Khamis, 3 Disember 2020

SABAH FC SEDANG KENAL PASTI PEMAIN, PERSIAPAN MASIH TERBATAS

Sabah FC ketika ini hanya boleh membuat perancangan sebelum melaksanakan persiapan bagi menghadapi Liga Malaysia musim hadapan, berikutan belum ada kebenaran mengenai penggunaan padang bolasepak diberikan kerajaan.

Pengurus pasukan, Jelius Ating (gambar) berkata, mereka hanya menunggu masa mengizinkan supaya mereka dapat turun ke padang untuk melakukan persiapan bagi mengharungi saingan Liga Super.

"Pada waktu ini, kami hanya dapat membuat perancangan terutama dari segi pembentukan pasukan menghadapi liga itu musim hadapan," katanya.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini telah membataskan persiapan pasukan dilakukan kerana penggunaan padang bolasepak masih belum dibenarkan sehingga ini.

Jelius baru-baru ini telah dilantik sebagai pengurus merangkap jurulatih pasukan oleh pengurusan Sabah FC.

Bagaimanapun, kelab tersebut juga telah mendapatkan khidmat ketua jurulatih Lucas Kalang dari Sarawak yang memiliki Lesen Pro A untuk mengendalikan pasukan disebabkan Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) masih belum membenarkan Jelius bersama seorang lagi jurulatih dari Pulau Pinang bagi melatih pasukan dalam Liga Malaysia.

Mengenai pemain untuk Sabah FC, Jelius memberitahu, mereka sudah mempunyai senarai panjang pemain yang mereka telah kenal pasti setakat ini.

Menurut beliau, pemain-pemain tersebut termasuk pemain dalam skuad senior musim lepas di samping beberapa pemain dari skuad Piala Presiden dan skuad Piala Belia.

"Kita juga akan membuka pintu kepada pemain dari skuad bawah 19 atau Piala Belia yang telah dipanggil mengikuti skuad kebangsaan," katanya.

Jelius berkata, ia tentunya bukan laluan mudah bagi semua pemain dalam senarai tersebut kerana mereka perlu bersaing untuk merebut tempat dalam pasukan sebagaimana yang telah dibayangkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Dato' Verdon Bahanda sebelum ini.

Kejayaan jurulatih itu membawa pasukan Sabah menjuarai Liga Perdana pada tahun 2019 sekali gus naik ke saingan Liga Super membolehkannya diberi peranan sebagai penolong jurulatih kepada jurulatih Kurniawan Dwi Yulianto dari Indonesia yang membimbing pasukan pada musim 2020.

Selain bertindak sebagai pengurus pasukan, beliau sekali lagi akan diberi tanggunjawab sebagai jurulatih bagi membantu Lucas selaku ketua jurulatih Sabah FC musim hadapan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan