Khamis, 9 Februari 2012

KILANG CURI BEKALAN ELEKTRIK DISERBU

Anggota SESB memotong kabel yang digunakan dalam penyambungan haram elektrik itu sambil diperhatikan Shahidan (kanan sekali).

Sepasukan pegawai Suruhanjaya Tenaga Malaysia (STM) bersama anggota penguatkuasa Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) melakukan serbuan ke atas dua kilang memproses ais di Inanam dekat Kota Kinabalu pada Rabu kerana dipercayai mencuri bekalan elektrik dengan menggunakan peralatan canggih.

Kedua-dua kilang terbabit memproses berjuta-juta ketulan dan blok ais setiap hari dengan menggunakan tenaga elektrik melalui penyambungan secara haram dan sebelum ini sedang dalam pemerhatian pihak berkuasa elektrik di negeri ini.

Serbuan itu diketuai Ketua Penguatkuasa STM dari Putrajaya, Shahidan Baharom bersama Pengurus Besar (Pengagihan) SESB, Ahmad Sazree Abd. Aziz, pegawai-pegawai kanan STM dan anggota polis.

Shahidan berkata, dalam serbuan itu didapati kilang terbabit hanya menggunakan satu perempat dari bekalan tenaga sebenar dan bekalan selebihnya tidak termasuk dalam meter.

Beliau menambah, SESB telah mengalami kerugian akibat pencurian bekalan elektrik sejak beberapa tahun lepas.

Menurutnya, STM memandang serius kegiatan mencuri bekalan elektrik kerana ia boleh mengundang bahaya kepada pekerja dan orang awam.

Beliau berkata, SESB diberi kuasa untuk tidak membekalkan elektrik ke mana-mana bangunan untuk tempoh tiga bulan di bawah Seksyen 38 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Selain itu, katanya, SESB juga boleh menuntut ganti rugi bekalan elektrik yang digunakan melalui penyambungan haram dari pemilik bangunan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan