Sabtu, 17 Disember 2011

"WINNABLE CANDIDATE" MESTILAH MUDAH DITERIMA RAKYAT, KATA LAJIM

LAJIM...perlu diterima rakyat.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, calon-calon Barisan Nasional (BN) yang berpotensi untuk menang mestilah mudah diterima rakyat di kawasan masing-masing tanpa mengira mereka merupakan pemimpin baharu atau sebaliknya.


Menurut beliau, apa yang penting mereka sentiasa diterima pengundi dan sanggup berkhidmat sepenuhnya kepada rakyat.


“Pemimpin yang telah membuktikan kemampuan, memperoleh majoriti besar dan disenangi rakyat juga merupakan antara kriteria calon yang berpotensi menang dan ini perlukan dijadikan perkiraan apabila memperkatakan soal  “ winnable candidate,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Sekolah  Peringkat Negeri Sabah bagi kawasan  Parlimen Beaufort, di sini.


Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Dr.Haji Muhammad Yamin Ismail, Pengurus Besar Yayasan Taqwa (MAIWP), Haji Ahmad Ayop Haji Ibrahim dan Pegawai Daerah Beaufort, Wong Foo Ten.


Menurut Lajim lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah menjelaskan bahawa hanya calon yang berpotensi menang akan dicalonkan bagi memastikan BN mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya akan datang.


Lajim yang juga Timbaan Menteri Perumahan dan Kerjaan Tempatan berkata, wakil-wakil rakyat sedia ada yang kurang berkemampuan dan gagal mendapat sokongan perlu berundur secara sukarela dengan memaklumkannya kepada Perdana Menteri.


“Pengorbanan seumpama itu perlu bagi memastikan hanya calon yang sesuai dan diterima rakyat akan dicalonkan di sesuatu kawasan dan ini boleh menjadi asas kekuatan dan kemenangan BN pada PRU ke 13  nanti,” katanya.


Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Beaufort, berkata pada pilihan raya umum akan datang, pucuk pimpinan parti sudah pasti memahami apa yang bakal mereka lakukan dalam menentukan calon.


“Sebagaimana yang diperkatakan oleh Presiden UMNO, parti merumuskan bahawa untuk setiap kerusi, BN pastinya akan menampilkan calon yang mempunyai peluang terbaik untuk menang di kawasan yang bakal ditandingi,” ujar beliau.


Pada majlis itu, seramai 335 orang pelajar dari kawasan Parlimen Beaufort  menerima sumbangan peralatan persekolahan yang bernilai RM220.00 tiap seorang. (JAW).





Jumaat, 16 Disember 2011

SEDCO DIBERI HAK TUNGGAL KOREK PASIR

Wisma Sedco di Wawasan Plaza, Kota Kinabalu yang menempatkan ibu pejabat perbadanan itu.

Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sabah (Sedco), sebuah syarikat berkaitan kerajaan akan diberi lesen tunggal pengorekan pasir di Sabah tahun depan sebagai  usaha untuk menghentikan aktiviti mencuri pasir.

Menurut  Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Osman Jamal, Sedco akan menjadi satu-satunya entiti diberi hak untuk mengorek pasir di seluruh Sabah mulai 1 Jun tahun depan.


Katanya, bagaimanapun para kontraktor korek pasir yang sedia ada sekarang boleh meneruskan kerja mereka sekiranya lesen mereka masih sah.


“Namun sebaik sahaja lesen mereka tamat, ia tidak akan diperbaharui,” katanya selepas penutupan perbincangan meja bulat antara Jatan Tanah dan Ukur dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malayasia (SPRM) di sebuah hotel di ibu negeri.


Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman melakukan penutupan majlis tersebut.


Osman berkata, para pengusaha pasir sedia ada tidak akan tertindas berikutan langkah ini kerana mereka akan menjadi  ejen kepada Sedco sebaik sahaja lesen mereka tamat.


Katanya, para pengusaha terbabit perlu berhubung dan berbincang dengan Sedco sekiranya mereka mahu meneruskan aktiviti mengorek pasir.


Sedco, katanya, akan mempunyai kriteria sendiri untuk memilih pengusaha pasir yang akan menjadi ejennya.


Beliau berkata, sepanjang enam buln akan datang dari Januari hingga Jun, jabatannya akan menyediakan kertas kerja mengenai mekanisme dan peraturan bagi membolehkan prosedur itu berkuatkuasa.


Katanya, jabatan juga akan memanggil semua pengusaha untuk mendengar pandangan mereka supaya mekanisme itu boleh memberi manfaat kepada semua pihak termasuk pengusaha, Sedco dan kerajaan negeri.


Osman berkata, kerajaan negeri pada dasarnya bersetuju terhadap perkara ini.


Sarawak dan Selangor adalah dua negeri yang telah melaksanakan sistem ini sebagai kaedah untuk menangani aktiviti pengorekan pasir haram.


Beliau berkata, Jabatan Galian dan Genosains akan menyediakan laporan bagi menentukan kuantiti pasir yang dikorek.


“Berdasarkan jumlah itu, kita akan mengecaj Sedco. Justeru, pihak kerajaan tidak akan mengalami kerugian daripada segi hasilnya,” kata beliau. 

Khamis, 15 Disember 2011

GERAN TANAH ANTARA SYARAT BAHARUI PERMIT BAS DIPERSOAL

Bas-bas dipunyai pengusaha Bumiputera yang membantah keras syarat baru yang dianggap merumitkan mereka.
MURSIDI...hapuskan serta-merta.
RAHMAN...ramai pengusaha terkejut dengan syarat baru.

Persatuan Pengusaha Bas Bumiputera Sabah (PPBBS) menyokong gesaan pengusaha bas di negeri ini supaya syarat mengkehendaki menyertakan salinan geran tanah bagi urusan memperbaharui lesen pengangkutan awam membabitkan bas dihapuskan serta-merta.


Bendahari Agungnya, Mursidi Ridi, berkata syarat itu tidak sesuai dan ia haruslah dibatalkan dan tidak diwajibkan apabila pengusaha ingin memperbaharui permit bas mereka.


Katanya, syarat itu tidak pernah diwajibkan sebelum ini dan ia juga tidak pernah dikenakan kepada pengusaha yang membuat urusan serupa di Semenanjung Malaysia sehingga sekarang.


"Kenapa ia secara tiba-tiba dikenakan kepada pengusaha-pengusaha bas di Sabah sahaja."

“Kita berpendapat syarat seperti ini tidak wajar diwajibkan kepada pengusaha di negeri ini kerana rata-rata mereka tidak memiliki geran tanah sendiri. Ini sudah tentu menyulitkan mereka untuk memenuhi syarat sedemikian,” tegasnya.


Beliau diminta mengulas rungutan pengusaha berhubung syarat baru yang ditetapkan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah di media tempatan, hari ini.

Menurut laporan media, jurucakap pengusaha-pengusaha bas, Rahman Piut mendakwa ramai pengusaha melahirkan rasa terkejut dengan syarat baru itu ketika mereka membuat urusan untuk membaharui permit mereka di pejabat LPKP Sabah.

Berikutan itu, beliau meminta LPKP supaya membatalkan syarat tersebut serta-merta memandangkan kebanyakan pengusaha tidak mempunyai geran tanah dan ini pastinya menyulitkan untuk memperbaharui permit mereka yang tamat tempoh untuk menjalankan perkhidmatan.

Mursidi berkata, pihaknya difahamkan bahawa syarat menyertakan salinan geran tanah pemilik permit itu diperlukan bagi membuktikan pengusaha mempunyai  tapak meletakkan bas bagi setiap pangkalan operasi bas mereka.


Katanya, syarat ini sangat merumitkan pengusaha memandangkan kebanyakan pengusaha tidak memiliki geran tanah sendiri selain adalah mustahil bagi pengusaha untuk menjalankan perniagaan hanya berpangkalan di kampung mereka  sendiri.


“Keadaan ini seolah-olah menyekat pengusaha untuk mengembangkan perniagaannya dan jika inilah sikap pengurusan LPKP Sabah, ia seolah-olah ketinggalan zaman dan sesuatu perlu dilakukan oleh kerajaan untuk mentransformasikan pemikiran pegawai-pegawai  terbabit,” tegas beliau.



Selasa, 13 Disember 2011

PENGALAMAN PERIT DI FERI SG. TEMBURONG

UJI KESABARAN...sebahagian penumpang yang turun daripada kenderaan masing-masing yang berbaris panjang untuk melihat suasana perkhidmatan feri itu beroperasi.
Inilah pemandangan Sungai Temburong yang keluasannya jika dua buah feri disambungkan boleh menghubungkan daratan.
Dua petugas feri yang didakwa menerima sogokan bagi kenderaan yang berani melakukan jumping queue sempat dirakam gambar dari dalam bas.

Selain menggunakan penerbangan, perjalanan melalui darat adalah salah satu alternatif bagi perjalanan dari Limbang di Sarawak untuk ke Brunei Darussallam dan seterusnya ke bandar Miri dan bandaraya Kuching.

Penerbangan melalui pesawat dari Kota Kinabalu ke Miri misalnya hanya mengambil masa kira-kira sejam berbanding melalui perjalanan darat yang mungkin mengambil masa kira-kira 14 jam atau lebih. Ia bergantung dengan keadaan perjalanan jika berlaku kesesakan maka perjalanan akan mengambil masa lebih lama.

Pengalaman saya baru-baru ini menyertai rombongan ke bandar Miri menggunakan perjalanan darat bukan sahaja amat memenatkan malah ia juga dipenuhi macam-macam kisah yang jika diikutkan hati boleh hilang sabar terutama apabila tiba di Sungai Temburong untuk menggunakan perkhidmatan feri, yang keluasan sungainya jika dua buah feri disambungkan boleh menjadi jambatan penghubung daratan.

Selain jenuh dengan perjalanan yang dipenuhi dengan pemeriksaan Jabatan Imigresen dan kastam kedua-dua negara, Malaysia dan Brunei Darussalam di mana terpaksa turun naik bas di sekurang-kurang 10 pos pemeriksaan bagi mengecop passport, yang paling mencabar ialah apabila tiba di feri Sungai Temburong.

Jika pada musim cuti, keperitan yang dialami ketika di feri berkenaan begitu ketara sekali di mana deretan kenderaan berbaris panjang boleh dilihat sehingga hampir dua kilometer dan ini memaksa para pemandu kenderaan menunggu giliran antara tiga atau empat jam.

Dalam situasi seperti itu bermacam-macam gelagat dapat disaksikan, ada yang hilang sabar, pertengkaran, kata-kata kesat malah hingga ke tahap bergaduh. Dan yang paling menyakitkan hati ialah ada pula di kalangan petugas feri terbabit yang mengambil kesempatan dalam kerumitan itu dengan meminta sogokan daripada pemandu yang berani melakukan jumping queue. 

Petugas yang tidak bertanggungjawab terbabit akan meminta sogokan antara RM20 hingga RM40 dan lebih bagi setiap kenderaan yang melakukan jumping queue.

Taktik mereka ialah membiarkan dulu kenderaan yang telah "melompat barisan" itu seketika di salah satu sudut kawasan agak gelap berhampiran laluan feri dan setelah sogokan diberikan maka pemandu kenderaan berkenaan akan secara tiba-tiba dibenarkan meluru masuk ke dalam feri, barulah dikuti oleh kenderaan yang sedang berbaris menunggu giliran.

Bayangkanlah keadaan seperti itu sudah berlaku sejak perkhidmatan feri mula beroperasi hinggalah sekarang.

Pada saya yang pertama kali merasai pengalaman itu dengan melihat sendiri peristiwa tersebut berlaku di hadapan mata pun sudah dapat merasakan betapa peritnya, apa lagi bagi pengguna-pengguna yang kerap menggunakan laluan itu dan sudah puluhan tahun mengalaminya. Kita tentu tabik dengan mereka!

Sebenarnya untuk merungkai masalah yang dihadapi di feri tersebut, pihak pemerintah di Malaysia dan Brunei Darussalam semestinya ada kesepakatan untuk menyelesaikannya dengan mengambil kira kepentingan pengguna-pengguna yang menggunakan laluan berkenaan.

Jika dilihat dari segi keluasan sungai itu bukanlah sesuatu yang terlalu membebankan kepada kedua-dua negara untuk membina jambatan yang sudah tentu akan memudahkan perjalanan pengguna kenderaan, kecualilah terdapat rahsia yang menjadi kekangan yang sudah tentunya hanya dapat difahami oleh kedua-dua pemerintah.

Bagaimanapun berdasarkan perkembangan terkini difahamkan sudah ada perancangan untuk membina jambatan di sungai berkenaan yang sedang diusahakan oleh kedua-dua negara, dan menurut penduduk di kawasan berkenaan, pecah tanah bagi projek pembinaan jambatan itu telah pun disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini.

Menurut seorang rakan facebook yang membuat komen mengenai keperitan dialami di feri tersebut, mengikut perancangan jambatan tersebut dijangka menjadi kenyataan pada tahun 2013. 

Sejauh mana perkara ini dapat direalisasikan, ia bergantung kepada perbincangan dan kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Brunei Darussallam.

Yang pasti, jika sebuah jambatan dapat diwujudkan bagi menggantikan perkhidmatan feri itu maka ini adalah sesuatu "hadiah" yang sangat dinanti-nantikan oleh seluruh pengguna yang menggunakan perjalanan darat antara Sabah, Sarawak dan Brunei Darussallam ke destinasi masing-masing.

Bagi kerajaan Malaysia sendiri, usaha untuk menyediakan kemudahan jambatan itu yang sudah tentu mengharapkan persefahaman, kerjasama dan komitmen kerajaan Brunei Darussallam, ia adalah selari dengan slogan yang diilhamkan Perdana Menteri, "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".







Isnin, 12 Disember 2011

BERMESYUARAT SAMBIL MELAWAT KE MIRI

ABADI KENANGAN...Pegawai Daerah, Edmund Teo (lima dari kanan) bergambar dengan anggota Majlis Daerah Kuala Penyu, ketua dan wakil co-opted dan staf majlis selepas mesyuarat penuh majlis di Marriot Resort dan Spa, Miri, Sarawak.

Rombongan Majlis Daerah Kuala Penyu (MDKP) yang membabitkan kaunselor, ketua-ketua jabatan kerajaan dan beberapa kakitangan melakukan lawatan sambil belajar dua hari ke bandar Miri, Sarawak baru-baru ini.

Rombongan itu diketuai Pengerusi MDKP yang juga Pegawai Daerah, Edmund Teo.

Antara tempat yang dilawati ialah Miri Mirina Bay, Luak Bay Esplanade, Miri City Fan, Miri Handicraft Centre, Taman Selera, Taman Awam dan Canada Hill.

Menurut Edmund, lawatan itu bagi memberi peluang kepada peserta rombongan menimba pengalaman selain mendapat pendedahan yang boleh dimanfaatkan di daerah sendiri.

Beliau berkata, pihak pengurusan MDKP telah berusaha untuk mencari sumber kewangan sendiri bagi membiayai lawatan tersebut dan ia tidak membabitkan kewangan majlis.

Pegawai Eksekutif MDKP, Mohd Fadzlee Lee Abdullah, memberitahu sebahagian besar anggota majlis dan ketua dan wakil jabatan kerajaan telah memberi kerjasama baik bagi menjayakan program tersebut.

"Kerjasama ini membuktikan kesepakatan dan ini akan membantu pihak majlis melakukan perancangan dengan lebih berkesan pada masa akan datang," katanya.



SIAPA DALANG LIMBUNGAN KAPAL HARAM DI KUALA PENYU?

HARAM...kawasan yang sudah dibersihkan dengan kelihatan lambakan cerucuk konkrit yang siap untuk digunakan bagi limbungan kapal haram di Kg. Palu-Palu, Kuala Penyu yang menimbulkan kontroversi.

Sebuah syarikat yang dimiliki seorang warga dari Semenanjung tidak menghiraukan arahan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menghentikan kerja-kerja membina limbungan kapal haram di kawasan pinggir laut di Kampung Palu-Palu, Kuala Penyu di sini yang mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk penduduk kampung terbabit.

Pihak Majlis Daerah Kuala Penyu (MDKP) baru-baru ini sudah mengeluarkan arahan kepada syarikat berkenaan bagi menghentikan kerja-kerja yang dijalankan selagi tiada kelulusan daripada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, syarikat itu bukan sahaja gagal mematuhi arahan malah masih meneruskan kerja-kerja termasuk mengorek pasir di kawasan tersebut selain melakukan kerja-kerja membersihkan kawasan bakau yang dibimbangi penduduk kampung itu akan menjejas teruk alam sekitar di kawasan itu.

Ekoran kedegilan pemilik syarikat itu untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak MDKP, semua anggota majlis daerah itu difahamkan telah menyatakan kesediaan mereka untuk meletak jawatan sekiranya pihak-pihak tertentu campur tangan untuk memberi tekanan kepada pihak majlis untuk membolehkan syarikat itu meneruskan kerja-kerja haramnya.

Perkara itu turut dibawa ke pengetahuan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Hajiji Mohd Noor dan sehingga ini belum ada tindakan lanjut daripada pihak kementerian berkenaan.

Akibat kontroversi itu, Suruhanjaya Siasatan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan telah mengambil beberapa dokumen dari Jabatan Tanah dan Ukur daerah termasuk menyoal-siasat beberapa kakitangan yang berkenaan. Namun setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat.

Pemilik syarikat itu yang dikatakan berkahwin dengan wanita tempatan berasal dari Penampang dikatakan menggunakan pemimpin-pemimpin politik yang berpengaruh dalam usahanya untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa di daerah Kuala Penyu.

Sekurang-kurangnya dua pemimpin termasuk seorang yang bergelar tan sri dan memegang jawatan penting di Kerajaan Persekutuan dipercayai cuba mempengaruhi pihak berkuasa di Kuala Penyu supaya menggunakan budi bicara membantu syarikat terbabit.

Namun situasi itu mengundang tindak balas daripada kalangan semua kaunselor MDKP yang dikatakan telah menyampaikan hasrat mereka untuk meletakkan jawatan serentak kepada Pengerusi MDKP yang juga Pegawai Daerah Kuala Penyu, Edmund Teo sekiranya pihak kerajaan terus mengizinkan pembinaan limbungan kapal haram tersebut yang dipercayai akan memusnahkan alam sekitar di kawasan tersebut.

"Kami semua akan melepaskan jawatan jika syarikat tersebut terus tidak menghiraukan arahan dan menggunakan pemimpin-pemimpin tertinggi tertentu untuk memberi tekanan kerana ini jelas perbuatan yang menyalahgunakan kuasa dan akan menghakiskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan," kata Timbalan Pengerusi MDKP ketika diminta pandangannya.


Sabtu, 3 Disember 2011

UMNO CADANG KOMPONEN BN BERI PM MANDAT PILIH CALON BOLEH MENANG

NAJIB...dapat mandat sebulat suara pilih calon boleh menang.

Pemimpin dan perwakilan Umno mencadangkan kriteria 'winnable candidate' atau calon boleh menang diperluaskan meliputi semua parti komponen Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kemenangan besar pada Pilihan raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Mereka mahu kriteria itu tidak hanya diguna pakai untuk menentukan calon Umno malah merangkumi semua calon BN tanpa mengira kawasan tradisional yang ditandingi parti komponen.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata Umno sudah membuat ketetapan paling berani dengan memberi mandat kepada Presiden Umno yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengemukakan calon boleh menang dan kini parti komponen BN perlu mengambil langkah sama.

"Isu sekarang, calon boleh menang bukan untuk Umno saja. Kedudukan wakil BN (komponen) di kawasan tertentu juga perlu diambil kira," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan wakil Kelab Umno Luar Negara pada hari kedua perhimpunan agung parti itu.

Terdahulu, 2,771 perwakilan Umno sebulat suara meluluskan usul ucapan dasar Presiden yang antara lain meminta semua ahli bersiap sedia menggempur pembangkang dengan tidak mempertikaikan siapa yang bakal dicalonkan pada PRU-13.

Hishammuddin berkata, selepas usul berkenaan diluluskan sebulat suara maka tiada lagi pertikaian berhubung isu calon boleh menang.

Wakil Umno Melaka yang juga Ketua Penerangan Umno Bahagian Bukit Katil, Datuk Hasnoor Sidang Hussin, berkata pucuk pimpinan perlu menjelaskan kriteria 'winnable candidate' kerana tidak mahu ia hanya diguna pakai dalam nenentukan calon daripada Umno.- BH.