasangan iklan di badan bas ahli persatuan dapat dilakukan dengan lancar.


Katanya, ini sekurang-kurangnya dapat membantu ahli-ahli persatuan untuk memperoleh pendapatan sampingan memandangkan hasil pendapatan harian mereka ketika ini berkurangan akibat persaingan.


"Kita sangat mengucapkan terima kasih dan menghargai kerjasama yang diberikan pihak LPKP terutama Pengarahnya, Puan Yozimah Jasni yang memberi kelulusan itu bagi memastikan pemasangan iklan dapat dilakukan dengan lancar dan jayanya," kata beliau.

Menurutnya, kerjasama berterusan pihak LPKP terhadap persatuan berhubung perkara itu membolehkan ahli-ahli mereka mendapat manfaat kerana mampu memperoleh pendapatan sampingan daripada bayaran bulanan iklan tersebut.


Beliau menambah, pihak persatuan memang mengalu-alukan pihak ejen pengiklanan untuk menghubungi persatuan bagi membolehkan pemasangan sebarang iklan tidak menghadapi banyak masalah dengan kerjasama baik daripada pihak LPKP.


"Sejak beberapa tahun lalu, pihak persatuan sememangnya mendapat kerjasama baik pihak LPKP dan kita berharap kerjasama serupa akan berterusan pada masa akan datang," tegas Mursidi.


Setakat ini, pihak persatuan dengan kerjasama sebuah ejen pengiklanan yang berpusat di Kuala Lumpur, Ad On Bus sedang berusaha mencari pelanggan yang berpotensi untuk membuat pengiklanan di bas selain membantu mempromosi kempen-kempen tertentu yang dilakukan oleh jabatan, agensi kerajaan dan kementerian yang berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan