Rabu, 29 Julai 2020

MUSA DAKWA MILIKI MAJORITI MUDAH BENTUK KERAJAAN

Musa berbual dengan Osman sambil diperhatikan Adun-Adun yang lain.

Tan Sri Musa Haji Aman hari ini mendakwa sudah mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu dengan sokongan mencukupi Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dari pelbagai parti.

Bekas ketua menteri itu ketika mengumumkan demikian, berkata, Adun-Adun tersebut datangnya dari PPBM, Warisan, PBS, STAR, PKR dan Umno.

Menurutnya, langkah seterusnya ialah menemui Yang Dipertua Negeri dan menyerahkan akuan berkanun (SD) daripada Adun-Adun terbabit.

Spekulasi berhubung perubahan akan berlaku dalam kerajaan negeri tercetus sejak 15 Jun lalu apabila dua Adun kerajaan keluar dari parti Upko dan kemudian mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas.

Mereka ialah Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) dan Datuk James Ratib (Sugut).
Musa bersama Hajiji dan Jeffrey serta Adun lain yang menyatakan sokongan kepada beliau.

Desas-desas mengenai perubahan dalam kerajaan berlarutan sehingga tiba ke kemuncak apabila bekas ketua menteri itu mengumumkan hari ini bahawa pihaknya sudah memiliki majoriti mencukupi untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Difahamkan, terdapat antara 14 hingga 16 Adun gabungan parti memerintah akan bertukar kem, menyebabkan pembangkang yang mempunyai 20 Adun memperoleh majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan.

Dengan perkembangan itu, ia dijangka akan mengakhiri kerajaan negeri berusia kira-kira 27 bulan selepas membentuk pemerintahan berikutan penghijrahan mengejut Adun-Adun Upko memihak gabungan parti yang diketuai parti Warisan pada pilihan raya umum ke-14 lalu.
Barisan Adun yang memihak dan memberi sokongan kepada Musa.




Jumaat, 24 Julai 2020

PG JAAFAR BUAT LAPORAN POLIS, NAFI KEHADIRAN DI KEDIAMAN MUSA

Pg Jaafar ketika membuat laporan polis di Balai Polis Menumbok.

Seorang ahli perniagaan, Pg Jaafar Pg Osman hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan kehadiran dan kenderaannya di kediaman bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman yang ditularkan di media sosial sejak semalam.

Beliau yang juga bekas Naib Ketua Umno Bahagian Beaufort membuat laporan itu di Balai Polis Menumbok, petang tadi (Jumaat).

Menurut Pg Jaafar, beliau menafikan kehadiran di kediaman bekas Ketua Menteri itu dengan kenderaan bernombor pendaftaran SAA 21 N jenis Toyota Super king (Naza Citra) yang ditularkan melalui akaun fb yang menggunakan nama Pasola.

"Saya tidak tahu menahu langsung dan saya memang pun tiada ketika itu di kediaman Tan Sri Musa Aman seperti yang diviralkan," katanya ketika dihubungi lewat petang ini.

Pg Jaafar berkata, beliau meminta pemilik akaun facebook itu memohon maaf kepadanya jika tidak tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya.

"Saya beri tempoh 48 jam untuk Pasola (pemilik akaun facebook) buat tuntut maaf."

"Jika tidak, saya akan mengambil tindakan melalui perundangan," tegas beliau.
Laporan polis yang dibuat Pg Jaafar pada Jumaat.

Semalam, Pasola telah memviralkan beberapa kenderaan bersama nama pemiliknya di facebook yang dikatakan berada di kawasan kediaman Musa ketika situasi semakin panas berhubung dakwaan akan berlaku perubahan kerajaan negeri.

Pg Jaafar berkata, kenderaan Super king miliknya menggunakan nombor pendaftaran SS 21F memang tidak berada di kawasan kediaman bekas Ketua Menteri berkenaan dan mahu pihak polis melakukan siasatan.

Katanya, Naza Citra yang disebutkan itu telah dijualnya kepada seseorang kira-kira 10 tahun lepas dan kenderaan itu ketika ini tidak boleh digunakan lagi.

"Saya menjual kenderaan itu tetapi tidak menukarkan nama pemilik dan telah mengambil nombor pendaftarannya balik kerana mahu menggunakan semula nombor tersebut apabila ada kenderaan baharu'" katanya.

"Pada saya nombor pendaftaran itu cantik dan saya simpan untuk digunakan pada kenderaan yang lain nanti. Kereta Naza Citra tersebut sudah tidak boleh digunakan lagi dan tersimpan di rumah pembeli berkenaan," ujar Pg Jaafar.

Beliau berharap pihak polis akan menjalankan siasatan bagi membersihkan namanya.

Sabtu, 18 Julai 2020

BUNG MOKTAR KECEWA HARGA TIKET KL - KK TERLALU MAHAL

Anggota Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) melahirkan kekecewaannya mengenai harga tiket yang disifatkan terlalu mahal ditawarkan syarikat penerbangan.

Menerusi akaun Twitternya, beliau membayangkan bahawa harga tiket RM4,499.32 bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu sukar untuk dipercayai.

Katanya, beliau menempah tiket bagi perjalanan KL ke KK pada Khamis lepas bagi penerbangan keesokkan harinya (Jumaat).

"Tidak masuk akal apabila MAS menjual tiket sehala KL - KK dengan harga seperti itu," katanya sungguhpun beliau sedar syarikat penerbangan mengalami kerugian akibat gejala Covid-19.

Beliau yang juga Ketua Umno Sabah merujuk pengumuman Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri pada 3 Julai lepas bahawa harga tiket harus kembali kepada biasa memandangkan kerajaan telah membenarkan syarikat-syarikat penerbangan beroperasi dengan kapasiti penuh.

Pengumuman menteri berkenaan sebagai susulan aduan orang awam berhubung harga tiket dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak telah melambung tinggi.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong turut meminta syarikat-syarikat penerbangan mengurangkan kadar tambang mereka selepas keperluan penjarakan sosial dimansuhkan untuk penerbangan.

Ahad, 12 Julai 2020

SEMUA KERUSI TRADISI UMNO DI SABAH AKAN DIPERTAHAN

Pengerusi Umno Sabah, Datuk Bung Moktar Radin (gambar) berkata parti itu akan mempertahankan semua kerusi tradisi di Sabah termasuk lima kerusi yang diwakili bekas ahlinya yang berpindah ke parti lain sekiranya berlaku pilihan raya umum mengejut.

Menurut beliau, pada dasarnya Umno Sabah akan bertanding di semua kerusi tradisi parti.

"Kami akan bekerjasama dengan parti lain yang tidak bersekutu dengan parti Warisan," katanya.

Bung Moktar yang juga Anggota Parlimen Kinabatangan, berkata rundingan mengenai kerusi lain akan ditentukan selepas ini.

Bagaimanapun, kerusi yang telah dimenangi oleh Umno tidak termasuk dalam rundingan tersebut, katanya dalam satu laporan FMT.

Pada pilihan raya umum ke-14, Umno Sabah bertanding di 14 kerusi Parlimen iaitu Kinabatangan, Kudat, Beaufort, Sipitang, Beluran, Libaran, Kimanis, Kota Belud, Sepanggar, Papar, Semporna, Kalabakan, Tenom dan Silam.

Lima MP tersebut, Datuk Rahim Bakri (Kudat), Datuk Hajjah Azizah Mohd Dun (Beaufort), Hafez Yamani Musa (Sipitang), Datuk Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Idris (Libaran) telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada April tahun lepas,

Calon Barisan Nasional dari Umno mengalami kekalahan di Semporna, Kalabakan, Kota Belud, Papar, Silam, Tenom dan Sepanggar.

Semasa lawatannya ke Sabah, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri berkata bahawa Umno Sabah boleh memilih untuk bekerjasama dengan PPBM di Sabah.

Namun Bung Moktar menyatakan di Twitternya bahawa Umno Sabah akan mempertahankan semua kerusi Parlimen yang dimenangi serta kerusi lain yang dipercayai mampu diemangi dalam pilihan raya umum kelak.

Katanya, Umno Sabah akan menuntut semua kerusi tradisinya untuk menjelaskan kepada PPBM bahawa semua kerusi Parlimennya di Sabah dimenangi Umno atas tiket Barisan Nasional dalam pilihan raya umum lepas.

Khamis, 9 Julai 2020

LHDN SERBU RUMAH ADUN KUAMUT

Kelihatan Masiung bersama pegawai LHDN di kediamannya.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyerbu kediaman Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuamut, Datuk Masiung Banah di Kepayan, kelmarin.

Sembilan pegawai LHDN dari Kuala Lumpur datang ke rumah Adun berkenaan pukul 9.00 pagi.

Difahamkan tiada sebarang notis diberikan terlebih dahulu namun pegawai terbabit menunjukkan kad kuasa sebagai pegawai LHDN ketika mengunjungi rumah wakil rakyat itu.

"Mereka memasuki rumahnya (Masiung) pukul 12 tengah hari," kata sumber yang dipetik sebuah portal di Sabah.

Menurut sumber, tiada sebarang dokumen diambil dan pegawai terbabit hanya mengambil gambar di dalam rumah berkenaan.

"Mereka merakam banyak gambar tetapi tidak tahu motifnya," kata laporan itu.

Masiung adalah Adun Barisan Nasional (BN) dari Upko pada pilihan raya umum ke-14, sebelum menyertai parti Warisan selepas parti itu bersama gabungan parti Upko, PKR dan DAP membentuk kerajaan pada 2018.
Masiung (kiri sekali) bersama Presiden KDM Malaysia, Datuk Peter Anthony dalam satu sidang akhbar, beberapa hari lepas.

Adun Kuamut itu dikatakan antara dalam senarai Adun yang menjadi tumpuan untuk menyertai kumpulan yang bakal membentuk kerajaan negeri yang baharu sekiranya kerajaan yang ada sekarang berlaku perubahan.

Dalam satu hantaran di fb, akaun rasmi Adun Kuamut kelmarin, Masiung menyatakan, "semakin kamu tekan semakin saya kuat!!!".

Posting itu menerima lebih 260 likes dan komen yang banyak serta dikongsi 18 nitizen.

Ia seolah-olah memberi mesej bahawa beliau masih kuat meskipun menghadapi tekanan.

Sejauh mana Adun Kuamut itu mampu bertahan, semuanya bergantung kepada diri beliau sendiri?.


Rabu, 8 Julai 2020

DR LATIFF MOHON MAAF KENYATAANNYA DALAM VIDEO

Anggota Parlimen Mersing, Datuk Dr Latiff Ahmad (gambar) memohon maaf berhubung kenyataannya dalam video yang tular di laman sosial sejak kelmarin.

Menteri Pembangunan Luar Bandar itu, berkata kenyataan dalam video tersebut telah disalah tafsirkan oleh sesetangah pihak.

Menurut beliau, kenyataan itu merupakan kenyataan peribadi dan bukan mewakili parti Bersatu.

"Dengan rasa rendah diri saya memohon maaf sekiranya kenyataan itu menyinggung perasaan sesetengah pihak," katanya dalam satu laporan portal PNBBC.

Beliau mendakwa musuh sebenar adalah pihak lawan dan ia tidak seharusnya menyebabkan berlaku percakaran sesama sendiri.

"Jangan biarkan kita bercakaran. Saya sekali lagi memohon maaf atas kekhilafan saya," ujar Dr Latiff.

Kenyataan menteri tersebut disifatkan sebagai tidak masuk akal dan berupa satu bentuk penghinaan terhadap Umno.

Berikutan itu, beberapa pihak menuntut supaya Dr Latiff membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kepimpinan Umno dan ahli-ahlinya.

Selasa, 7 Julai 2020

KEANGKUHAN BOLEH MENJAHANAMKAN, KATA DR LATIFF

Dr Latiff menyampaikan sijil kepada salah seorang penerima.

Seorang pemimpin pusat, Datuk Dr Latiff Ahmad mengingatkan bahawa sikap keangkuhan boleh menjahanamkan sekaligus memberi kesan yang negatif.

Katanya, sebab itu pemimpin harus mengelak bersikap seperti itu.

"Apabila kita berkuasa, kita jangan angkuh. Keangkuhan akan menjahanamkan kita," katanya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) itu berkata demikian dalam satu program Tabika KEMAS di Kampung Muhibbah Baru, Beaufort pada Isnin.

Pada majlis itu, Dr Latiff kemudian menyampaikan sijil Sukarelawan Personal Protective Equipment (PPE) dan Pemantauan Pematuhan Pembukaan Tabika Kemas.
Dr Latiff bercakap dalam satu sidang media selepas majlis itu.

Beliau berkata, orang yang angkuh atau mana-mana individu yang angkuh tidak akan dapat bertahan lama.

Katanya, sebab itulah apabila mendapat kuasa, jangan bersikap angkuh.

Beliau memberi contoh bahawa keangkuhan oleh kerajaan lama (PH) sebelum ini menyumbangkan kepada kejatuhan kerajaan tersebut.

"Kerajaan lama itu tidak pernah meminta maaf walaupun banyak melakukan kesilapan dan kesalahan," tegas Dr Latiff.

Situasi itu mengakibatkan kerajaan berkenaan tumbang dengan sendirinya dan diambil alih oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu, Umno, PAS, GPRS dan beberapa parti dari Sabah seperti PBS, Star dan PBRS.

Mengenai dengan program kementerian, Dr Latiff berkata, selepas ini beliau akan pergi ke Pedalaman Sabah setelah program yang dilakukannya di daerah Beaufort.

"Kita akan menekankan hubungan rapat antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri," katanya.

Menurut belau, hubungan baik yang sedia bertaut akan diteruskan dan dipertingkatkan demi kebaikan rakyat di Sabah.

Turut hadir pada majlis itu ialah Anggota Parlimen Beaufort, Datuk Hajjah Azizah Mohd Dun, Adun Klias, Datuk Isnin Aliasneh, Adun Lumadan, Matbali Musa dan dua Adun Bebas, Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) dan Datuk James Ratib (Sugut).
Seorang penerima menerima sijil yang disampaikan Menteri KPLB itu.

Ahad, 5 Julai 2020

SETUJU MUHYIDDIN JADI PM BUKTI PAS DAN UMNO TIDAK TAMAK

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) menyangkal dakwaan Muafakat Nasional tidak mempunyai calon berkelayakan untuk menjadi perdana menteri kerana menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengisi jawatan itu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Beliau berkata, pendirian itu dibuat atas dasar kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) selain penerimaan rakyat terhadap Muhyiddin.

Muhyddin merupakan Anggota Parlimen Pagoh.

Katanya, keputusan itu dibuat oleh Umno dan PAS melalui Muafakat Nasional membuktikan kedua-dua parti tidak tamak meskipun mempunyai ramai calon bagi jawatan nombor satu negara itu.

"Keputusan ini (calon PM) adalah keputusan Muafakat Nasional. Kita bukan tamak dan bagi kita apa yang baik, kita terima,".

"Rakyat membuat penilaian dan kita lihat itu yang terbaik bagi rakyat dan negara. Bukan isu (tiada calon), kita mempunyai ramai calon, kita ada tapi yang penting Muhyiddin diterima rakyat. Ia sangat baik untuk negara," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan PAS bersama Presiden PAS, Sabtu lalu.

Timbalan Presiden PAS itu mengulas dakwaan Presiden PUTRA, Datuk Dr Ibrahim Ali pada Jumaat lalu, bahawa keputusan mesyuarat Muafakat Nasional yang bersetuju menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri menunjukkan gabungan itu tidak memiliki tokoh sebagai calon perdana menteri.

Sebelum ini, Setiausaha Bersama Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa, berkata MN secara prinsip bersetuju menyokong Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Malaysia Bersatu (PPBM) sebagai calon perdana menteri bagi PRU-15.

Menurutnya, keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Pemandu gabungan itu, baru-baru ini.

Khamis, 2 Julai 2020

ARIEL NOAH MAKIN AKRAB DENGAN PEVITA PEARCE

Penyanyi Ariel dari  kumpulan Noah semakin menunjukkan keakrabannya dengan pelakon jelita Indonesia, Pevita Pearce.

Walaupun kebetulan mempunyai minat yang sama terhadap permainan game online, tetapi Ariel yang dulunya dikenali penyanyi Peterpan memperlihatkan perhatian terhadap Pevita, aktres yang hot di negara jiran itu.

Pevita, 27, berdarah kacukan British-Indonesia dilahirkan di Jakarta. Bapanya Bramwell Pearce dan ibunya, Ernie Aulliasari.

Malah, menurut laporan Banjarmasin Post, kedua-dua artis itu kini kembali menjadi tular di media sosial di negara tersebut.

Ketika Pevita jatuh sakit baru-baru ini, ia juga disampaikan kepada pengetahuan Ariel ketika dia sedang bersiaran langsung.

Melalui Instagram penyanyi itu, seorang nitizen bertanya mengenai akres jelita itu kenapa tidak bersama dalam siaran langsung itu.

Karakter yang dimainkan Pevita iaitu Quppa tidak kelihatan kelibatnya dalam siaran langsung tersebut.

"Quppa lagi jatuh sakit", tambah Ariel.
Pevita atau nama sebenar Pevita Cleo Eileen Pearce (gambar) mula berlakon ketika berusia 14 tahun hingga sekarang.

Antara filem awal lakonannya ialah Denias, Senandung di atas awan pada 2006. Selepas itu berlakon dalam filem Lost in love, Eiffel i'm in love, Acah...aku jatuh cinta dan beberapa lagi.

Filem-filem terbaru lakonan Pevita antaranya, Rumah merah putih, Sebelum iblis menjemput dan Buffalo Boys.

TINGGALKAN UMNO SATU KESILAPAN, KATA SALLEH

Bekas menteri persekutuan, Datuk Seri Salleh Said Keruak (gambar) yang sedang memohon untuk kembali ke pangkuan Umno, berkata, keputusannya untuk meninggalkan parti itu pada 2018 merupakan satu kesilapan.

Beliau telah mengemukakan permohonan menyertai semula Umno pada 26 Mei lepas.

Salleh memberitahu, pihaknya sekarang menyerahkannya kepada Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi, anggota majlis tertinggi parti dan Umno Sabah memutuskan sama ada menerima beliau balik ke dalam Umno.

"Saya ingin menyumbangkan usaha dan tenaga bersama Umno untuk meneruskan agenda perjuangan untuk membina negara yang kita cintai ini," katanya yang sebelum ini turut membatalkan permohonannya menyertai PKR.

Salleh, 61, telah mengikuti langkah ahli-ahli Umno untuk meninggalkan parti itu bagi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas pilihan raya umum ke-14 lepas.

Bekas ketua menteri itu tewas bagi kerusi Parlimen Kota Belud kepada pendatang baru, Isnaraisah Munirah Majilis dari parti Warisan pada PRU 2018.

Beliau kemudian memohon menyertai PKR, sebuah parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) setelah PPBM enggan menerima beliau dan bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ke dalam parti tersebut

Permohonan Salleh menyertai PKR bagaimanapun tergantung apabila ahli-ahli PKR Sabah yang diketuai Datuk Christina Liew tidak merestuinya.