Isnin, 14 Disember 2020

BUNG MOKTAR DILANTIK PEMANGKU PRESIDEN SAFA

 

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) diberi kepercayaan untuk menjadi Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) yang baharu berkuatkuasa serta merta.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Presiden SAFA, Dato’ Abdul Rahman Zakaria selepas mendapat persetujuan sebulat suara oleh Ahli Majlis Tertinggi (AMT) badan bolasepak itu dalam mesyuarat tergemparnya di pejabat SAFA, pagi ini.

Katanya, pelantikan Bung Moktar sebagai Pemangku Presiden SAFA itu juga telah direstui Ketua Menteri, Datuk Hajiji Mohd Noor.

Sebelum ini, Rahman telah memangku jawatan Presiden buat sementara berikutan pengunduran Presidennya, Datuk Peter Anthony.

“Barisan AMT SAFA telah sebuat suara memberi kepercayaan kepada Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya untuk memimpin badan bolasepak ini,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini.

Rahman pada persidangan akhbar itu. Turut kelihatan Datuk Juil Nuatim (timbalan presiden), Benedict Asmat (naib presiden) dan Datuk James Wong (naib presiden).

Tambahnya, Bung Moktar sudah bersetuju dengan pelantikan tersebut.

Rahman berkata, mereka yakin Anggota Parlimen Kinabatangan itu merupakan individu paling layak dan sesuai untuk memimpin SAFA sehingga mesyuarat agung pemilihan pada awal 2022.

“Kami barisan AMT akan memberi sokongan padu dan kerjasama sepenuhnya kepada beliau untuk menerajui SAFA demi kemajuan bolasepak di negeri ini,” tegasnya.

Beliau yakin Bung Moktar mampu memimpin persatuan itu dengan baik serta memastikan perkembangan sukan itu dapat dipertingkatkan.

Katanya, beliau (Bung Moktar) seorang yang  mempunyai pengalaman dalam sukan bolasepak kerana sebelum ini pernah terbabit dalam pewujudan kelab Felcra Football Club (FC) dalam saingan Liga Malaysia.

“Kita sedar dan tahu, beliau memiliki pengetahuan dalam soal berkaitan bolasepak. Ini sudah tentu akan membantu SAFA untuk berfungsi dengan lebih baik,” katanya.

Mesyuarat ahli majlis tertinggi SAFA yang dipengerusikan Rahman di pejabat persatuan itu.

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan