Ahad, 4 April 2021

JAWATANKUASA KHAS DIWUJUDKAN TANGANI MASALAH SETINGGAN

Bung Moktar bersama Datuk Jaffry Ariffin ketika melawat kawasan kebakaran itu di Kampung Simunul.

SEMPORNA--Sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menyelesaikan masalah perkampungan setinggan di Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata, pewujudan jawatankuasa berkenaan akan dibincangkan secara terperinci dalam kabinet negeri.

"Perkara ini akan diurus secara terperinci terlebih dahulu bagi memastikan masalah setinggan dapat dikawal dari berterusan berleluasa,".

"Di Sabah, banyak perkampungan berstatus setinggan dan ia berlaku apabila mula-mula dari 10 rumah, kemudian 20, 200 dan akhirnya menjadi 2,000 rumah."

"Sukar untuk dikawal apabila ia sudah merebak dan sekiranya berlaku kejadian bencana seperti kebakaran, semua rumah setinggan itu akan terlibat," katanya kepada pemberita ketika melawat mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Simunul, di sini.

Bung Moktar (dua dari kanan) memerhati dari jauh kawasan perkampungan yang terlibat dalam kebakaran itu.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya, berkata kes kebakaran di kampung berkenaan  sudah dibincang dalam kabinet negeri dan kerajaan merancang untuk mengenal pasti kawasan tanah untuk dijadikan pusat pemindahan penduduk yang terlibat.

Katanya, pihak kerajaan juga sedang dalam proses menyelesaikan berhubung status penduduk yang terbabit dalam kebakaran tersebut.

"Setinggan ini pula, ada statusnya, ada yang tempatan dan bukan warga tempatan. Justeru ini menjadi masalah kepada kerajaan untuk menentukan status mereka,".

"Namun jika tidak diurus dari awal, saya fikir ia tidak akan mendapat hasil yang lebih baik. Jadi setinggan akhirnya akan semakin berkembang sehingga tanah kerajaan yang hendak dibangunkan pun dijadikan setinggan termasuk di kawasan bandar," tegas beliau.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Menteri itu berkata, perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut berhubung situasi setinggan di negeri ini.

"InsyaAllah, kita akan bincang secara terperinci, mungkin jawatankuasa khas akan menentukan arah bagaimana hala tuju kita mengubah masyarakat setinggan pada masa akan datang," tambahnya.

Terdahulu, sempena lawatan itu, Bung Moktar turut menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada mangsa-mangsa terjejas akibat kebakaran itu.

Diminta mengulas berhubung masalah air di Kunak, Menteri Kerja Raya itu menjelaskan, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengadakan satu persefahaman dengan sebuah juru perunding bagi menjalankan kajian berkaitan hala tuju bekalan air di Sabah.

Katanya, kajian itu mengambil masa kira-kira tiga bulan dan akan bermula minggu ini dan selepas itu, saya akan umumkan hasil kajian tersebut.

"Saya sepatutnya akan melawat Tawau, Lahad Datu dan Kunak tetapi disebabkan ada perkara-perkara tidak dapat di atasi dan ditambah pula Tawau dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi saya terpaksa tangguhkan dahulu lawatan tersebut," katanya.

Bung Moktar dan Jaffry diberi taklimat mengenai kejadian itu.

Sabtu, 3 April 2021

PIALA BUNG MOKTAR RADIN PLATFORM CUNGKIL BAKAT PEMAIN MUDA: SUHAIMI

Suhaimi bercakap kepada wartawan selepas perasmian kejohanan itu.

SANDAKAN--Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Dilantik, Suhaimi Nasir berkata, kejohanan Piala Datuk Seri Bung Moktar Radin yang dianjurkan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) boleh menjadi platform terbaik bagi mencungkil pemain-pemain muda berbakat dalam bolasepak di negeri ini.

Katanya, menerusi kejohanan yang membabitkan pemain-pemain bawah umur 18 tahun itu akan membantu memudahkan pencarian bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan.

"Pada saya kejohanan ini satu usaha yang baik untuk melahirkan pemain-pemain muda yang berpotensi dari seluruh negeri," katanya selepas merasmikan Kejohanan Piala Bung Moktar Radin peringkat Zon Pantai Timur Utara di Kompleks Sukan Sandakan, kelmarin.

Zon Pantai Timur Utara dianggotai pasukan Sandakan, Kinabatangan dan Beluran.

Suhaimi menerima cenderakenangan yang disampaikan Pengerusi penganjur Zon Pantai Timur Utara, Ibrahim Mastar.

Menurut Suhaimi, kejohanan seumpama ini juga memberi peluang lebih ramai bakat-bakat muda untuk mengambil bahagian dalam pertandingan bolasepak.

"Kita di negeri ini kekurangan kejohanan bolasepak yang dianjurkan dan usaha mengadakan Piala Bung Moktar Radin, langkah yang bagus dan wajar diberi sokongan semua pihak khususnya peminat sukan bolasepak," katanya.

Adun Dilantik itu berkata, pada era 70-an dan 80-an, daerah Sandakan pernah melahirkan pemain-pemain berbakat untuk mewakili pasukan negeri yang membuktikan daerah ini tidak ketandusan pemain.

Bagaimanapun, katanya, kekurangan pertandingan menyukarkan pencarian bakat-bakat baharu untuk digilap dari daerah berkenaan. 

Sehubungan itu, beliau berharap kejohanan Piala Bung Moktar Radin ini menjadi permulaan dalam usaha mencari bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan hingga ke tahap lebih tinggi.

Kejohanan tiga hari itu disertai 31 daerah dari seluruh negeri membabitkan lapan zon iaitu Pantai Barat, Pantai Barat Utara, Pantai Barat Timur, Pantai Barat Selatan, Zon Tengah, Pedalaman Atas, Pantai Timur Utara dan Pantai Timur Selatan.

Suhaimi bersama rombongan tiba di Kompleks Sukan Sandakan untuk menyempurnakan upacara perasmian.


Ahad, 28 Mac 2021

PROGRAM PEMBANGUNAN BOLASEPAK TABS DISAMBUNG SEMULA SELEPAS SETAHUN DITANGGUHKAN

  

Lokman (empat dari kiri) bersama pegawai dan jurulatih TABS memberi penerangan kepada pelatih-pelatih yang mendaftarkan diri menyertai program itu.

KOTA KINABALU--Program Pembangunan Bolasepak Akar Umbi Tunas Asas Bolasepak (TABS) Safa Bandaraya diteruskan semula di padang TABS berhampiran padang SUKMA di sini mulai Sabtu lepas setelah ditangguhkan sementara waktu kira-kira setahun. 

Timbalan Pengerusi TABS Safa Bandaraya, Lokman Sunggim, berkata program itu ditangguhkan sejak Mac tahun lepas bagi mematuhi arahan kerajaan ekoran wabak Covid-19. 

"Kita meneruskan semula program ini dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan," katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Beliau berkata, sambutan pelatih-pelatih amat memberangsangkan ketika pra-pendaftaran dan pendaftaran baharu dijalankan selama dua hari mulai kelmarin (Sabtu) dan hari ini. 

Katanya, lebih 300 pelatih berbuat demikian dalam masa dua hari mengikut kategori umur dari bawah 12, 14, 15, 16 dan 17 tahun. 

"Kita terharu dengan sambutan menggalakkan ini selepas program ini berehat kira-kira setahun yang lepas," katanya. 

Lokman berkata, pihaknya juga berterima kasih kepada semua ibu bapa pelatih yang memberi kerjasama baik kepada pegawai dan jurulatih TABS sepanjang tempoh pendaftaran itu dijalankan. 

Katanya, kerjasama sedemikian akan membantu TABS mengendalikan program ini dengan lebih kemas, teratur dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan. 

"Kita memutuskan untuk menyambung semula program pembangunan bolasepak ini kerana bagi memenuhi permintaan daripada ibu bapa." 

"Kita menyedari situasi itu namun kami akan sentiasa lebih berhati-hati mengendalikan program ini. Dengan kerjasama semua pihak sudah tentu ia memudahkan pihak TABS menyusun program ini dengan lebih baik dan berpandukan SOP yang ditetapkan kerajaan," tegas beliau.

Kaunter disediakan TABS bagi pendaftaran pelatih.

Timbalan Pengerusi TABS itu percaya semua pegawai dan jurulatih yang diamanahkan untuk mengendalikan program pembangunan itu dapat memainkan peranan dan menjalankan tugas masing-masing dengan lebih berkesan. 

Katanya, setakat ini, TABS mempunyai lebih 10 jurulatih bertauliah diketuai Matasan Ahmad diberi tanggungjawab untuk mengendalikan latihan setiap hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad. 

Ibu bapa yang ingin mendaftarkan anak-anak mereka sebagai pelatih baharu boleh berbuat demikian dengan para pegawai dan jurulatih TABS di padang TABS pada hari sesi latihan dijalankan, tambahnya.

 

 

 

Ahad, 21 Mac 2021

TABS TERUSKAN SEMULA PROGRAM LATIHAN MULAI SABTU INI

 

KOTA KINABALU: Tunas Asas Bolasepak (TABS) Safa Bandaraya akan meneruskan semula program latihannya mulai Sabtu ini selepas ditangguhkan kira-kira setahun.

Timbalan Pengerusi TABS, Lokman Sunggim (gambar), berkata sesi latihan program pembangunan bolasepak Safa Bandaraya itu akan disambung semula dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, program latihan setiap Sabtu dan Ahad itu telah ditangguhkan sejak Mac tahun lepas bagi mematuhi arahan pihak kerajaan ekoran wabak Covid-19.

"Buat permulaan jurulatih dan pegawai TABS akan memulakan semula pra pendaftaran pelatih di padang TABS berhampiran padang SUKMA di sini, mulai Sabtu ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Lokman, selain pendaftaran secara manual di padang TABS, pendaftaran pelatih secara online juga boleh dilakukan yang akan diumumkan pengurusan TABS kemudian.

Katanya, TABS juga akan menulis surat makluman kepada pihak berkuasa berhubung perkara itu.

Beliau memberitahu, ramai ibu bapa mahukan pengurusan TABS supaya menyambung semula program latihan anak-anak mereka yang tertangguh itu. 

"Pihak pengurusan TABS dan jurulatih telah membincangkan perkara tersebut dan bersetuju menyambung semula program latihan itu sebagai satu usaha membantu membangunkan sukan bolasepak di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, program latihan itu membabitkan kategori bawah umur 12, 14, 16 dan 18.

Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa pelatih-pelatih memberi kerjasama yang baik kepada jurulatih dan pegawai-pegawai TABS yang mengendalikan pendaftaran pelatih khususnya di venue yang ditetapkan.

Isnin, 15 Mac 2021

TKM TERIMA KUNJUNGAN HORMAT SETPOL MENTERI PENGAJIAN TINGGI

Bung Moktar ketika menerima kunjungan Maizatul di Bangunan Umno Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin menerima kunjungan hormat Setiausaha Politik Menteri Pengajian Tinggi, Datin Maizatul Akmam Alawi di pejabat Umno Sabah, pagi tadi.

Maizatul mewakili menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad dalam kunjungan itu.

Setiausaha Politik itu memaklumkan kepada Bung Moktar yang juga Ketua Umno Sabah mengenai beberapa program Kementerian Pengajian Tinggi dan agensinya di Sabah.

Antaranya bantuan kepada pelajar asnaf melalui PTPTN selain Unit Pendaftaran Universiti (UPU) memberikan pengecualian pembelian PIN di Bank Simpanan Nasional (BSN), pelantikan Ahli Lembaga Penasihat Kolej Komuniti di Sabah dan bantuan kepada mahasiswa semasa kemasukan semula ke kampus.

Maizatul turut memaklumkan mengenai gerak kerja wanita Umno.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kementerian berkenaan kerana memberikan perhatian usaha membantu meringankan beban ibu bapa dan pelajar dengan pelbagai insiatif diberikan ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.


Ahad, 14 Mac 2021

BUNG MOKTAR YAKIN SABAH FC LAKUKAN PENYESUAIAN BAIKI PASUKAN

  

Bung Moktar diiringi Setiausaha Agung SAFA, Benedict Asmat (kanan sekali), penolongnya Azman Mastar dan Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom ketika meninjau latihan pemain-pemain Sabah FC di Stadium Likas, baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin yakin pasukan Sabah FC boleh memperbaiki kelemahan untuk menjadi pasukan yang lebih baik dalam saingan Liga Super musim ini. 

Katanya, tiada mana-mana pihak boleh dipersalahkan selepas pasukan tuan rumah itu tewas tipis 0-1 kepada pasukan pelawat PJ City FC di halaman sendiri, semalam. 

"Saya pun ada mengikuti perlawanan dengan PJ City FC itu namun saya tidak menyalahkan mana-mana pihak," katanya ketika diminta mengulas perlawanan ketiga di Stadium Likas itu. 

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata pemain-pemain import yang diturunkan dalam perlawanan itu hanya berpeluang menjalani latihan sehari bersama pasukan dan masa yang singkat itu menyukarkan mereka melakukan penyesuaian. 

Menurutnya, walaupun mereka tiba empat hari lepas tetapi mereka hanya dapat berlatih sehari dan terpaksa menghadapi perlawanan. 

"Pasukan kita juga baru menjalani latihan disebabkan kekangan wabak Covid-19 berbanding pasukan-pasukan lain yang telah berlatih sejak tahun lalu,". 

"Keadaan ini yang kita hadapi tetapi saya yakin pasukan akan dapat melakukan penyesuaian dalam dua atau tiga lagi perlawanan untuk membentuk persefahaman dalam pasukan," tegasnya. 

Pemangku Presiden SAFA itu bagaimanapun berkata, pihaknya yakin Sabah FC akan cuba memperbaiki kelemahan bagi membentuk persefahaman sebagai satu pasukan. 

Sabah FC ketika ini mengutip satu mata hasil keputusan seri 1-1 dengan Melaka United setelah menghadapi tiga perlawanan.

Pasukan itu akan meneruskan perlawanan keempat menentang pasukan Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 16 Mac dan akan melawan Terengganu FC di Stadium Likas pada 21 Mac ini.

Khamis, 11 Mac 2021

SABAH FC PERLU MANFAATKAN KELEBIHAN BERMAIN DI TEMPAT SENDIRI

Bung Moktar menunjukkan jersi yang digunakan Sabah FC.

Sabah FC yang akan melayan kunjungan PJ City FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas Sabtu ini mempunyai peluang untuk memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri.

Berikutan itu, Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin berharap pemain-pemain supaya menggunakan kelebihan itu sebaik mungkin.

Katanya, selepas mengalami kekalahan 0-2 kepada KDA FC di tempat lawan, giliran Sabah FC untuk memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk mengutip mata.

"Pasukan kita perlu bangkit dan menggunakan peluang itu untuk mendapatkan mata," katanya di sini hari ini.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata pemain-pemain seharusnya menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri dan melupakan kekalahan dengan pasukan KDA FC.

"Lupakan kekalahan itu dan jangan lemah semangat menghadapi lawan,".

"Perbaiki bahagian yang ada kelemahan dan terus berusaha untuk memburu kemenangan. Bermain di gelanggang sendiri memberi kelebihan kepada pasukan kita," kata beliau.

Sabah FC ketika ini mengutip satu mata hasil keputusan seri 1-1 dengan pasukan Melaka United selepas mengharungi dua perlawanan.

Perlawanan ketiga di halaman sendiri di samping beberapa pemain import yang besar kemungkinan dapat diturunkan dalam perlawanan Sabtu ini sudah tentu memberi advantage kepada Sabah FC.

Bagaimanapun ia bergantung dengan semangat juang dalam kalangan pemain-pemain tuan rumah untuk menggunakan peluang yang ada sepenuhnya.

Bung Moktar menerima jersi daripada Pengurus pasukan Sabah FC, Marzuki Nasir.

Sementara itu, Bung Moktar juga mahu peminat-peminat bolasepak di negeri ini membantu pasukan dengan membeli merchandise sebagai tanda sokongan kepada kelab Sabah FC.

Menurut beliau, pastikan supaya membeli yang asli dan bukan tiruan.

"Bantu pasukan Sabah FC untuk mencapai kejayaan," katanya.