Ahad, 6 Disember 2020

KEMELUT POLITIK DI PERAK TIDAK JEJASKAN SABAH

Bung Moktar bercakap kepada wartawan dalam sidang media itu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, isu politik yang berlaku di Perak tidak akan berlaku di Sabah.

Katanya, apa yang berlaku di negeri itu ialah sentimen politik di sana. Di Sabah, kita ada sentimen kita sendiri, di sini lain.

"Kita di Sabah saling memahami antara satu sama lain dan sedar bahawa kita tidak boleh berpecah-belah," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Umno Sabah di bangunan parti itu di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Umno Sabah diminta mengulas kemelut politik yang berlaku di Perak mungkin akan turut berlaku di Sabah.

Bung Moktar memberitahu, Umno Sabah tidak akan mengkhianati rakan parti dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan percaya parti lain dalam gabungan itu juga tidak akan mengkhianati Umno atau Barisan Nasional (BN).

"Kita yakin dengan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor dan Umno ikhlas menyokong beliau serta tidak akan mengkhianati parti lain.

Menurut beliau, isu yang berlaku di Perak tidak akan menjejaskan kedudukan kerajaan di Sabah dan keadaan di sini masih kukuh.

Bung Moktar bersama pemimpin Umno Sabah dan ketua-ketua bahagian yang menghadiri mesyuarat itu.

Mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya pada 16 Januari depan, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya, berkata Umno Sabah memutuskan tidak akan meletak calon dalam PRK kawasan berkenaan.

Katanya, ini disebabkan parti itu tidak bertanding di kawasan itu pada pilihan raya umum negeri yang lepas.

Beliau juga mengesahkan kemasukan semula lima pemimpin ke Umno iaitu Datuk Salleh Tun Said, Datuk James Ratib, Datuk Bolkiah Ismail, Datuk Rahim Ismail dan Jamawi Jaafar.

Katanya, Salleh yang juga Adun Usukan telah dilantik sebagai Pengarah Pilihan raya BN Sabah untuk menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan