Bung Moktar memberi kata-kata perangsang kepada para pemain Sabah FC.
KOTA KINABALU: Pemangku Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin menasihati pemain-pemain Sabah FC supaya meneruskan semangat juang yang tinggi bagi membolehkan mereka melakukan yang terbaik dalam saingan Liga Super musim depan.
Menurut beliau, semua pemain mempunyai komitmen masing-masing dalam pasukan dan ia perlu diteruskan kerana peminat mengharapkan pencapaian pasukan yang lebih baik.
"Sukan bolasepak ini sangat digemari rakyat di luar sana dan mereka mengharapkan pasukan kita melakukan pencapaian terbaik.”
“Pemain-pemain mestilah menunjukkan semangat tinggi untuk membawa kejayaan kepada pasukan," katanya pada majlis makanan malam untuk pemain-pemain Sabah FC dan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) SAFA di sini, baru-baru ini.
Sejak menerajui badan bolasepak itu awal bulan ini, ini kali pertama Bung Moktar berkesempatan menemui pemain-pemain Sabah FC, kelab yang mengalami perubahan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berikutan peletakan jawatan Dato' Verdon Bahanda.
BEGINI SAJA...Bung Moktar menunjukkan isyarat genggam saja dengan Park Tae-Su, pemain import dari Korea Selatan.Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, berkata penstrukturan semula badan bolasepak itu akan turut membabitkan sedikit perubahan pengurusan dalam Sabah FC.
Katanya, ia dilakukan dengan harapan ingin melihatkan prestasi Sabah FC terus disemarakkan dengan semangat yang kental pemain-pemainnya.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan secara spesifik perubahan yang bakal dilakukan itu.
"Ia dalam proses dan sudah tentu ia dilakukan demi kebaikan pasukan," tegasnya.
Pemangku Presiden SAFA itu berkata, persediaan Sabah FC untuk saingan Liga Super musim depan masih terbatas berikutan terpaksa mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan akibat penularan wabak Covid-19.
Mengenai persiapan bagi pasukan Piala Presiden dan Piala Belia musim depan, beliau berkata, SAFA sedang melakukan persediaan yang perlu termasuk menentukan pengurusan pasukan, pelantikan jurulatih dan pemilihan para pemain.
Katanya, memandangkan pertandingan bagi kedua-dua liga itu berlangsung pada pertengahan tahun depan, SAFA masih mempunyai masa untuk menyediakan pasukan yang mampu bersaing dalam kedua-dua liga itu.
Pada majlis itu, Penasihat SAFA, Datuk Seri Salleh Tun Said turut menyampaikan sumbangan sempena Hari Krismas kepada semua pemain-pemain Sabah FC manakala Bung Moktar menyerahkan reflika cek bernilai RM300,000 untuk sumbangan kepada bekas pemain negeri negeri, Bobby Chua yang mengidap penyakit ALS untuk menjalani rawatan lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan