Rabu, 9 Disember 2020

ROBERT TINJAU KEADAAN JALAN RAYA DI MATUNGGONG

Robert (tengah) menyatakan sesuatu kepada Julita dan para pegawai kementerian dan JKR dalam lawatan itu.

Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik melawat kawasan Matunggong Selasa lepas untuk meninjau keadaan jalan raya di kawasan berkenaan.

Beliau bersama rombongan dari kementerian, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Matunggong, YB Datuk Julita Majingki melawat Jalan Patta Rondomon dan Jalan Indarason Teringai.

Lawatan pembantu menteri itu atas undangan Julita yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat.

Terdahulu, Robert dalam ucapannya di Pejabat Daerah Kecil Matunggong di sini, berkata, pihaknya menghargai kerjasama semua pihak dalam lawatannya itu dan ia memberi peluang kepada beliau meninjau dan melihat sendiri keadan jalan-jalan raya di kawasan berkenaan.

Katanya, selaku pembantu menteri di kementerian berkenaan, beliau akan berusaha sedaya upaya melakukan terbaik untuk membantu usaha memperbaiki serta mempertingkatkan kemudahan infrastruktur di luar bandar terutama jalan raya.

"Lawatan ini sebagai salah satu langkah kita mendapatkan gambaran dan input-input yang tepat dalam usaha memperbaiki sisterm perhubungan jalan raya di luar bandar," katanya.

Robert dan Julita bersama rombongan meninjau keadaan jalan raya di kawasan berkenaan.

Robert yang juga Adun Bingkor berkata, sememangnya menjadi matlamat kerajaan yang baharu ini untuk berusaha menangani masalah rakyat supaya ia dapat diberi perhatian dan dicari jalan penyelesaian.

Menurutnya, mana-mana jalan raya yang masih tertangguh dan memerlukan perhatian akan cuba diambil tindakan sewajarnya oleh pihak kerajaan.

Beliau juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Adun Matunggong kerana mengundang beliau melawat kawasan Matunggong serta pegawai-pegawai kementerian dan JKR yang turut menjayakan lawatan tersebut.

Katanya, lawatan serupa akan diteruskan ke kawasan-kawasan lain dari semasa ke semasa.

"Ini membolehkan masalah yang dihadapi rakyat dapat didengari dan seterusnya diambil tindakan sewajarnya," ujar beliau.

Meninjau keadaan salah satu jalan raya di Matunggong.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan