Isnin, 27 Februari 2012

PAIRIN DAKWA DR JEFFREY BERHASRAT MENCABARNYA PADA PRU-13

Atas: PAIRIN...Timbalan Ketua Menteri dan Presiden PBS. Bawah: DR JEFFREY...akan cabar abangnya Pairin dalam PRU-13.
 
Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengecam adiknya Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang ingin menentangnya bagi kerusi Palimen Keningau pada pilihan raya umum akan datang.

Sambil menyifatkan sikap adiknya itu sebagai tidak menghormati beliau dan tindakan yang hanya mengutamakan kepentingan peribadi, Pairin mendakwa Jeffrey tidak ikhlas dalam perjuangan politik.

"Dia mempunyai hak berada dalam politik dan memperkenalkan apa yang dia percayai namun perjuangannya tidak berlandaskan kepada keikhlasan untuk rakyat," dakwa beliau.

Pairin berkata, pada masa lalu, Jeffrey sudah diberi peluang dilantik menjadi Senator dan timbalan menteri di kabinet Persekutuan tetapi telah bertindak meninggalkan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding menentang Dauk Seri Dr Maximus Ongkili di kawasan Parlimen Kota Marudu.

"Dia tidak mendengar nasihat saya selaku abang dan saya telah berkempen untuk Dr Maximus dan Jeffrey tewas," katanya.

Pairin yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) kesal kerana Jeffrey telah memberitahu para penyokongnya bahawa beliau akan bercuti selama enam bulan untuk memberi peluang kepadanya.

"Ini merupakan satu pembohongan yang direka Jeffrey terhadap abangnya sendiri," kata beliau.

"Penyokong-penyokong Jeffrey juga menabur fitnah melalui laman sosial facebook yang kononnya saya mengatakan bahawa dia (Jeffrey) sudah menjadi mendiang (meninggal dunia). Ini adalah satu fitnah terhadap diri saya," jelas Pairin.

Oleh kerana itu, beliau mengingatkan rakyat supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan kata-kata Jeffrey dan penyokong-penyokongnya kerana mereka akan sanggup bercakap apa sahaja dan menimbulkan isu-isu yang tidak benar.

Presiden PBS itu menambah bahawa Jeffrey memang pandai bercakap seperti juga Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahir mengemukakan hujah-hujah yang mencuit hati tetapi perjuangan mereka sebenarnya semata-mata untuk mahu menjadi Perdana Menteri dan Ketua Menteri.

"Selama kira-kira 30 tahun saya tidak menimbulkan semua ini namun kali ini saya dedahkan supaya rakyat tahu apa sebenarnya perjuangan Jeffrey," tegas Pairin.

Beliau berkata, ketika ini Jeffrey melaung-laungkan Pakatan Borneo yang menggunakan parti STAR sebagai topeng perjuangan.

"Jika berpandukan Perlembagaan STAR, ia tidak boleh menggembangkan sayapnya di Sabah. Ini bermakna parti yang ditubuhkan di Sarawak itu tidak sah dan haram dikembangkan ke Sabah," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan