Bekas pemain negeri, Bobby Chua Abdullah terharu dengan keprihatinan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) yang diterajui Pemangku Presiden, Datuk Seri Bung Moktar Radin atas sumbangan kepadanya untuk menjalani rawatan lanjutan sakit yang diidapinya.
"Saya ucapkan terima kasih kepada beliau (Bung Moktar) dan SAFA atas sumbangan ini," katanya.
Timbalan Presiden SAFA, Dato' Abdul Rahman Zakaria menyerahkan sumbangan sebanyak RM300,000 kepada Bobby di kediamannya di Taman Rimba, Bandar Seirra di sini, pagi tadi (Khamis).
Turut hadir ialah Naib Presiden SAFA, Datuk James Wong, Setiausaha Agung, Benedict Asmat, penolongnya, Azman Mastar dan Ahli Majlis Tertinggi, Osman Abdullah.
Rombongan SAFA yang diketuai Rahman (kanan sekali) berbual dengan Bobby dalam kunjungan ke kediamannya.Bekas pemain berusia 52 tahun itu memberitahu, dengan sumbangan tersebut membolehkannya mendapatkan rawatan lanjut.
"Saya akan melakukan pelbagai usaha agar keadaan saya dapat kembali pulih walaupun doktor memaklumkan jangka hayat saya hanya antara tiga hingga ke lima tahun sahaja,".
"Saya tidak akan berputus asa di samping menguatkan semangat untuk pulih. Saya hanya mampu berdoa dan berserah kepada Allah," katanya yang mengidap sakit kerosakan sel saraf atau ALS.
Penyakit itu menyebabkan kedua belah tangan Bobby menjadi lemah dan makan-minumnya terpaksa dibantu oleh isterinya.
"Memang sukar untuk mengangkat kedua belah tangan saya," katanya apabila dia diminta cuba berbuat demikian.
Menurut beliau, dia sentiasa cuba melawan penyakit yang diidapinya itu sejak mula menimpanya pada 2018.
"Semangat saya masih kuat dan melakukan pelbagai usaha dan ikhtihar dengan harapan boleh kembali pulih," ujar Bobby.
Beliau memberitahu memang ada juga kawan-kawan yang bersimpati dengan keadaannya dan mereka tampil menghulurkan sumbangan.
"Sumbangan-sumbangan itu saya gunakan termasuk untuk membeli ubat-ubatan," katanya.
James Wong dan Benedict menanyakan keadaan tahap kesihatan Bobby dalam kunjungan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan