Khamis, 24 Disember 2020

BOBBY UCAP TERIMA KASIH KEPADA BUNG MOKTAR DAN SAFA

Bobby ditemuramah para wartawan di kediamannya selepas menerima sumbangan itu.

Bekas pemain negeri, Bobby Chua Abdullah terharu dengan keprihatinan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) yang diterajui Pemangku Presiden, Datuk Seri Bung Moktar Radin atas sumbangan kepadanya untuk menjalani rawatan lanjutan sakit yang diidapinya.

"Saya ucapkan terima kasih kepada beliau (Bung Moktar) dan SAFA atas sumbangan ini," katanya.

Timbalan Presiden SAFA, Dato' Abdul Rahman Zakaria menyerahkan sumbangan sebanyak RM300,000 kepada Bobby di kediamannya di Taman Rimba, Bandar Seirra di sini, pagi tadi (Khamis).

Turut hadir ialah Naib Presiden SAFA, Datuk James Wong, Setiausaha Agung, Benedict Asmat, penolongnya, Azman Mastar dan Ahli Majlis Tertinggi, Osman Abdullah.

Rombongan SAFA yang diketuai Rahman (kanan sekali) berbual dengan Bobby dalam kunjungan ke kediamannya.

Bekas pemain berusia 52 tahun itu memberitahu, dengan sumbangan tersebut membolehkannya mendapatkan rawatan lanjut.

"Saya akan melakukan pelbagai usaha agar keadaan saya dapat kembali pulih walaupun doktor memaklumkan jangka hayat saya hanya antara tiga hingga ke lima tahun sahaja,".

"Saya tidak akan berputus asa di samping menguatkan semangat untuk pulih. Saya hanya mampu berdoa dan berserah kepada Allah," katanya yang mengidap sakit kerosakan sel saraf atau ALS.

Penyakit itu menyebabkan kedua belah tangan Bobby menjadi lemah dan makan-minumnya terpaksa dibantu oleh isterinya.

"Memang sukar untuk mengangkat kedua belah tangan saya," katanya apabila dia diminta cuba berbuat demikian.

Menurut beliau, dia sentiasa cuba melawan penyakit yang diidapinya itu sejak mula menimpanya pada 2018.

"Semangat saya masih kuat dan melakukan pelbagai usaha dan ikhtihar dengan harapan boleh kembali pulih," ujar Bobby.

Beliau memberitahu memang ada juga kawan-kawan yang bersimpati dengan keadaannya dan mereka tampil menghulurkan sumbangan.

"Sumbangan-sumbangan itu saya gunakan termasuk untuk membeli ubat-ubatan," katanya.

James Wong dan Benedict menanyakan keadaan tahap kesihatan Bobby dalam kunjungan itu.

 


Isnin, 21 Disember 2020

CEO SABAH FC SAH LETAK JAWATAN

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Dato' Verdon Bahanda (gambar) mengesahkan meletakkan jawatan dari kelab itu berkuatkuasa hari ini (Isnin).

Menurut beliau, pengundurannya itu susulan pertemuannya dengan Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin yang memaklumkan keputusan beliau untuk merombak SAFA dan Sabah FC.

Dalam satu kenyataan di akaun facebooknya, Verdon berkata, peletakan beliau turut membabitkan tugasnya sebagai pengarah serta pemilik kelab berkenaan.

"Saya sedar walaupun saya pemilik Sabah FC tetapi saya perlu mendapat mandat dari semua pihak berkepentingan dalam Sabah FC Sdn Bhd untuk membuat keputusan besar dan kritikal," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menandatangani semua dokumen penyerahan hak sahamnya dalam Sabah FC Sdn Bhd kepada SAFA dan peletakan semua jawatan selepas mendapat bayaran balik dari SAFA untuk semua perbelanjaan yang sudah dikeluarkan.

Awal bulan ini, blog ini juga secara eksklusif melaporkan hasrat beliau untuk meletakkan jawatan dan perkara itu disahkan Pemangku Presiden SAFA ketika itu, Dato' Abdul Rahman Zakaria.

Difahamkan Verdon telah membelanjakan sejumlah RM2 juta kepada SAFA ketika mengambil alih pengurusan kelab berkenaan. Bagaimanapun persatuan itu dikatakan menanggung hutang tertunggak kira-kira RM6 juta sehingga ini.

Sebahagian daripada hutang itu terutama membabitkan bayaran khidmat pemain import sebelum ini perlu dijelaskan bagi mengelak ia menjejaskan penyertaan dalam Liga Super musim depan.

Pelantikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin baru-baru ini disifatkan banyak pihak sebagai "jalan penyelamat" terhadap kemelut yang dihadapi badan bolasepak itu.

Pelantikan beliau yang mendapat restu Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor telah dipersetujui sebulat suara Ahli Majlis Tertinggi (AMT) SAFA.

Ahad, 20 Disember 2020

BENEDICT, JASNIH DILANTIK SETIAUSAHA AGUNG DAN BENDAHARI SAFA YANG BAHARU

 

Bung Moktar bersama ahli majlis tertinggi SAFA sempat meninjau keadaan padang latihan berhampiran pejabat SAFA sebelum mempengerusikan mesyuarat.

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini mengumumkan pelantikan Timbalan Pengarah UPEN, Benedict Asmat dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Dalit, Jasnih Daya masing-masing sebagai setiausaha agung dan bendahari agung persatuan itu yang baharu. 

Pelantikan Benedict dan Jasnih bagi menggantikan Rafie Robert dan Joehari Ayub yang dilantik ke jawatan berkenaan, baru-baru ini.

Benedict merupakan salah seorang naib presiden SAFA sebelum ini.

Bekas pemain negeri, Azman Mastar pula dilantik sebagai penolong setiausaha agung yang baharu. 

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, berkata Rafie dan Joehari bagaimanapun akan dilantik sebagai anggota majlis tertinggi (AMT) SAFA. 

Katanya, pelantikan AMT yang lain akan dilakukan kemudian. 

"Ini merupakan sebahagian langkah segera yang diambil dalam usaha untuk menstrukturkan semula pentadbiran badan bolasepak ini." 

"Usaha dan pendekatan lain, kita sedang pertimbangkan bagi membolehkan langkah yang lebih pro-aktif ke arah kemajuan sukan bolasepak di negeri ini," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat jawatankuasa eksekutif dan AMT SAFA di pejabat persatuan itu di Kompleks Sukan Likas di sini.

CERIA...Bung Moktar mempengerusikan mesyuarat itu dalam suasana ceria.

Beliau berkata, pembentukan pasukan Piala Presiden dan Piala Belia untuk menghadapi liga musim depan akan dilakukan secepat yang mungkin. 

Katanya, ia termasuk penyusunan pengurusan, pelantikan jurulatih dan pemilihan pemain-pemain bagi kedua-dua skuad itu. 

"Kita akan lakukan dengan teliti dan seboleh-bolehnya secepat yang mungkin supaya pasukan terbabit dapat melakukan persiapan yang rapi untuk bertanding," katanya.

Mengikut ketetapan yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia bagi musim 2021 dijadualkan berlangsung pada Jun tahun depan. 

Pemangku Presiden SAFA itu juga menambah bahawa penstrukturan semula yang akan dilakukan SAFA turut diperluaskan di peringkat SAFA daerah. 

Menurut beliau, pihaknya berharap usaha itu berjalan dengan lancar dan mampu membawa perubahan kepada sukan bolasepak bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di seluruh daerah.

Sabtu, 19 Disember 2020

BUNG MOKTAR PENGERUSIKAN MESYUARAT JAWATANKUASA EKSEKUTIF DAN AMT SAFA AHAD

Rahman mengadakan perjumpaan dengan Bung Moktar (dua kanan) berhubung perkembangan SAFA. Turut hadir dalam perjumpaan itu bekas pemain negeri, Azman Mastar (dua kiri) dan Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim.

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin buat pertama kali akan mempengerusikan Mesyuarat jawatankuasa eksekutif dan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) SAFA di pejabat persatuan itu di Likas esok (Ahad).

Timbalan Presiden SAFA, Dato' Abdul Rahman Zakaria, berkata semua AMT dijangka menghadiri mesyuarat itu.

Katanya, mesyuarat berkenaan akan diadakan pada sebelah pagi, jam 10.00.

"Ini adalah kehadiran pertama kali Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya itu atas kapasiti sebagai pemangku presiden SAFA ke pejabat persatuan iru," katanya.

Rahman yang memangku jawatan Presiden buat sementara sebelum ini berikutan peletakan jawatan presidennya, Datuk Peter Anthony memberi laluan kepada Bung Moktar dengan dipersetujui sebulat suara AMT SAFA, minggu lepas.

Menurut beliau, surat jemputan mesyuarat sudah diedarkan kepada semua ahli majlis tertinggi.

Khamis lepas, pemangku presiden SAFA itu menyatakan usahanya untuk menstrukturkan semula badan bolasepak itu bagi membolehkan ia terus dihormati dan mampu melakukan pencapaian yang lebi baik dalam pembangunan sukan bolasepak.

Katanya, selaku pemangku presiden yang baharu menjadi kewajipan beliau untuk menyusun semula SAFA dan mengenal pasti kelemahannya.

Menurut Bung Moktar, pengurusan SAFA perlu dimantapkan lagi menerusi pembabitan mereka yang berpengalaman dan dapat menyumbang sesuatu untuk perkembangan bolasepak di negeri ini

Jumaat, 18 Disember 2020

KERAJAAN NEGERI AKAN BANTU BOBBY CHUA

Bobby (dua kanan) menghidap penyakit ALS dan memerlukan rawatan susulan. 

Kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk membantu bekas pemain Sabah, Bobby Chua yang dilaporkan menghidap penyakit amyothropic lateral sclerosis (ALS), kata Pemangku Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata pihaknya akan melihat sakit yang dihadapi pemain itu dan berapa kos yang diperlukan untuk rawatannya.

"Kita akan bantu beliau. Saya juga sudah memaklumkan perkara ini kepada kabinet negeri dan ia sedia memberi pertimbangan," katanya dalam satu kenyataan.

Bekas pemain tengah berusia 52 tahun itu dikatakan mengalami penurunan fungsi pada sel saraf motorik yang berkembang dengan cepat disebabkan kerosakan sel saraf atau penyakit ALS.

Penyakit itu menyebabkan kedua belah tangan Bobby semakin lemah dan beliau perlu disuap isterinya untuk makan.

Difahamkan beliau memerlukan kira-kira RM300,000 untuk menjalani rawatan susulan.

Berasal dari Inanam, Bobby menjadi pemain profesional pada 1994 dan mewakili Sabah sehingga tahun 1998 sebelum berhijrah ke Sarawak.


Khamis, 17 Disember 2020

SAFA PERLU DISTRUKTUR SEMULA, KATA BUNG MOKTAR

Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) akan distrukturkan semula sejajar dengan langkah untuk mengembangkan sukan bolasepak di negeri ini, kata Pemangku Presidennya, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, berkata penstrukturan semula itu merupakan langkah awal yang akan dilakukannya sebaik dilantik memangku jawatan presiden SAFA pada Isnin lepas.

Katanya, ia perlu dilakukan bagi memastikan badan induk itu terus dihormati dan mampu melonjak pencapaian yang lebih baik demi pembangunan sukan bolasepak.

"Selaku pemangku presiden SAFA yang baharu, menjadi kewajipan saya untuk menyusun semula SAFA dan mengenal pasti kelemahannya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengurusan SAFA perlu dimantapkan menerusi pembabitan mereka yang berpengalaman dan dapat menyumbang sesuatu untuk perkembangan bolasepak.

"Sebab bolasepak ini adalah sukan yang amat digemari oleh semua pihak, tidak kira tua dan muda dan pada saya Sabah merupakan sebuah pasukan berpotensi bukan sahaja untuk menang malah mampu mengetengahkan bakat-bakat baharu,".

"Kita mahu kegemilangan bolasepak Sabah dikembalikan di semua peringkat termasuk di luar bandar agar lebih ramai dapat berkecimpung dalam sukan ini dan dapat diberikan tempat bermain dalam liga," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pembabitannya dalam bolasepak, Bung Moktar berkata, kejayaan membawa pasukan Felcra FC ke Liga Super ketika menjadi penanung pasukan itu beberapa tahun lalu antara pencapaian pernah dilakarnya sebelum ini.

Katanya, pengalaman itu selain pernah berkecimpung dalam bolasepak daerah dan negeri dahulu, akan dimanfaatkan untuk memajukan pasukan Sabah.

"Pada saya ia bukan perkara baharu. Apa yang penting kita berikan keyakinan kepada pemain, pasukan dan pengurus untuk mengurus organisasi dengan baik, pastinya hasil juga baik," ujar beliau.

Pemangku Presiden SAFA itu juga berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk menimbangkan bantuan kepada bekas pemain negeri, Bobby Chua yang sebelum ini dilaporkan sakit dan memerlukan rawatan lanjut.

Rabu, 16 Disember 2020

BN SABAH SOKONG DARURAT DI BUGAYA TANGGUH PRK

Barisan Nasional (BN) Sabah menyokong perisytiharan darurat bagi menangguhkan pilihan raya kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) berkata, keputusan itu tepat dan ia langkah yang sesuai dengan keadaan negara ketika ini yang masih berhadapan penularan wabak Covid-19.

"BN dan Umno Sabah menjunjung kasih perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk perisytiharan darurat di DUN Bugaya sekali gus menunda PRK kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi sebagai mengulas perisytiharan darurat tersebut.

Yang di-Pertuan Agong mengisyitiharkan Proklomasi Darurat di Parlimen Gerik, Perak dan DUN Bugaya di Sabah bagi menangguhkan pilihan raya di kedua-dua kawasan berkenaan.

Bung Moktar yang juga Ketua Umno Sabah sebelum ini menyatakan bahawa BN tidak akan meletakkan calon bagi PRK DUN Bugaya dan ia akan meneruskan pendirian itu.

Katanya, keputusan perisytiharan darurat merupakan satu tindakan yang perlu bagi memastikan kesihatan rakyat diberi keutamaan serta mengelak risiko kehilangan nyawa akibat wabak virus tersebut.

Pada 27 November lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Gerik dan DUN Bugaya diadakan serentak pada 16 Januari depan.

Menurut Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, tarikh penamaan calon bagi kedua-dua pilihan raya berkenaan diadakan serentak pada 4 Janruari.

PRK Parlimen Gerik diadakan berikutan kematian Datuk Hasbullah Osman manakala PRK Dun Bugaya disebabkan Adun kawasan itu juga telah meninggal dunia akibat sakit buah pinggang.