Ahad, 13 Disember 2020

MP KINABATANGAN NAFI TANDATANGAN SD

Anggota Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) sekali lagi menyangkal dakwaan bahawa beliau antara 10 anggota parlimen Umno yang mengemukakan akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu, bukan sesuatu yang mudah bagi seseorang pemimpin politik untuk mendapat sokongan dalam bentuk SD.

"Apa lagi jika sokongan itu akan menentukan pembentukan kerajaan dalam sesebuah negara. Perkara itu bukan mudah dilakukan."

"Sola nama saya dikaitkan, saya tidak tahu. Saya sudah buat kenyataan bulan lepas yang saya tidak pernah beri sokongan kepada mana-mana pihak," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur.

Bung Moktar yang juga Ketua Umno Sabah, berkata beliau secara individu tidak pernah menyokong mana-mana pihak termasuk Anwar untuk menjadi ketua negara.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan dakwaan yang mengaitkan namanya hanyalah spekulasi pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Mungkin ada pihak sengaja membuat spekulasi. Saya fikir banyak lagi kerja lain untuk saya buat khususnya menumpukan perhatian kepada masalah rakyat," tegasnya.

Beliau meminta supaya isu yang tidak baik seperti itu dihentikan kerana ia boleh menggelirukan rakyat.

"Walaupun negara kita, negara demokrasi dan media sosial seolah-olah bebas disalahgunakan namun adalah baik perkara yang tidak baik seperti ini dihentikan,".

"Jika benar pihak yang mendakwa cukup majoriti, bawa SD itu dan persembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Tidak perlu buat kenyataan," ujarnya.

Semalam, sumber memberitahu Astro Awani bahawa Anwar dikatakan sekali lagi akan cuba menyakinkan Al-Sultan Abdullah bahawa beliau mempunyai bilangan sokongan mencukupi daripada kalangan Ahli Dewan Rakyat.

Sumber yang dekat dengan Anggota Parlimen Port Dickson itu menyatakan, beliau sudah mempunyai 113 sokongan dalam bentuk SD.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan