Anggota Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) mencadangkan kerajaan pusat supaya membenarkan kerajaan Sabah menjalankan seluruh pakej Lebuh Raya Pan Borneo secara insiatif kewangan swasta (PFI) agar projek itu dapat diteruskan tanpa sebarang masalah.
Katanya, rakyat negeri itu berhak menikmati lebuh raya yang lebih baik dan selesa sebagaimana yang dinikmati rakyat di negeri lain.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, berkata kemajuan pembinaan lebuh raya berkenaan tidak memperlihatkan perkembangan positif terutama ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan disokong kerajaan parti Warisan yang telah membatalkan pinjaman mudah menyebabkan pembinaan lebuh raya itu menjadi lembab.
"Keadaan jalan raya di Sabah amat menyedihkan berbanding dengan negeri lain dan lebih malang lagi ketika kerajaan Warisan memerintah, ia tidak melakukan sesuatu penambahbaikan sistem perhubungan di negeri itu," katanya sebagai mengulas perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa Kementerian Kerja Raya di Parlimen, kelmarin.
Menurut Bung Moktar, peruntukan pakej pembinaan lebuh raya tersebut tidak menunjukkan ia menjadi realiti apabila hanya sekitar 25 peratus dapat dilaksanakan di Sabah berbanding 60 peratus di Sarawak.
Beliau berkata, jika peruntukan hanya RM460 juta untuk satu pakej sudah tentu hasrat rakyat Sabah untuk menikmati sebuah lebuh raya yang lebih baik dan selesa tidak akan menjadi kenyataan sebaliknya akan hanya menjadi "mimpi ngeri".
Katanya, rakyat Sabah terkilan berkaitan peruntukan pembinaan lebuh raya Pan Borneo melalui Bajet 2021.
Sementara itu, susulan cadangan Timbalan Ketua Menteri Sabah itu, Kementerian Kerja Raya dilaporkan akan sedia berbincang dengan kerajaan negeri berhubung pelaksanaan kaedah baharu pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah.
Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu, ia termasuk memberi kebenaran kepada kerajaan Sabah untuk melaksanakannya secara insiatif kewangan swasta (PFI).
Katanya, beliau mahu memastikan bahawa rakyat di Sabah juga menikmati kesenangan apabila projek lebuh raya itu dapat disiapkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan