Selasa, 28 Februari 2012

SAYA MASIH DALAM BN: LAJIM

Anggota Parlimen kawasan Beaufort, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin (gambar) hari ini menyatakan pendiriannya bahawa beliau masih di dalam Barisan Nasional (BN) sekali gus menamatkan spekulasi berhubung dirinya sejak beberapa bulan lepas.

"Saya sekarang masih di dalam BN. Saya tidak dipecat dari jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan," katanya.

Lajim yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno, berkata beliau terpaksa menjelaskan perkara ini kerana ada kalangan pengerusi-pengerusi JKKK dan pemimpin masyarakat sudah tidak berani berjumpa dengannya atau datang ke rumahnya seperti kebiasaan.

Katanya, mereka tidak seharusnya takut untuk menemuinya kerana beliau masih wakil rakyat mereka dalam BN dan masih menjalankan tanggungjawabnya selaku timbalan menteri.

Menurut Ketua Umno Bahagian Beaufort itu, keadaan tersebut berlaku disebabkan pihak-pihak tertentu menyebarkan fitnah bahawa kononnya beliau akan meninggalkan BN.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa anda tidak harus takut berjumpa dengan saya kerana saya masih menjadi pemimpin di dalam BN dan tidak dipecat dari jawatan timbalan menteri."

"Ini semua hanya fitnah daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang ingin melihat kita tidak bersatu," katanya pada majlis penyerahan sumbangan komputer 1Malaysia kawasan Parlimen Beaufort di Dewan Pak Musa, Beaufort di sini.

Lajim sebelum ini diselubungi kontroversi apabila ada khabar-khabar angin mengaitkan beliau dengan sebuah parti pembangkang yang dijenamakan semula, Sabah People Front (SPF) atau Parti Barisan Rakyat Sabah dan dikatakan akan keluar dari BN.

Meskipun spekulasi itu telah digembar-gemburkan di media massa termasuk dalam portal berita dan laman sosial facebook namun pemimpin masyarakat Bisaya yang bergelar Janang Gayuh itu mengambil sikap mendiamkan diri dan enggan mengiya atau menidakkan semua laporan tersebut.

Namun begitu, disebabkan kenyataan dan komen-komen dalam portal berita dan facebook semakin bertambah hangat mendorong beberapa kumpulan penyokong Lajim telah membuat laporan polis sebelum ini.

Dalam ucapannya yang penuh bersemangat pada majlis itu pagi ini, Lajim juga menjelaskan bahawa kelantangannya untuk menyuarakan masalah rakyat tidak harus dilihat sebagai tanda penentangannya kepada kerajaan.

"Saya ingin menyuarakan masalah yang dihadapi rakyat kerana kita telah diberi mandat oleh rakyat dalam pilihan raya. Saya tidak mahu menjadi pemimpin pak turut kerana sejarah telah membuktikan bahawa kerajaan yang lepas telah ditumbangkan oleh rakyat kerana para pemimpinnya tidak berani menyuarakan masalah rakyat sebaliknya mereka menjadi pak turut kepada pemimpin atasan," tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan